SHAH ALAM: PAS memulakan Muktamar Tahunan Ke-55 pagi ini dengan menggariskan enam strategi, antara lain mahu menampilkan satu imej dan citra sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang.
Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS perlu menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat 'usuliy' dari segi prinsip-prinsip perjuangan, 'mu’asirah' dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, 'istiqbaliy' dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan. Selain itu, Hadi yang menerajui PAS sejak 2002 berkata, beliau mahu semua peringkat ahli parti memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jemaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar umbi. "Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan," katanya.
Malah, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya ingin memimpin perubahan dalam negara ini dengan Islam.
"Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh," kata beliau dalam ucapan dasar bertemakan Islam Memimpin Perubahan.
Tiga strategi lain yang diketengahkan Hadi ialah:
- Melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah, dengan bersedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema Islam Memimpin Perubahan.
- Terus-menerus memperkasakan parti dan mempersiapkan kepimpinan PAS bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit dari segi tuntutan intelektual dan mendepani permasalahan negara dalam konteks global.
Para pimpinan ulama PAS juga perlu berani berijtihad bagi menangani polemik-polemik baru dalam urusan perundangan dan kancah politik yang serba mencabar ini.
- Mengeratkan persefahaman dan keserasian setiakawan dan kelancaran bekerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat sehingga benar-benar dapat menyerlahkan kredibiliti dan perpaduan Pakatan Rakyat khususnya di semua negeri-negeri yang kita tadbir bagi bersiap sedia untuk menempah kejayaan yang lebih besar dalam pilihan rata umum ke-13.
No comments:
Post a Comment