Penasihat Parti Keadilan memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang dijangkakan akan mula dibicarakan Julai ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan itu menerusi peguamnya, Sankara Nair di Pejabat Pendaftaran Jenayah, Mahkamah Tinggi di sini, jam 4.25 petang semalam.
Selain permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi, Anwar juga memfailkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes itu yang dijadualkan bermula 1 hingga 24 Julai depan.
Perbicaraan itu dijadual akan didengar Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Sankara semasa ditemui berkata, permohonan untuk mengetepikan pertuduhan itu dibuat atas alasan pertuduhan itu tidak mempunyai asas, berikutan tiada kes terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Permohonan itu juga selari dengan beberapa dokumen dan barangan berkaitan kes liwat, termasuk laporan kesihatan mangsa, Saiful Bukhari Azlan yang diterima pihak pembelaan.
“Dokumen lain ialah rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan kimia, laporan asid deoksiribonukleik (DNA) Saiful Bukhari dan juga keterangan Anwar kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi, semalam.
Sankara juga sekali lagi menegaskan bahawa pertuduhan itu sebagai satu konspirasi politik.
“Kami juga ingin mengekalkan kenyataan yang dibuat pada 10 Jun lalu terhadap pihak pendakwaan yang tidak memberikan kerjasama,” katanya.
No comments:
Post a Comment