Sunday, March 1, 2009

Nik Aziz minta jangan guna perkataan Bumiputera

"Saya tidak suka dengan perkataan bumiputera"

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak bersetuju istilah "bumiputera" digunakan terutama bertujuan untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

Beliau berkata, istilah bumiputera itu juga berbau perkauaman dan menafikan hak kaum lain sedangkan mereka mempunyai hak yang sama rata dan mempunyai kad pengenalan yang sama.

"Bila pilihan raya kaum lain boleh mengundi dengan satu undi, begitu juga dengan kaum bumiputera dapat mengundi dengan satu undi," katanya mengulas kedudukan bumiputera di negara ini yang didakwa sama dengan golongan aparteid di Afrika.

Nik Aziz bagaimanapun berkata, sewajarnya pihak tertentu menyamakan bumiputera itu sama seperti aparteid.

Beliau berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu badan bagi mengendalikan golongan miskin di negara ini bukannya membantu satu kaum yang dikenali sebagai bumiputera.

"Saya tidak suka dengan perkataan bumiputera. Yang saya suka perkataan miskin, melibatkan semua kaum, begitu juga dalam Islam tidak sebut (Islam) hak Arab sahaja tetapi hak semua termasuk Arab Quraisy," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, penubuhan sebuah badan yang mengendalikan bantuan kepada golongan miskin dapat menentukan pihak yang bertanggungjawab mendapatkan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan.

Beliau berkata, semua golongan yang terdiri dari kalangan miskin perlu dibantu sebagaimana kerajaan membantu golongan bumiputera sekarang.

"Apa kita hendak guna bumiputera sahaja sedangkan kaum Cina, kaum India pun miskin juga dan perlu dibantu," katanya. BERNAMA

No comments:

Search This Blog