Monday, February 23, 2009

Lucunya nasihat PM supaya Zambry buat laporan polis kes gantung

Dr Mahathir Mohamad
Mon | Feb 23, 09 | 7:01:27 pm MYT

Kita sedang melihat banyak peristiwa yang pelik berlaku di Perak yang dahulu terkenal dengan timahnya. Tetapi tidak ada yang lebih lucu daripada nasihat Perdana Menteri kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Barisan Nasional supaya beliau membuat laporan polis berkenaan dengan penggantungannya oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

Jika keputusan yang dibuat oleh Speaker boleh dianggap sebagai satu jenayah, apa akan jadi jika Speaker Dewan Rakyat menggantung ahli pembangkang kerana apa-apa sebab? Dan ini kerap berlaku. Apakah ahli pembangkang akan lapor kepada polis? Jika boleh maka bolehlah kita anggap bahawa polis berkuasa keatas Speaker Dewan.

Memang ada jenayah yang boleh dilakukan oleh Tuan Speaker tetapi menggantung seseorang ahli Dewan bukanlah diantara jenayah yang boleh diambil tindakan oleh Polis.

Sekarang dilaporkan yang Dr Zambry akan hadir sidang Dewan Undangan Negeri Perak. Mengikut aturan peraturan Dewan, Speaker boleh arah pegawai Dewan untuk keluarkan Yang Amat Berhormat Dr Zambry dari Dewan. Dapatkah pegawai berkenaan yang bukan terdiri daripada parti Pakatan Rakyat berbuat demikian?

Di mana pula tempat duduk YAB Zambry? Apa kata kalau Dato' Seri Mohamed Nizar Jamaluddin duduk di tempat Menteri Besar? Apakah pegawai Dewan akan disuruh oleh Speaker untuk paksa Nizar kosongkan kerusinya? Apakah Zambry akan berada di Dewan atau di luar Dewan setelah Speaker mengarah pegawai sekat Zambry daripada berada dalam Dewan.

No comments:

Search This Blog