"Di dalam satu undian SMS yang dijalankan oleh 7 Edition kelolaan NTV7, seramai 97% setuju dengan tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk Pakatan Rakyat membawa usul undi percaya terhadap "kepimpinannya" sebagai ketua kerajaan negeri yang "sah" apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang.
Menjelaskan perkara itu di sini 3 petang tadi, Nizar berkata, pihaknya mahu menggunakan sidang DUN untuk membuktikan bahawa Pakatan masih sah untuk menerajui kerajaan negeri.
Terdahulu pada sidang akhbar sebelum keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar pagi tadi, Nizar menjangkakan suasana "kelam kabut" mungkin berlaku apabila Pakatan membawa usul sedemikian pada sidang akan datang. Belum ada tarikh ditetapkan bila DUN akan bersidang semula. Kata Nizar, beliau menjangkakan BN hanya akan mempunyai 21 orang anggota di DUN berbanding 28 wakil di pihak Pakatan ekoran penggantungan Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abddul Kadir, enam Exconya serta "tiga ekor katak".
Ketiga-tiga mereka merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; Mohd. Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) yang keluar daripada Pakatan dan kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas. "Kami akan membawa usul undi tidak percaya dan kita akan melihat siapa yang akan mendapat majoriti," katanya. "Ini perlu diuji di dalam Dewan Undangan Negeri," kata beliau. Terdahulu, Nizar secara rasmi berpindah dari kediaman rasmi Menteri Besar di sini pagi ini.
Kata Nizar, beliau berpindah sebagai menghormati peraturan dan arahan Setiausaha Kerajaan negeri Perak dan bukan bermakna menyerah kalah kerana proses mahkamah masih berjalan dalam menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar yang sah. Berucap pada majlis meraikan wartawan sempena perpindahan beliau secara rasmi dari kediaman itu, katanya, Perak tidak lagi menjadi destinasi yang meyakinkan pelabur asing ekoran kemelut peralihan kuasa kerajaan negeri yang mencetuskan krisis perlembagaan. Beliau berkata, pelabur tidak yakin untuk datang ke Perak jika krisis perlembagaan yang berlaku itu dibiar berterusan.
Keadaan yang menjejaskan ekonomi dan pembangunan negeri itu tidak akan selesai selagi DUN tidak dibubar dan rakyat diberi hak untuk memilih kerajaan yang dikehendaki, kata beliau. Peralihan kuasa itu berlaku apabila BN menguasai majoriti kerusi DUN setelah empat wakil rakyat Pakatan Rakyat, tiga mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas dan seorang menyertai Umno bulan lalu. Kerajaan Pakatan telah memohon pembubaran DUN bagi adakan pilihan raya negeri selepas kehilangan majoriti awal bulan ini tetapi tidak diperkenan Sultan Perak. Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar telah menghantar surat kepada Sultan memohon diadakan sidang dewan April depan.
Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohd Nizar berkata tarikh berkenaan adalah mengikut jadual persidangan yang telah dirancang pada tahun ini. Beliau memberitahu pemberita di majlis meraikan wartawan sempena perpindahan beliau secara rasmi dari rumah kediaman menteri besar di Ipoh hari ini. Semalam, Menteri Besar baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berkata tarikh persidangan DUN Perak, akan ditentukan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
"Kita ada tempoh enam bulan, terpulang kepada Tuanku Sultan Perak untuk menentukan masa yang sesuai,' katanya di Ipoh semalam. Kali terakhir DUN bersidang pada November tahun lalu. Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, DUN perlu mengadakan sidang dalam tempoh enam bulan dari sidang terakhir.
Sebelum ini, Sivakumar mengambil tindakan mengejut menggantung dan melarang Dr Zambry serta enam exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN. Sementara itu UMNO terpaksa pergi ke England untuk minta pandangan Queen’s Council cari jalan keluar krisis Perak setelah mereka mendapati mereka di dalam keadaan tersepit akibat melakukan rampasan kuasa di Perak dengan membelakangkan Undang-undang tubuh negeri Perak dan Perlembagaan negara.
No comments:
Post a Comment