Sunday, February 15, 2009

Pakatan cabar BN letak Zambry di Bukit Gantang


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mahu Barisan Nasional (BN) meletakkan Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai calonnya di kerusi Parlimen Bukit Gantang bagi menguji populariti penerimaan rakyat dalam krisis politik yang melanda negeri itu.

Jika BN meletakkan Zambry, Pakatan mahu meletakkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bertanding pilihan raya kecil kerusi Bukit Gantang.

Kini kedua-dua mereka merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak.

"Kita cadangkan sahaja... tapi kalau benar beliau akan bertanding, maka secara automatik kita dah tahu siapa yang akan kita letakkan sebagai calon PAS.

"Sudah pasti PAS akan turunkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin... baru kena regunya," kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 April ini sebagai hari pengundian bagi kerusi Bukit Gantang dan Bukit Selambau di Kedah.

Penamaan calon pula dijadualkan 29 Mac.

Mengulas lanjut, Husam berkata, Pakatan Rakyat telah bersetuju supaya Pas dan PKR meletakkan calon masing-masing seperti pembahagian yang dilakukan pada pilihan raya umum yang lalu di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

"Soal calon kita ada banyak senarai, kita akan pertimbangkan dan perhalusi satu persatu.

"Saya kira masih terlalu awal untuk kita umumkan sekarang kerana kita ada terlalu banyak masa sebelum hari penamaan calon," kata beliau ketika ditemui selepas majlis perasmian Bengkel Memperkasakan Gabungan Pakatan Rakyat di sini pagi ini.

Dalam pada itu, bengkel khas tersebut tidak membincangkan sama ada akan membawa usul undi percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen apabila Dewan Rakyat kembali bersidang esok.

Isu membawa usul percaya tersebut mula dibangkitkan selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang manyatakan bahawa Pakatan Rakyat mahu Abdullah kekal sebagai Perdana Menteri bagi meneruskan agenda pembaharuan.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata soal mahukan Abdullah kekal sebagai Perdana Menteri bukan menjadi pendirian Pakatan Rakyat ketika ini.

"Hal ini bukan pendirian Pakatan Rakyat kerana ia belum dibincangkan di peringkat Pakatan.

"Perkara itu hanya disuarakan oleh pemimpin dalam PAS, tapi saya percaya perkara ini akan dibincangkan juga nanti tapi bukan kali ini," katanya.

Husam pula menyifatkan pandangan yang diberikan oleh Presiden partinya selepas kemenangan calon mereka dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan lalu disifatkan sebagai 'permintaan sinis'.

"Itu hanya satu cadangan yang sinis kerana sampai hari ini tidak ada pentanda Datuk Seri Abdullah akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Sebab itulah sehingga ke hari ini tarikhnya masih belum ditentukan, kalau betul dia mahu letak jawatan, sekarang tinggal lagi sebulan sepatutnya sudah ada majlis perpisahan dan sebagainya," katanya.

Sidang media itu turut dihadiri Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim.

Abdullah dijadual melepaskan jawatannya hujung bulan depan iaitu selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Tahunan Umno.

Bengkel hari ini tidak dihadiri oleh mana-mana Presiden parti dalam Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, Pas dan DAP.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak hadir kerana berada di luar negara.

Mengulas mengenai sama ada bengkel ini juga akan membincangkan mengenai pembentukan barisan 'Kabinet Bayangan' serta pembahagian portfolio dalam Pakatan Rakyat, Husam turut menafikannya.

"Perbincangan hari ini memfokuskan kepada kumpulan pertengahan parti dengan memberikan pendedahan kepada tiap-tiap parti supaya persefahaman yang lebih jelas dapat diwujudkan," katanya.

No comments:

Search This Blog