Thursday, July 16, 2009

Rakyat masih mahukan Pas

Calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah menyifatkan kemenangan parti tersebut hasil dari kerja keras seluruh jentera pilihan raya Pas.

Menurutnya, kemenangan ini juga membuktikan rakyat di Manek Urai masih mahukan kepimpinan Pas dan menolak Barisan Nasional (BN).

“Dengan kemenangan saya ini, saya berjanji akan berkhidmat untuk seluruh rakyat di Manek Urai,” katanya kepada media selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan secara rasmi, malam tadi.

Sementara itu, Pesuruhjaya II Pas Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa pula menyifatkan kemenangan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) membuktikan rakyat menolak parti lawan yang menggunakan pelbagai janji dan politik wang untuk meraih pengundi.

“Saya berbangga kerana pengundi Manek Urai mempunyai ketahanan yang tinggi walaupun berhadapan dengan politik wang yang berleluasa contohnya siang tadi (semalam), saya mendapat laporan mengatakan BN mengedarkan sampul biru, kelabu dan putih yang mengandungi wang kepada pengundi disini.

“Kemenangan ini juga membuktikan rakyat meletakkan perjuangan Islam Pas sebagai tonggak utama perjuangan mereka,” katanya.

Ditanya faktor majoriti yang terlalu sedikit mungkin disebabkan kehadiran Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, Husam enggan mengulas.

Katanya lagi, peti undi dikawasan Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama yang dimenangi oleh BN mungkin disebabkan oleh janji Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan membina sebuah jambatan bernilai RM7 juta disitu.

“BN menang di peti undi Manek Urai, jadi BN kena mengotakan janji mereka. Jika tidak rakyat akan marah,” katanya.

No comments:

Search This Blog