Saturday, October 1, 2011

Laksana Hudud Jika Dapat Undi Majoriti Parlimen



Alor Setar: PAS hanya akan melaksanakan hukum hudud sekiranya mendapat majoriti sokongan dua pertiga di dalam Parlimen.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan hukum hudud di Malaysia mestilah menerusi pindaan perlembagaan iaitu amalan biasa bagi negara demokrasi.

“Keputusan itu diterima semua parti (pakatan pembangkang) dan DAP menghormati apa yang diluluskan di Kelantan pada tahun 1993 dan Terengganu pada 2003, cuma proses pelaksanaannya itu mesti melalui perlembagaan.

“Perlembagaan ertinya menerusi pindaan ke arah perkara yang boleh untuk melaksanakan hudud, iaitu mestilah mendapat dua pertiga sokongan (Parlimen) dan ia proses biasa dalam negara demokrasi.

“Kecualilah PAS mengambil pendekatan revolusi angkat senjata dan tidak berpakat dengan orang langsung. Itu lain lah... kita memilih jalan pilihan raya dan demokrasi mesti melalui proses perlembagaan yang ada,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah di Kompleks PAS Kubang Rotan di sini, malam kelmarin.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan pakatan pembangkang Rabu lalu yang sepakat tidak melaksanakan hudud seperti dicadangkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana pelaksanaannya tidak menepati dasar bersama pakatan itu, Perlembagaan Persekutuan dan kandungan Buku Jingga.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya menghormati pendirian PAS berhubung undang-undang berkenaan tetapi pada masa sama menerima perbezaan pendirian DAP yang membantah pelaksanaannya.

Ditanya adakah keputusan mesyuarat itu diterima sebulat suara oleh ketiga-tiga parti termasuk Kerajaan Kelantan, beliau berkata, mesyuarat berkenaan mencapai kata sepakat dan semua pihak berpuas hati.


“Kita akan memberi penerangan berterusan kepada orang ramai sebab bagi orang Islam syariat Islam termasuk hudud adalah perkara yang perlu dan wajib yakin. Tetapi cara dan kaedah pelaksanaan itu perlu menerusi Perlembagaan.

“Pinda Perlembagaan di Malaysia bukan perkara baru, kita sudah melalui 53 kali pindaan Perlembagaan sejak Merdeka,” katanya.

Sementara itu, dalam ceramahnya, Mohamad Sabu berkata, isu pelaksanaan hukum hudud ini sengaja dimainkan UMNO untuk menarik sokongan pengundi Melayu pada pilihan raya nanti

No comments:

Search This Blog

Loading...