Tuesday, June 16, 2009

Pemuda Pas negeri mahu pandangan Nik Aziz dihormati

Dewan Pemuda Pas negeri memberi ingatan kepada sesetengah pemimpin Pas supaya menghormati pandangan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menentang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Naib Ketuanya, Hisham Fauzi berkata, idea tersebut tidak dibincangkan dalam kalangan ahli Pas dan menganggapnya sebagai 'masih tidak masak, tetapi telah dihidangkan'.

Tegasnya, cadangan tersebut mengakibatkan berlaku kekeliruan dan perselisihan faham dalam kalangan ahli dan pemimpin Pas serta pakatan pembangkang.

"Pendirian ini perlu dihormati dan diterima oleh semua pemimpin Pas kerana beliau adalah Mursyidul Am parti.

"Pandangan beliau bukan sekadar berasaskan ilmu yang ada, tetapi selepas melalui pengalaman politik yang panjang dengan UMNO sebelum ini," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin Pas di seluruh negara.

Abdul Hadi dilaporkan sebagai berkata, melalui konsep itu semua pemimpin perlu menolak sentimen parti politik masing-masing dan bersatu dalam membangunkan negara.

Idea tersebut bagaimanapun ditentang keras oleh Nik Abdul Aziz yang turut membidas dan menggelar mana-mana pemimpin Pas yang bersetuju dengan penubuhan itu sebagai 'boneka UMNO'.

Hisham yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Tanah Merah (DPPTM) kesal apabila masih ada pemimpin di dalam parti itu yang mengambil ringan pendirian Nik Abdul Aziz.

"Ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah jemaah Islam sebab itu, DPPTM mengingatkan kepada semua pihak supaya pendirian tersebut diletakkan di tempat yang sepatutnya," tambahnya.

No comments:

Search This Blog