Tuesday, March 3, 2009

Ahmad Said didakwa pengecut, diserang 'sindrom Umnorisme'



Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar keras kenyataan balas yang dikeluarkan secara biadap oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ahmad Said Hamdan seperti yang disiarkan di dalam The Sunday Star, 1 Mac 2009.

Beliau yang mempertikaikan tindakan AMK menghantar seekor lembu kepada SPRM sebagai tindakan yang 'bodoh dan kebudak-budakan' jelas menggambarkan kejengkelan pemikiran beliau yang sekaligus menghilangkan kelayakan beliau untuk memimpin badan bebas seperti SPRM.

Apa yang dilakukan oleh AMK telah dijelaskan sebelum ini, bahawa ia adalah satu bentuk peringatan dan sindiran kepada SPRM agar lebih profesional di dalam mengendalikan kes-kes yang dikemukakan kepada SPRM. SPRM perlu membebaskan diri mereka daripada menjadi lembu dicucuk hidung.

Apa yang mengelirukan ialah, SPRM begitu mudah melakukan pendakwaan terbuka kepada mana-mana pemimpin atau ahli Pakatan Rakyat yang disyaki, tetapi mereka membisu seribu bahasa apabila berhadapan dengan kes-kes yang melibatkan Umno-BN.

Puluhan malah ratusan kes membabitkan pimpinan Umno-BN berserta bukti dan fakta-fakta imperikal yang telah dikemukakan oleh AMK dan Pakatan Rakyat sebelum ini, tetapi tidak ada satupun kes yang didedahkan hasil siasatan, malah tidak ada satu pun kes yang berjaya dibawa ke mahkamah!

Ahmad Said dikhabarkan telah membuat laporan polis kononnya tindakan AMK itu dilihat sebagai 'penghinaan kepada penjawat awam'. AMK menegaskan bahawa AMK tidak gentar dengan sebarang laporan polis yang dibuat oleh Ahmad Said malah sesiapa sahaja yang mempertikaikan tindakan AMK yang bertujuan untuk memperingatkan mereka. AMK mencabar Ahmad Said untuk membawa kes 'membawa lembu' ini ke mahkamah.

AMK ingin mengingatkan kepada Ahmad Said dan SPRM seluruhnya bahawa mereka menjunjung amanah rakyat yang besar nilainya, selari dengan status mereka sebagai 'public servant' atau 'hamba kepada rakyat'.

Tanggungjawab mereka adalah terus kepada rakyat, bukan kepada pemerintah Umno-BN sebagaimana yang dilakukan sekarang. Ini adalah kerana setiap sen gaji yang diperolehi mereka adalah merupakan hasil yang diperah daripada titik peluh rakyat yang tegar membayar cukai saban tahun.

AMK akan terus mendepani gerakan rakyat untuk memperingatkan SPRM khususnya Ahmad Said agar mereka lebih telus dan adil di dalam sebarang tindakan yang diambil mereka. AMK masih mempunyai keyakinan kepada sistem yang sedia ada meskipun ia telah terpalit teruk dengan 'Umnorisme'.

AMK mengulangi cabaran kepada Ahmad Said untuk mendedahkan hasil siasatan kes-kes yang melibatkan pimpinan Umno-BN seperti pendedahan laporan Ketua Audit Negara, puluhan kes rasuah yang membabitkan Khir Toyo, kes rasuah pembelian Eurocopter dan kapal selam Scorpene, penyelewengan wang royalti minyak negeri Terengganu, dan puluhan lagi kes yang pernah dikemukakan oleh AMK mahupun komponen Pakatan Rakyat sebelum ini.

No comments:

Search This Blog