Wednesday, June 16, 2010

Gadai pangkalan TUDM bahayakan negara


Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, rancangan untuk menggadaikan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi kononnya untuk tujuan pembangunan membahayakan negara kerana ia bertentangan dengan konsep pertahanan menyeluruh.

"Tindakan itu akan menyebabkan negara akan kehilangan sebuah pangkalan pertahanan di tengah bandar sedangkan ia merupakan satu elemen penting kepada pertahanan nasional yang menepati konsep dan perlaksanaan pertahanan menyeluruh (Hanruh).

"Amat tidak wajar pangkalan pertahanan yang begitu strategik digadaikan semata-mata untuk memenuhi kepentingan kroni pihak yang berkuasa sedangkan pangkalan pertahanan udara seperti di Sungai Besi masih dikekalkan di kebanyakan negara maju," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan, pangkalan TUDM di Sungai Besi bukannya sekadar ruang-ruang pejabat malah ia adalah pusat operasi tentera udara serta pusat integrasi maklumat radar pertahanan udara di bawah tanah dengan hubungan terus dari Butterworth di utara, Kuantan di timur dan maklumat radar mobile dari Bukit Ibam yang mana masa yang begitu lama terpaksa diambil untuk memastikan sistem tersebut betul-betul berfungsi dengan baik dan tepat.

"Pangkalan itu juga merupakan pusat sistem MADGE (Malaysia Air Defence Ground Environment) yang menggunakan sistem Hughes Air Defence Radar," katanya.

Mahfuz juga mempersoalkan apakah jaminan kerajaan tentang jurang masa pemindahan (transfer gap time) yang mana akan melibatkan beberapa tahun lagi untuk proofing dan commissioning.

"Itu belum lagi diambilkira kosnya sedangkan segala kos yang tersembunyi dalam proses pemindahan itu akhirnya terpaksa ditanggung oleh TUDM, angkatan tentera dan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau juga mempersoalkan tentang risiko pemindahan Electronic Warfare Support Centre (EWSC) memandangkan fasiliti tersebut amat sensitif dan kritikal sehingga terpaksa membuka kasut untuk masuk ke dalamnya.

"Mengapa kerajaan buat-buat tidak sedar mengenai perkara itu sedangkan electronic warfare amat penting dan kritikal untuk pertahanan masakini.

"Tidakkah pemindahan demi kepentingan komersil beberapa kroni itu akhirnya akan menjejaskan keupayaan sistem tersebut dalam mengumpul, menafsir, menyebar data-data dan memprogramkan semula electronic warfare termasuk dalam tindak balas elektronik dan langkah-langkah sokongan," Mahfuz mempersoalkan.

Beliau juga yakin, oleh kerana pengkalan tersebut merupakan pusat operasi tentera udara (POTU), akan wujud tempoh tertentu yang mungkin panjang di mana negara kehilangan kawalan semasa proses pemindahan fasiliti penting itu.

Beliau juga mempersoalkan mengapa tiada sebarang maklumat ke mana pemindahan akan dibuat dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya mengumumkan pangkalan tersebut akan dipindahkan ke satu tempat yang telah dikenal pasti dan beliau akan umumkan apabila tiba masanya kelak.

"Bagaimana pula maklumat tentang kos perolehan , kos tidak langsung dan pampasan?" soal beliau.

Mahfuz juga mempersoalkan, adakah kerajaan akan mengulangi kesalahan yang dilakukan berkali-kali sebelum ini apabila ia menyisihkan komuniti tentera dari bandar seperti menjual Kem Majidee, Kem Transit Ampang, Markas 2 Div di Pulau Pinang, Kuarters Tentera di Batu Uban sehingga mengakibatkan negara ketiadaan fasiliti back up yang penting untuk keselamatan negara.

"Adakah tentera negara kita hanya layak tinggal di pedalaman dan dalam kuarters flat tanpa halaman?

"Mengapa hendak dimusnahkan keadaan pangkalan Sungai Besi yang kemas dan tersusun dengan binaan kuarters yang selesa dan dengan infrastruktur yang tersedia untuk memberi pulangan kepada beberapa kroni untuk membuat binaan konkrit yang bakal menjadi satu lagi projek gajah putih memandangkan ruang pejabat di Kuala Lumpur pun berlebihan tanpa mengambil kira ruang-ruang yang pejabat yang tidak digunakan di Bangsar South, Petaling Jaya, Cyberjaya dan lain-lain," Mahfuz mempersoalkan lagi.

Penggadaian pangkalan TUDM di Sungai Besi yang begitu established memusnahkan peninggalan sejarah yang penting dalam pertahanan negara sedangkan ia adalah pangkalan udara yang pertama di negara ini, kata beliau.

No comments:

Search This Blog