"Kerajaan Kudeta BN Perak semakin menuju ke jalan mati. Perkembangan akhir-akhir ini semakin menjerut leher mereka yang memulakan drama rampasan berdasarkan nasihat undang-undang yang salah. Perasaan tamak dan ingin menguasai kerajaan Perak dengan apa cara sekalipun telah meletakkan mereka tersungkur di Perak lebih awal daripada yang dijangka.
Setelah sepuluh hari berlalu, peristiwa rampasan kuasa itu akan berakhir tidak lama lagi. Ketenangan, ketabahan dan kebergantungan DS Nizar dan penyokong yang mermunajat dan solat hajat kepada Raja segala Raja, Allah SWT telah menampakkan kesannya.
Antara perkembangan menarik ialah Speaker DUN Perak telah menghantar notis saman kepada MB baru dan exconya untuk dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu ini.
Speaker juga mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap kepada Menteri Besar baru Perak dan enam Exco jika mereka tidak hadir perbicaraan khas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN
Speaker boleh mengambil tindakan ke atas Zambry dan barisan exconya seperti menggantung keahlian dewan kesemua yang terlibat tanpa gaji seperti mana yang pernah berlaku ke atas Teng Chang Khim pada April 25, 2005, dimana beliau telah digantung dari Dewan Undangan Selangor setelah dituduh bersikap biadab kepada Speaker Datuk Seri Onn Ismail waktu itu.
3 ADUN lompat pula telah dianggap meletak jawatan oleh Speaker DUN. Sudah tentu mereka tidak akan dibenarkan masuk ke dalam persidangan DUN.
Rakan Bebas MB baru iaitu YB Osman Jailu pula menghadapi masalah di mahkamah kerana menipu hakim ketika kesnya dibicarakan kononnya tidak hadir kerana dirawat di HKL, sedangkan Pengarah HKL menafikan Osman pernah dirawat di situ.
Ujian terbesar menguji kesahihan kerajaan baru itu ialah kes yang telah difaikan terhadap MB baru oleh DS Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. DS Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu.
Semua halangan dan kekusutan itu boleh dirungkai dengan pembubaran DUN. Jika tidak, rakyat akan semakin marah. Kemarahan rakyat tidak akan dapat dipadam hanya dengan gula-gula pembangunan dan sekatan oleh Polis . Pemimpin UMNO perlu keluar dari tabir Istana untuk berdepan dengan rakyat di pentas pilihanraya semula!
No comments:
Post a Comment