Wednesday, January 7, 2009

Harga minyak kekal sehingga hujung Januari

PUTRAJAYA 6 Jan. - Harga petrol dan diesel akan kekal sehingga hujung bulan ini ekoran tiada perubahan mendadak pada harga minyak mentah di pasaran dunia pada Disember lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, harga minyak di pasaran dunia yang menyaksikan sedikit peningkatan tidak memberi kesan kepada kerajaan.

Kata beliau, kerajaan akan terus menyemak harga bahan api setiap dua minggu bagi menentukan harga yang bersesuaian dengan pasaran dunia dan tidak membebankan pengguna.

''Jika dilihat harga purata bahan api dunia pada akhir Disember lalu adalah AS$41 setong dan semasa pertengahan Disember harganya naik AS$43 tapi kita tetap turunkan harga.

''Penurunan harga sepatutnya lima sen tapi keputusan kerajaan kita turunkan 10 sen, jadi tidak nampak ia boleh turun pada bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat kepada pegawai dan kakitangan KPDNHEP sempena tahun baru di sini hari ini.

Berkuat kuasa 15 Disember lalu, harga petrol RON97 turun kepada RM1.80 seliter manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing RM1.70 seliter.

Penurunan harga itu merupakan kali ketujuh dilaksanakan kerajaan sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.

Harga minyak petrol dan diesel mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

Mengenai keputusan untuk menentukan penanda aras bagi harga bahan api, beliau memberitahu, satu mesyuarat di antara pihaknya dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berlangsung hari ini.

Menurut beliau, kementeriannya mencadangkan supaya penanda aras itu ditetapkan pada kadar di antara RM1.80 dan RM1.90 seliter.

No comments:

Search This Blog