KUALA TERENGGANU - Tanpa ribut atau tsunami, sebuah stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang tiba-tiba runtuh pagi semalam. Nasib baik tidak ada seorang pun penonton di stadium Gong Badak ketika kejadian 7.30 pagi itu.
Nasib baik juga kecelakaan itu terjadi semalam. Sekiranya bumbung itu roboh hari ini mungkin ramai yang maut sebab hari ini sepatutnya berlangsung sukan kakitangan universiti-universiti setempat di stadium berkenaan. Acara itu terpaksa ditangguhkan.
Dan, lebih bernasib baik lagi keruntuhan itu tidak terjadi semasa Sukma 2008 diadakan tahun lalu, jika tidak tentu bilangan yang menemui ajal lebih ramai, mungkin termasuk orang-orang kenamaan yang duduk di ruang VVIP.
Tetapi, apakah kita boleh berasa lega dengan hanya ‘nasib baik’? Apa kata sekiranya nasib tidak menyebelahi kita? Mengapa stadium yang berusia setahun jagung itu boleh menyembah bumi?
Rakyat, khasnya pembayar cukai, tentu layak bertanyakan soalan ini. Stadium Gong Badak – stadium terbesar di Pantai Timur – menelan biayai bukan sedikit: RM300 juta.
Adalah malang dengan belanja sebesar itu, stadium canggih tersebut bertahan hanya setahun. Baru Mei tahun lalu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agung, Sultan Mizan Zainal Abidin, tiba-tiba pagi semalam 60 peratus dari bumbungnya, termasuk ruang yang menempatkan tetamu Diraja, roboh.
Apakah pembinaan yang tergesa-gesa – untuk menempatkan Sukma – boleh dijadikan alasan keruntuhan tersebut? Rakyat tentu tidak dapat menerima alasan seperti ini. Ini bukan kerja RM3 juta, atau RM30 juta, ini projek RM300 juta!
Apakah ada penyelewengan di sebalik projek tersebut? Siapa orang di belakang kontraktor projek mega ini? Bagaimana pemberian projek dilakukan? Pihak mana yang meluluskan binaan tersebut sebelum sah selamat digunakan?
Soalan-soalan ini perlu diselidiki secara terperinci dalam masa terdekat, dan jawapan hendaklah diberitahu kepada umum. Baru setahun jagung, pasti rekod-rekod mudah diperoleh, dan tidak ada sebab siasatan perlu mengambil masa yang lama.
Pasti ada silap di mana-mana, kalau tidak mana mungkin binaan mewah itu boleh roboh – bukan kerana tiupan kencang ribut musim tengkujuh, tetapi runtuh dalam hembusan bayu sepoi-sepoi bahasa. Memalukan!
No comments:
Post a Comment