Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan.
Beberapa laporan media termasuk blog dan portal berita sejak beberapa hari lalu mendakwa teman lelaki Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong adalah orang Melayu beragama Islam.
Laporan-laporan itu mendakwa gambar-gambar itu dirakamkan oleh teman lelakinya yang telah putus hubungan.
Malah, Wong dalam kenyataan media dua hari lalu juga menegaskan, beliau tidak akan mendedahkan secara terbuka orang yang merakamkan gambar didakwa separuh bogel dan berada dalam keadaan intim.
Elizabeth, Ketua Penerangan Wanita PKR, kini sedang bercuti selepas semalam mengumumkan hasrat untuk melepaskan kedua-dua jawatan Exco dan ADUN Bukit Lanjan.
Jelas Zahid, jika ada laporan berkaitan isu berkenaan ia akan dirujuk kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), yang terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Jelasnya, JKSM bersedia untuk menjalankan siasatan jika menerima laporan rasmi berhubung hal tersebut. “Saya hanya terima dua SMS, satu daripada portal Agendaily dan satu lagi daripada seorang yang tidak dikenali.
"SMS sahaja tidak cukup untuk dijadikan bukti, kita perlukan laporan formal dan mangsa (Wong) sendiri boleh membuat laporan di abatan Kehakiman Syariah Malaysia,” katanya kepada mStar online hari ini.
Tambah beliau, jika ada laporan yang diterima, kekasih kepada Exco Selangor tersebut boleh didakwa di Mahkamah Syariah kerana terdapat peruntukan dibawah undang-undang syariah di negara ini.
“Dia (Wong) sendiri boleh membuat laporan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan tindakan selanjutnya akan diambil.
“Walaupun dia bukan beragama Islam, dia boleh menjadi saksi ketika perbicaraan tersebut berlangsung. Jika didapati bersalah, kekasih Wong boleh dikenakan tindakan mengikut budi bicara mahkamah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali juga mengakui pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung hal tersebut.
“Sehingga kini kami belum terima sebarang laporan rasmi. Jika ada laporan diterima saya baru saya boleh putuskan tindakan yang akan dikenakan,” katanya.
Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, perkara tersebut tidak terdapat dalam peruntukan undang-undang syariah di Selangor kerana ia bersifat peribadi.
No comments:
Post a Comment