Thursday, February 26, 2009

Isu lembu, kereta: Khalid minta penjelasan SPRM

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak membantah penggunaan kereta peribadi sebagai kenderaan rasmi jika semua prosedur undang-undang dipatuhi.

Beliau berkata, selain itu, dalam isu lembu korban yang sedang hangat diperkatakan ketika ini, Sultan tidak mempunyai halangan terhadap usaha sedekah malah menggalakkan segala usaha kebajikan seperti itu diteruskan.

"Saya telah memaklumkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya telah mematuhi segala proses undang-undang yang telah ditetapkan berhubung penyelenggaraan kereta tersebut.

"Dalam isu derma lembu korban pula, Tuanku Sultan malah menggalakkan segala usaha kebajikan ini diteruskan dan dipanjangkan kepada kawasan Kuala Lumpur termasuk Bandar Tun Razak," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di pejabatnya di sini.

Khalid berkata demikian ketika mengulas hasil majlis menghadap beliau dengan Sultan Selangor semalam di Istana Mestika di sini yang antara lain membincangkan isu dakwaan penyalahgunaan wang rakyat oleh beliau bagi penyelenggaraan kereta persendirian dan 46 ekor lembu korban yang diderma di kawasan Parlimennya di Bandar Tun Razak pada Aidiladha tahun lalu.

Khalid berkata, beliau akan menulis surat kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan bagi meminta penjelasan berhubung kenyataan beliau sebelum ini bahawa suruhanjaya itu mempunyai bukti kukuh mengenai kedua-dua dakwaan tersebut.

"Dalam pada itu, salah satu proses undang-undang akan dibuat terhadap Pengerusi GERAK atas segala tohmahan salah guna kuasa seperti yang disiarkan media," katanya.

Gerak Malaysia sebelum ini membuat aduan kepada SPRM berhubung penyalahgunaan kuasa yang dikatakan dilakukan oleh Khalid.

1 comment:

kasutlama said...

EDEN SETUJU DENGAN SEGALA KEMUDAHAN YANG KHALID ADA DIMANFAATKAN UNTUK RAKYAT. WA'IMA SELIPAR PUN KALAU NAK BAGI RAKYAT PUN BAGUS.

TETAPI BIARLAH IKUT PERATURAN UNDANG2 YANG DIBENARKAN.

Search This Blog