Friday, June 18, 2010

Skandal PKFZ: Orang terlibat masih bebas, dedah Ong Tee Keat

Pasukan Khas yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan untuk menyiasat skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mendapati bahawa wujudnya kes penipuan (fraud case) yang menelan RM 1.64 bilion dalam skandal PKFZ, dan orang yang terbabit masih bebas sehingga kini, tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Demikianlah pendedahan bekas Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat (gambar kanan) yang disingkirkan semasa kabinet dirombak pada 1 Jun 2010. Malah, Ong Tee Keat selanjutnya membongkarkan bahawa kontraktor utama PKFZ, Syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang dikuasai ahli parlimen Bintulu-BN, Tiong King Sing telah menuntut RM1.64 bilion daripada kerajaan sebelum projek ini dimulakan.

Sebanyak tujuh laporan disediakan oleh pasukan khas dan jawatankuasa yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan, dan kesemuanya masih belum didedahkan sehingga kini. Bagaimanapun, tiada kesimpulan dan tindakan susulan, termasuk mendakwa pihak yang terlibat dan menipu, setelah Pasukan Petugas Khas (Super Task Force) yang ditubuhkan kabinet mengambil alih tugas siasatan PKFZ ini. Malah, tiada perbincangan dalam kabinet berhubung laporan Pasukan Petugas Khas, menurut bekas Menteri Pengangkutan ini.

Seandainya dakwaan laporan pasukan khas oleh Kementerian Pengangkutan tersebut adalah benar, maka kerajaan harus mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menuntut wang tersebut daripada pihak berkenaan, malah menghalang wang itu daripada mengalir ke dalam akaun kontraktor tersebut secara beransur-ansur, tegas Ong Tee Keat.

"Kesemua ini wang titik peluh rakyat," tekan bekas Presiden MCA ini dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 15 Jun 2010 di pejabatnya di Padan Jaya. Ini adalah kali pertama pegawai kerajaan terbabit tampil mengesahkan kandungan dalam tujuh laporan yang disediakan pasukan khas dan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan.

Sebelum ini, The Straits Times yang mendakwa dirinya telah meneliti kandungan terperinci laporan tersebut mendedahkan bahawa beberapa orang pegawai kerajaan disenaraikan sebagai "possible conspirator", antaranya bekas Menteri Pengangkutan Chan Kong Choy, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tiong King Sing (yang menguasai KDSB), bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang, dan sesetengah pengarah dalam LPK. Namun demikian, antara nama yang tersenarai, hanya OC Phang (gambar kiri, wanita di kanan) yang didakwa ke mahkamah setakat ini.

Selain itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) KDSB, Steven Abok; Pengurus projek, Law Jenn Dong dan Bernard Tan Seng Swee dari syarikat perunding BTA Architect turut didakwa atas tuduhan menipu, dengan angka yang terlibat RM122.267 juta dan RM5.41700 juta.

Namun, Ong Tee Keat mengesahkan bahawa beberapa orang disebut namanya dalam laporan pasukan khas oleh Kementerian Pengangkutan, dan "orang yang terbabit" semestinya lebih daripada empat orang yang didakwa di atas.

Selok belok siasatan PKFZ

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Ong Tee Keat mengimbas selok belok penyiasatan skandal ini ketika beliau menerajui Kementerian Pengangkutan. Ong Tee Keat melantik badan bebas, PricewaterhouseCoopers (PWC) untuk menyiasat skandal PKFZ pada Oktober 2008, yang mana laporan auditnya diumumkan pada 28 Mei 2009.

Seterusnya, Ong Tee Keat (gambar kanan) menubuhkan sebuah pasukan khas dan dua jawatankuasa yang baru pada 10 Jun 2009. Pasukan khas ditugaskan untuk melanjutkan siasatan terhadap 20 penyelewengan yang disenaraikan dalam laporan audit PWC, satu jawatankuasa pula menumpukan siasatan terhadap keputusan yang dilakukan LPK dan penyelewengan yang tertunggak selama ini. Satu lagi jawatankuasa ditugaskan untuk menyediakan rancangan bagaimana PKFZ boleh dibangunkan semula.

"Saya memberi tempoh dua bulan kepada mereka untuk menyiapkan tugas ini. Selain satu jawatankuasa, dua daripadanya berjaya menyediakan laporan lengkap pada 10 Ogos, seperti yang ditetapkan. Pasukan khas dan jawatankuasa yang dianggotai elit daripada pelbagai bidang ini telah menyediakan tujuh laporan, dan saya cuma memberi satu kenyataan bertulis pada ketika itu."

Ong Tee Keat menjelaskan, beliau tidak mendedahkan laporan ini kerana hasil siasatan ini bakal menjadi bukti penting untuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Setelah mendapat nasihat daripada peguam, Ong Tee Keat memilih untuk tidak mendedahkan laporan ini pada ketika itu, atas pertimbangan unit berkenaan belum membuka fail siasatan, dan beliau tidak mahu dirinya disaman.

20 penyelewengan

Bagaimanapun, beliau mendedahkan bahawa tujuh laporan tersebut menunjukkan bahawa terdapat maklumat yang cukup untuk membuktikan penipuan berlaku dalam skandal PKFZ. Kontraktor yang bertanggungjawab telah menuntut RM1.64 bilion daripada kerajaan sebelum projek bermula. Siasatan ini dilakukan berdasarkan 20 penyelewengan yang tersenarai dalam laporan audit PWC, dan angka penyelewengan mungkin lebih tinggi daripada laporan PWC.

"PWC cuma menyiasat dari segi akaun. Tetapi anggota pasukan khas dan jawatankuasa terdiri daripada ahli profesional, yang masak dengan selok belok dalam bidang ini. Mereka lebih mengetahui sama ada penyelewengan berlaku dalam bidang tersebut," kata Ong Tee Keat.

Demikianlah 20 penyelewengan yang tersenarai dalam laporan siasatan PWC:

1. Cadangan pembelian tanah diluluskan oleh kabinet, tetapi cadangan pembangunan yang menyusul kemudian tidak dibentangkan dalam kabinet untuk mendapat kelulusan.

2. LPK tidak memberitahu kabinet dengan segera, bahawa LPK tidak mampu untuk menanggung kos projek pembangunan ini melalui self-funding.

3. Pengarah LPK tidak menjalankan tugas pemantauan, mengikuti perkembangan sama ada projek terlaksana sebagaimana yang dirancangkan.

4. Tiada rundingan untuk mendapatkan pandangan Peguam Negara, dan sesetengah peraturan daripada Kementerian Kewangan tidak dipatuhi.

5. Mungkin melibatkan konflik kepentingan, kerana sesetengah orang/unit yang terbabit mempunyai hubungan dengan tanah atau KDSB sebelum ini.

6. Faedah pinjaman yang dikenakan Kementerian Kewangan telah mengakibatkan kos PKFZ melonjak dari RM4.947 bilion kepada RM7.453 bilion. Kos akan melambung kepada RM12.453 bilion, melainkan pinjaman daripada Kementerian Kewangan ini dirombak semula.

7. Seandainya LPK mematuhi cadangan Kementerian Kewangan, dengan mengeluarkan bon jaminan kerajaan, dan melaksanakan pembangunan secara berperingkat, maka financing cost boleh dikurangkan.

8. Tanah ditukar tangan dengan harga istimewa yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

9. KDSB mungkin mengenakan faedah yang berlebihan daripada LPK, antara RM51 juta hingga RM390 juta.

10. DA3 (Development Agreement) bukanlah satu kontrak dengan angka tetap, maka KDSB tidak boleh mengenakan kadar bayaran profesional yang tetap.

11. RM 95.256 juta dikutip daripada LPK sebagai kos asas, tetapi tidak disenaraikan dalam DA.

12. Akaun terakhir dalam DA3 tidak menolak bahagian yang mana tiga projek pembinaan yang belum disiapkan.

13. Belumpun plan diberi kata muktamad, kontrak yang bernilai RM1 bilion telah diberikan kepada KDSB.

14. LPK terlalu bergantung kepada KDSB, menyebabkan LPK tidak memperolehi rancangan projek yang memadai nilainya.

15. Pengurusan dan kawalan perancangan yang sangat lemah.

16. Hanya sebahagian bangunan memperolehi certificate of fitness, dan defect liability period telah berlalu.

17. LPK dijangka mengalami defisit tunai pada tahun 2012, dan gagal menjelaskan hutang daripada Kementerian Kewangan.

18. Surat sokongan yang dibenarkan Kementerian Kewangan mungkin ditafsir sebagai jaminan kerajaan bahawa LPK mampu menjelaskan hutang pada masa yang ditetapkan.

19. Kadar sewa PKFZ yang sebenarnya hanya 14%, pendapatan ini gagal mengimbangi perbelanjaannya dalam operasi.

20. PKFZ Sdn Bhd telah mengalami kerugian sebermulanya, dan fund pemegang sahamnya telah menjadi nilai negatif pada akhir September tahun 2008.

Laporan harus diumumkan

KDSB sebagai anak syarikat milik sepenuh Wijaya Baru Holdings Sdn Bhd (WBHSB) adalah kontraktor utama dalam projek PKFZ. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Tiong King Sing (gambar kiri) adalah pemegang saham terbesar WBHSB dengan 70% saham dalam genggamannya. KDSB ditubuhkan pada 22 April 1994, dengan tujuan utamanya--PKFZ.

Bagaimanapun, setelah Super Task Force yang ditubuhkan kabinet mengambil alih tugas siasatan, tiada kesimpulan dibuat terhadap siasatan yang dilakukan Kementerian Pengangkutan, malah tiada tindakan susulan. Ong Tee Keat berkata, Super Task Force ini telah menyiapkan siasatan dalam masa enam bulan, tetapi laporannya tidak dibentangkan dalam mesyuarat kabinet sehingga 1 Jun 2010, dedah Ong Tee Keat yang tersingkir dari kabinet pada tarikh tersebut.

"Seandainya siasatan telah disiapkan, maka mereka (Super Task Force) harus mengumumkan hasilnya. Rakyat perlu tahu perkembangan siasatan ini. Selain itu, sekiranya hasil siasatan telah diperolehi, siapa pula yang perlu bertanggungjawab? 20 penyelewengan disenaraikan PWC, melibatkan orang kalau bukan wang. Kerajaan tidak mengambil tindakan susulan, misalnya siapa yang harus didakwa (di mahkamah)," katanya.

Perdana Menteri Najib Abdul Razak mengumumkan penubuhan Super Task Force yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Mohamad Sidek Hassan untuk meneliti skandal PKFZ pada 9 September 2009. Antara skop yang dikaji termasuklah, pertama, adakah skandal ini melibatkan penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang negara; kedua, good governance dan ketiga, halatuju pembangunan PKFZ pada masa depan.

Pada ketika itu, Najib mendakwa bahawa Super Task Force ini akan mempertimbangkan laporan daripada pasukan khas dan jawatankuasa yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan sebelum ini, namun tiada sebarang pengumuman atau tindakan susulan sehingga hari ini.

No comments:

Search This Blog