Saturday, June 19, 2010

Zaid Persoal Kemerosotan Teruk Rizab Felda

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan, Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan perbelanjaan besar yang ditanggung Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyebabkan aliran tunai agensi itu merosot teruk.

Dalam satu kenyataan media semalam beliau meminta penjelasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berhubung jawapannya di Dewan Rakyat yang menyatakan jumlah rizab Felda susut sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno ketika bercakap kepada pemberita selepas memberikan jawapan itu di parlimen pada 16 Jun lalu, berkata status kewangan Felda kini menjunam daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2009.

Menurut Zaid, kerajaan gagal menjelaskan pulangan diperolehi Felda menerusi pelaburannya, sebaliknya timbalan menteri hanya memberikan alasan perbelanjaan yang digunakan untuk 'tujuan kebajikan' menyebabkan aliran tunai agensi itu merosot.

Beliau yang juga bekas Menteri diJabatan Perdana Menteri mempersoalkan pengurusan dan perbelanjaan yang dianggap terlalu besar, antaranya, peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk program penanaman semula melibatkan peneroka.

"Timbalan Menteri sepatutnya memperincikan sepenuhnya peruntukan RM2 bilion tersebut, jumlah peneroka yang terlibat, keluasan tanah, sekiranya ini termasuk bayaran sara diri atau bayaran pendahuluan pendapatan untuk peneroka-peneroka dalam program itu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memberikan butiran berhubung pertuntukan RM253 juta dana untuk pembasmian kemiskinan di Sabah dan memberi penjelasan samada ia terus disalurkan kepada kerajaan negeri tersebut.

"Timbalan Menteri tidak menjelaskan bagaimana RM253 juta dibelanjakan, dan memberi maklumat terperinci. Adakah wang pergi secara langsung untuk peneroka-peneroka miskin, atau ia disalurkan kepada kerajaan negeri Sabah, secara tunai? Jika ini dianggap 'kebajikan awam', kita tertanya-tanya sekiranya kewajipan Felda termasuk membantu kerajaan negeri BN yang kekurangan tunai," tegas beliau lagi.Zaid juga mempersoalkan pembinaan ibu pejabat baru Felda yang bernilai RM622 juta dan bayaran pendahuluan sebanyak 40 peratus yang diberikan kepada Naza TTDI.

Menurut beliau bayaran deposit itu lebih tinggi dari nilai pasaran yang pada kebiasannya hanya pada kadar 10 peratus.

Menurut beliau lagi, sepanjang 5 tahun lalu sebanyak tiga anak syarikat Felda telah ditutup iaitu Getah Felda, Sutera Jaya dan Felda Herba.

"Kerajaan sepatutnya beri satu penjelasan terperinci alasan-alasan untuk penutupan dan sama ada ini disebabkan salah urus yang seterusnya menyebabkan syarikat kerugian," tegasnya.

Menurutnya, penjelasan juga perlu diberikan berhubung peruntukan sebanyak RM4 juta hingga RM5 juta untuk menganjurkan pertandingan futsal dan juga penubuhan kelab bolasepak Felda.

"Kebanyakan persatuan bola sepak kebangsaan membelanjakan kurang pada bola sepak kebangsaan mereka, termasuk mereka yang telah melayakkan diri ke Piala Dunia.

"Menteri, bukan timbalannya seharusnya menjawab soalan-soalan ini di Parlimen. Kebertanggungjawapan awam adalah amat penting apabila wang pembayar cukai digunakan.

"Saya menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan cengkaman sementara terhadap Felda dan biar organisasi itu ditadbir secara profesional dan telus," tegasnya.

No comments:

Search This Blog