Friday, June 18, 2010

PR dicadang tetapkan tarikh pilihan raya awal


Empat negeri Pakatan Rakyat dicadangkan menetapkan tarikh pilihan raya lebih awal iaitu semua pihak tahu bila pilihan raya akan diadakan tanpa perlu berteka-teki sebagaimana yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sekarang.

AJK PAS Pusat Datuk Husam Musa dalam blognya berkata, langkah ini dibuat untuk memastikan semua keputusan bila pilihan raya hendak dibuat di negara ini dibincang dengan Pakatan Rakyat dan bukan hak eksklusif BN sahaja.

Apabila tarikh pilihan raya empat negeri Pakatan ditetapkan lebih awal, pihak kerajaan Pusat terpaksa membuat pilihan sama ada untuk membuat pilihan raya peringkat pusat berasingan atau berunding dengan Pakatan.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang memberitahu, tarikh pilihan raya hanya berada di tangan beliau.

"Beliau telah berjanji menjadikan tarikh pilihanraya sesuatu yang mengejutkan. Itu yang diucapkan beliau di Kelantan semalam," tulis Husam.

Bagi Husam, pilihanraya mengejut bertujuan memerangkap pembangkang dan mencari satu masa di mana pembangkang belum bersedia atau sedang mengalami pusingan ke bawah. Termasuk dengan media stage yang mereka atur.

"Jika itu janji Najib dan kita hanya mengikut, sekali lagi tangan UMNO berada lebih atas," katanya.

Katanya, padang permainan tak sama rata telah menguasai pilihanraya Malaysia sejak UMNO mewarisi negara ini dari penjajah.

Sebahagian sebab kemenangan UMNO/Perikatan dan UMNO/BN selama ini ialah kerana mereka menguasai semua instrumen penting untuk menjadikan proses pilihanraya sentiasa menyebelahi mereka.

Setiap dua kali pilihanraya, katanya, mereka mengubah sempadan pilihanraya ikut corak yang membolehkan mereka menang mudah dengan ramuan berubah-ubah peratusan Melayu-Cina-India dan beberapa faktor lain.

Kali ini, hingga kini, mereka tidak lagi boleh berbuat demikian kerana majoriti dua pertiga yang telah hilang buat pertama kalinya.

"Apa lagi unsur pilihanraya yang boleh diubah untuk menjadikan padang lebih sama dan rata? Bagaimana dengan tarikh pilihanraya?

"Jika Najib dengan berani menunjukkan bahawa beliau 'in command', apa pilihan kita untuk membolehkan Najib berfikir dua kali? Apa kata empat negeri Pakatan menetapkan tarikh pilihanraya DUN lebih awal?

"Sebelum Najib membubarkan Parlimen, kita mengumumkan tarikh pilihanraya kita sekarang," cadang Husam dalam tulisannya.

Menurut Husam, tak semestinya tarikh pilihanraya itu awal tetapi penetapan tarikhnya diumumkan awal.

Ini bermakna, tarikh pilihanraya DUN di empat negeri itu berbeza dari tarikh pilihanraya Parlimen jika sekiranya Najib memilih mengadakan pilihanraya berbeza dari tarikh yang telah kita umumkan.

"Mereka bubarkan Parlimen tetapi kita tidak bubarkan DUN sampai tarikh yang telah kita isytiharkan. Pilihanraya DUN dan Parlimen tidak berjalan serentak, kecuali mereka menjadualkan sama dengan jadual kita," katanya.

Husam berkata, apabila ini dilakukan, ada dua kemungkinan.

"Pertama, mereka ikut tarikh kita atau mereka berunding bersama untuk menetukan tarikh lebih awal dan terbuka seperti yang selama ini kita kehendaki. Ini bermakna, tarikh pilihanraya bukan lagi teka-teki dan memberikan kelebihan kepada mereka semata-mata. Atau, mereka terus berdegil dan membubarkan Parlimen tak bersamaan tarikh dengan kita.

"Namun, kita telah mulakan satu precedent baru iaitu tarikh pilihanraya ditetapkan secara terbuka. Bukan bermisteri dengannya. Bukan pula dijadikan senjata yang menguntungkan parti pemerentah semata-mata," katanya.

Tindakan begini bertujuan menghapuskan monopoli penentuan tarikh pilihanraya. Tindakan demokratik untuk kesaksamaan kepada semua pihak, tambah beliau.

Bagi Husam, pilihan tarikh itu boleh atas berbagai asas.

"Jika nak genapkan lima tahun, bermakna DUN empat negeri Pakatan hanya akan dibubarkan awal 2013. Jika empat tahun nak digunakan sebagai asas, DUN boleh dibubarkan pada awal 2012. Akhir 2012 boleh juga dipilih untuk memberikan masa yang cukup untuk negeri ini ditadbir tanpa terlalu banyak politiking pilihanraya.

"Paling penting, Najib perlu tahu, mengejut atau tidak, bukan beliau seorang sahaja berhak untuk tentukan," tegas Husam dalam tulisannya.

No comments:

Search This Blog