Monday, June 1, 2009

Mansor menang, PKR kekalkan Penanti

Sebagaimana telah dijangkakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti dalam saingan empat penjuru tanpa kehadiran Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mansor Othman menang dengan majoriti 5,558 undi.

Walaupun majoriti PKR kali ini meningkat dua kali ganda, tetapi jumlah undi yang diperoleh calon parti itu menurun berbanding pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.

Mansor yang memperoleh 6,052 undi manakala tiga calon Bebas iaitu Aminah Abdullah memperoleh 392 undi, Nai Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56).

Sebelum ini Mansor disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang jika menang pilihan raya kecil hari ini.

Dalam reaksinya, Mansor mengucapkan terima kasih kepada para pengundi, pemimpin PKR, penyokong dan pekerja pilihan raya yang telah berusaha kerja membawa kemenangan kepada beliau.

"Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan berterima kasih kepada pimpinan parti dan rakanrakan dari DAP dan PAS serta kepada pengundi Penanti," katanya.

Sehubungan itu tambah Mansor, beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang apabila memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang mulai minggu depan.

Keputusan pilihan raya diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya pada pukul 8.24 malam di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara di Jalan Berapit di sini.

Ketika pilihan raya umum 2008, seramai 12,667 daripada 15,421 pemilih berdaftar keluar mengundi.

Calon PKR ketika itu, Mohammad Fairus Khairuddin menerima 7,346 undi manakala calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid memperoleh 5,127 undi.

Majoriti diperoleh Fairus ialah 2,219 undi.

No comments:

Search This Blog