Wednesday, February 25, 2009

Politik kotor atau politik harapan

FEB 25 — “Politik itu kotor” merupakan kenyataan klise. Seringkali kenyataan tersebut dikeluarkan apabila kekecewaan timbul terhadap ahli-ahli politik.

Gelombang perubahan politik negara yang muncul berikutan pilihan raya umum 8 Mac 2008 telah membangkitkan harapan baru rakyat, khususnya di kalangan generasi muda. Selama ini rakyat takutkan perubahan dan sukar membayangkan Malaysia tanpa BN. Tetapi dengan perubahan besar yang terhasil selepas 8 Mac, suasana politik Malaysia tiba-tiba hidup segar.

Malangnya, rakyat Malaysia mutakhir ini mula merasakan politik sudah jatuh ke tahap yang jelek. Politik kolot BN menjadi-jadi. Perampasan Kerajaan Negeri Perak oleh Datuk Seri Najib Razak menerusi episod kehilangan, tawaran habuan dan tuduhan rasuah; diikuti sikap hipokrit Datuk Seri Khir Toyo dalam isu gambar Elizabeth Wong; dan akhir sekali kenyataan sembrono oleh Pengerusi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Datuk Seri Ahmad Said Hamdan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggambarkan kita sedang melalui tempoh politik yang memeningkan.

Apatah lagi ketika negara menanggung derita berikutan kejatuhan ekonomi dunia yang teramat serius. Sebagai sebuah ekonomi yang bergantung kepada pelaburan dan perdagangan antarabangsa, kita tidak dapat lari daripada menerima bahana berikutan kegawatan ini. Pekerja-pekerja sudah mula hilang kerja, peniaga-peniaga mencatat pulangan yang menurun secara ketara dan kerajaan kita sendiri sudah mengakui unjuran pertumbuhan asal ekonomi negara kemungkinan besar tidak boleh dicapai.

Rakyat mahu mengetahui apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan, sektor korporat dan pekerja bagi menghadapi menyelematkan pekerjaan mereka. Rakyat mahu mengetahui apakah yang boleh dilakukan bagi memastikan anak isteri mereka mendapat makanan yang secukupnya setiap hari. Rakyat mahu mengetahui bagaimanakah mereka mahu membayar hutang pada hujung bulan.

Namun Najib tidak fikirkan masalah ini. Yang memenuhi pemikirannya pada masa ini ialah bagaimana mahu menjadi Perdana Menteri dengan apa jua cara sekalipun. Oleh itu, isunya bukan semata-mata memastikan BN menang tetapi memastikan PR hancur musnah. Apa jua cara tetap halal, baginya, asalkan matlamatnya dipenuhi.

Apabila Najib mengisytiharkan kesediaan dirinya bertanding sebagai Presiden Umno pada Oktober 2008, beliau menegaskan bahawa beliau akan meneruskan perubahan bagi memenangi semula pengundi-pengundi yang sudah mual dengan Umno. Namun selepas hampir lima bulan, jelas perubahan bukan keutamaannya. Sebaliknya, badan-badan seperti media massa malah SPRM yang kononnya mahu memperbaiki imej BPR diperkudakan sebagai perkakas BN bagi menjamin masa depan politiknya. Malah, Umno sanggup mengheret institusi beraja bagi membolehkan rampasan kuasa mereka di Perak.

Tetapi Najib tersilap. Walaupun beliau cuba menguasai institusi-institusi utama kerajaan dengan melantik orang-orangnya hari ini, namun akhirnya, rakyat Malaysia dengan izin Allah s.w.t. yang akan menentukan masa depan politiknya. Adakah beliau lupa, bagaimana 8 Mac dapat menjadi realiti meskipun segala institusi kerajaan dikerahkan bagi memastikan kekalahan Keadilan, Pas dan DAP?

Rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, mestilah tidak diperangkap oleh muslihat politik BN. Kejelekan terhadap politik kotor mereka akan diubah oleh perkakas BN agar menjadi sifat bencikan politik secara keseluruhannya. Sebagaimana “Makkal Sakti” — kuasa rakyat — telah merubah lanskap politik negara hampir setahun yang lalu, rakyat jugalah yang berperanan mematikan politik kolot yang terus menjadi sandaran BN. Rakyat, bukannya ahli politik, yang akan memastikan politik harapan yang berpaksikan kedaulatan rakyat akan terus berkembang dan menumbangkan politik kolot di Malaysia.

Generasi muda mesti tegas mendesak bahawa kita mahu politik yang mengangkat martabat insan, bukan politik mengadu domba dan khianat kepada rakyat. Rakyat harus merasakan mereka bukan sekadar penerima sisa-sisa kekayaan negara, tetapi sebaliknya berkongsi kekayaan tersebut secara saksama. Pendekatan Pakatan Rakyat telah terbukti dengan konsep merakyatkan ekonomi yang dilaksanakan bagi berkongsi hasil mahsul negeri Selangor sebagai negeri terkaya di Malaysia. Perak di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat juga telah membawa pendekatan baru dengan pemberian tanah 999 tahun/hak milik kekal, bukan sahaja kepada kampung baru Cina yang sering dimomokkan BN, tetapi juga kepada kampung tersusun dan tradisional yang majoritinya Melayu.

Saya tidak mahu politik harapan ini menjadi monopoli Pakatan Rakyat. Saya pun mahu menumpukan kepada mencari jalan bagi menyelamatkan negara Malaysia dari kemelut politik, ekonomi dan sosial yang melanda sekarang. Saya menyeru kepada pimpinan muda BN agar kita berani berbahas tentang dasar dan idealisme terbaik untuk negara kita. Jika ada perkara yang perlu kerjasama semua pemimpin Malaysia melangkaui batas parti demi masa depan bersama, saya tidak keberatan turut serta. Saya berharap persaingan politik kita terus sihat di dalam kerangka demokrasi berperlembagaan agar rakyat tidak mual dan bosan dengan tahap politik murahan yang menggamit negara pada hari ini.

Politik harapan ini akan memastikan kita dapat mencari kekuatan bagi mengatasi krisis ekonomi yang melanda negara kita. Politik harapan ini akan menegakkan keluhuran perlembagaan kita. Politik harapan ini akan menjamin masa depan anak-anak kita.

Sama ada politik kotor atau harapan, pilihannya di tangan kita rakyat Malaysia.

1 comment:

taipingmali said...

panjang sangat lah bang...boring nak baca semua..

Search This Blog