PUTRAJAYA 5 Jan. - Usaha untuk memboikot produk Amerika Syarikat (AS) dan Israel harus dimulakan oleh rakyat atau pengguna kerana adalah sukar untuk kerajaan mengambil langkah yang sama memandangkan AS adalah sebuah kuasa besar dunia.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan di seluruh dunia mungkin tidak akan memboikot AS kerana takut pada ancamannya tetapi rakyat mempunyai kebebasan mutlak untuk berbuat demikian.
''Orang ramai mesti bertindak seperti dengan tidak meminum CocaCola, mereka boleh membuat pilihan secara bebas kerana tidak ada pihak yang akan memaksa mereka meminumnya.
''Lagi pun rakyat tidak akan mati kerana tidak meminum minuman tersebut," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun tindakan memboikot produk Amerika boleh menimbulkan kesan tertentu, ia perlu dilakukan demi kebaikan dunia.
''Kalau kita mahu lakukan sesuatu yang baik maka kita kena bayar suatu kos atas tindakan ini.
''Kita tidak boleh boikot segala-galanya kerana Amerika miliki teknologi tertentu tetapi usaha kita masih boleh membawa hasil jika boikot diadakan secara selektif," katanya.
Beliau dalam pada itu terus menyeru negara-negara di seluruh dunia memboikot mata wang AS.
''Jika kita tidak menggunakan mata wang Amerika, maka negara itu tidak boleh menjalankan perdagangan atau mengaut keuntungan dan terpaksa menghentikan pengeluaran senjata.
''Duit ini digunakan untuk menghasilkan senjata dan mereka yang simpan duit dalam mata wang Amerika adalah menyumbang kepada pengeluaran senjata untuk membunuh mereka yang tidak bersalah," katanya.
No comments:
Post a Comment