Setelah tiga tahun mengurus dan mentadbir negeri, Kerajaan Pakatan
Rakyat Negeri Kedah ternyata terus utuh dengan pentadbiran sifar rasuah.
Sehingga kini tiada kes rasuah yang disabitkan kepada pemimpin
kerajaan mahupun pegawai kerajaan, malah Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri
Kedah ternyata berjaya mentadbir negeri dengan baik dengan mengutamakan
keadilan, pertanggungjawaban dan intergiti.
Menteri Besar
Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan, penentangan terhadap
rasuah merupakan dasar utama Kerajaan Pakatan Rakyat dan sesiapa sahaja
yang terbabit dengan rasuah hendaklah dihukum dan tidak dilindungi,
manakala semua urusan kerajaan mestilah dilaksanakan secara telus tanpa
sebarang penyelewengan.
Menurut beliau, sejak mengambilalih
tampuk pemerintahan negeri, beberapa langkah berhubung hasrat kerajaan
untuk menegakkan pentadbiran yang berintegritikan telah dilaksanakan.
Katanya,
antaranya termasuklah Menteri Besar dan Exco telah membuat pemotongan
gaji dan elaun secara bulanan ke Tabung Tunku Mahmud serta pengurangan
elaun mesyuarat bagi Menteri Besar dan Exco yang menjadi anggota Lembaga
Pengarah anak-anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC).
"Ahli-ahli
Lembaga Pengarah GLC tidak lagi dibayar elaun tetap bulanan seperti yang
diamalkan semasa Kedah berada di bawah pemerintahan BN sebelum ini yang
mencecah sehingga RM7 juta setahun tetapi sekarang hanya menerima eluan
hadir mesyuarat yang tidak pun mencapai RM2 juta setahun," katanya.
Setelah
Pakatan Rakyat memerintah Kedah, menurut beliau seperti yang dicatatkan
di dalam buku Kedah Sejahtera 2008, Menteri Besar tidak lagi
menggunakan jet khas, tidak lagi tinggal di hotel mewah ketika ada
urusan kerja di Kuala Lumpur, sebaliknya hanya tinggal di apartmen biasa
yang disewa oleh Kerajaan Negeri.
Katanya,
Menteri Besar turut meminimumkan perjalanan ke luar negara dengan hanya
3 kali dalam tempoh 3 tahun, manakala Exco pula dinasihati menaiki
penerbangan kelas ekonomi jika melakukan perjalanan dengan pesawat
walaupun layak menggunakan "business class".
"Sebaik mengambil
alih pentadbiran kerajaan pada 2008, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri
Kedah terus bertindak dengan merangka dan melaksanakan aktiviti
strategik dalam bidang pembangunan, pendidikan, pembangunan insan,
ekonomi, pertanian, industri, kebajikan dan pelancongan demi
merealisasikan gagasan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua," katanya.
Di
dalam buku yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri
Kedah itu, Azizan menegaskan, walaupun baru tiga tahun mengurus dan
mentadbir negeri, pencapaian Kerajaan Negeri dapat dilihat dengan jelas
oleh rakyat.
Katanya, dalam masa yang sama, rakyat juga dapat
melihat usaha ke arah kemajuan negeri dan kebaikan rakyat akan
diteruskan oleh Kerajaan Negeri melalui Pelan Strategik Kedah Sejahtera
2010-2015 yang telah dilancarkan sebelum ini.
Dari sudut
pentadbiran, setelah mengambil alih pemerintahan negeri, pemberian
kontrak sesuatu projek di bawah Kerajaan Negeri telah dilaksanakan
secara telus dan adil.
Hasilnya, menurut beliau, Laporan Ketua
Audit Negara pada tahun 2009 menyatakan Kedah telah berjaya meningkatkan
hasil sehingga 205 peratus dari hasil balak berbanding tahun 2007,
hasil pemberian konsesi secara tender terbuka," jelasnya.
Sejak
Pakatan Rakyat memerintah Kedah, perakuan dalam Laporan Ketua Audit
Negara 2009 jelas menunjukkan Kerajaan Negeri berjaya meningkatkan hasil
negeri.
"Buat pertama kalinya, GLC telah berjaya menyumbang
sebanyak RM30 juta kepada Kerajaan Negeri. Sumbangan seperti ini tidak
pernah dilakukan semasa Kedah berada di bawah BN sebelum ini.
"Lebih
jauh dari itu, ekoran dari perancangan strategik yang dilaksanakan oleh
Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah, Defisit Belanjawan 2010 sebanyak
RM16 juta telah berjaya diatasi," jelasnya. |
No comments:
Post a Comment