Tuesday, June 15, 2010

Anwar dicabar kemuka bukti

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengemukakan bukti bahawa beliau menerima rumah dan kereta baru daripada pihak tertentu sebagai ganjaran keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Zahrain yang merupakan salah seorang ahli Parlimen dari Konsensus Bebas berkata, Anwar tidak perlu berlengah-lengah lagi untuk mengemukakan bukti terhadap segala dakwaannya itu.

“Beliau tidak perlu terus ‘bermain wayang’ dengan membuat tuduhan demi tuduhan tanpa ada bukti. Ini semua sudah jadi politik kebudak-budakkan saja,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah tiga ahli Konsensus Bebas iaitu Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri.

Zahrain mengulas kenyataan Anwar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini bahawa beliau dan ahli Parlimen Bebas lain menerima ganjaran tersebut sebagai syarat mereka keluar parti pembangkang.

Beliau berkata, Konsensus Bebas yang dianggotai wakil rakyat Bebas itu menganggap semua dakwaan Anwar itu sebagai pembohongan dan dusta semata-mata.

“Jika tidak ada bukti tolong diam. Hentikan segala tuduhan itu dan bersikaplah seperti seorang Ketua Pembangkang,” katanya.

Terdahulu sewaktu mencelah dalam perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) oleh Anwar, Zahrain mencabar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu supaya mengemukakan bukti berhubung tuduhan ‘pembelian’ ahli Parlimen PKR.

Zahrain turut menggunakan peluang itu untuk mendesak Anwar mengemukakan bukti-bukti berhubung dakwaan pembentukan kerajaan 16 September yang pernah dijaja Ketua Pembangkang itu.

Anwar bagaimanapun enggan mengemukakan bukti yang diminta sebaliknya menyindir Zahrain dengan berkata: “Tahniah, kereta baru, rumah elok. Semua orang tahu, satu Pulau Pinang tahu.

“Saya buat ucapan di luar tentang orang yang ambil wang ini, saya dah sebut di luar. Saya akan keluarkan kenyataan mengenai orang perantaraan yang sediakan berjuta ringgit pada ketikanya nanti.’’

No comments:

Search This Blog