Thursday, June 4, 2009

Sangkakan kerajaan Ahmad sebaliknya bumbung runtuh dahulu

Oleh Adnan Ibrahim

Orang ramai menyaksikan kegawatan politik Umno Terengganu hanya menunggu masa untuk meletup dan mengubah landskap politik di negeri itu sebaliknya benda lain pula yang runtuh.

Nasib baik tiada jiwa yang ikut tumbang jika tidak Terengganu menjadi negeri kedua selepas Selangor yang akan mendapat liputan siaran langsung menyaksikan pasukan penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa.

Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu, hampir musnah apabila kira-kira 60 peratus struktur bahagian bumbungnya runtuh. Kerugian dianggarkan RM25 juta.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 9.30 pagi semalam itu, melibatkan bahagian hadapan, kiri dan kanan bumbung stadium. Runtuhan dipercayai bermula pada bahagian tengah stadium yang menempatkan bilik tetamu kehormat (VIP) dan tempat duduk utama termasuk pentas diraja.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagaimanapun beberapa motosikal dan sebuah kereta ditimpa bumbung stadium yang runtuh itu.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM292 juta dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas merupakan sebahagian daripada Kompleks Sukan Gong Badak bernilai RM543 juta.

Stadium berkenaan menjadi mercu tanda Terengganu dan gelanggang bagi beberapa acara utama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008 dan perlawanan bola sepak Liga Super.

Menurut sumber stadium tersebut berlaku banyak kerosakan selepas Sukma dan ia dikatakan terpaksa diperbaiki berterusan.

Kompleks sukan ini dikatakan menjadi kebanggaan bekas Menteri Besar Terengganu, Dato' Idris Jusoh terutama dalam kempennya pada pilihan raya umum 2008 lalu menentang PAS.

Bagaimanapun selepas pilihan raya itu beliau tidak dilantik menteri besar dan hanya mampu 'menelan air liur' apabila melihat Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said di atas pentas diraja dalam upacara perasmiaan Sukma di situ pada 31 Mei 2008.

Apakah keruntuhan bumbung stadium projek kroni Idris itu membayangkan kejatuhan awal karier politik dan kumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) beliau sebelum sempat mengusulkan undi tidak percaya kepada Ahmad sebagai menteri besar?

Walaupun 'geng Idris' menjadi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu sehingga 18 Adun tetapi sampai sekarang beliau masih gagal menjatuhkan seorang sahaja musuh politik beliau itu.

Hasrat Idris mahu melihat Ahmad jatuh seumpama Mohamad Nizar Jamaluddin iaitu bekas Menteri Besar dan kerajaan pakatan rakyat Perak kepada Barisan Nasional (BN) sehingga kini belum menjadi kenyataan dan menjadi penyebab Umno Terengganu berpecah dua iaitu kumpulan Adun diketuai Idris dan kumpulan Jawatankuasa Bahagian Umno, yang menyokong Ahmad.

Keruntuhan bumbung stadium itu tidak boleh mengelak daripada menjadi isu percaturan politik kedua musuh tersebut. Bagi Ahmad ia membayangkan betapa buruknya pemerintahan sebelum beliau di samping memberi keuntungan kepadanya.

Tragedi tersebut juga mendedahkan lagi betapa rakusnya pemerintahan Idris mengguna dan mengambil kesempatan wang royalti minyak Terengganu.

Dikatakan 'geng Idris' menjadi kaya raya kerana penguasaan kuasa pemerintahan di zaman Idris kerana itu lebih cepat menjatuhkan Ahmad lebih banyak harta boleh dikumpulkan.

Sementara kumpulan Ahmad pula tidak mengalah kerana di Terengganu boleh menguasai pemerintahan bermakna harta dan kekayaan minyak boleh menjadi milik secara tidak langsung melalui projek mega yang direka.

Akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat jelata Terengganu yang terus tidak ada kerja disebabkan hilang kemampuan daya fikir pemerintah bagi menaikkan taraf penduduknya.

Sepatutnya sudah lama rakyat Terengganu mendapat kemudahan dalam serba serbi hasil wang royalti terutama membentuk dan melahirkan usahawan yang berjaya kerana Terengganu mempunyai banyak wang untuk membimbing belia ke arah tersebut

No comments:

Search This Blog