Ternyata Manek Urai masih mempunyai rakyat yang bermaruah dan mereka tidak kesemuanya `lapar' kepada sebuah jambatan yang dijanjikan itu.
Tahniah buat Abe Uji walaupun hanya seorang Peraih Ikan,beliau mampu menewaskan seorang tokoh muda profesional yang bijak pandai dari Umno itu. Di atas kertas, sememangnya calon Umno tersebut punyai peluang yang besar untuk memenangi PRK Manek Urai kali ini tambahan pula dengan berbagai janji yang ditaburkan oleh TPM beberapa hari sebelum ini. Pas masih mampu bertahan walaupun parti tersebut dikatakan masih belum sembuh dari `penyakit' dalamannya semenjak muktamar yang lalu. Bayangkan jika Pas tidak menghadapi sebarang masalah dalaman dan bayangkan juga jika Umno tidak mengamalkan rasuah pilihanraya. Siapa boleh menafikan tawaran untuk membina jambatan bernilai 7 ke 10 juta SEKIRANYA Bn menang adalah satu rasuah pilihanraya?
Di sebalik kemenangan ini, apa yang paling mengecewakan adalah tahap profesionalisma Pengarah Pilihanraya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun yang dilihat begitu lemah dan cuai di dalammenyampaikan maklumat yang tepat atau hampir tepat. Sebagai contoh, sepertimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini, Abdul Fatah Harun memberikan maklumat dengan berkata "jentera pilihanraya parti itu telah mengumpul dan mengira pembuangan undi setakat ini. "Saya tak ingat berapa peratusan yang diperoleh oleh PAS dan BN. “Tetapi saya boleh kata, kita akan menang dengan majoriti hampir 2,000 undi,” tambahnya. Kenyataan beliau ini dibuat pada jam lebih kurang 3 petang di mana masih ada 2 jam lagi masa untuk mengundi. Di mana beliau memperolehi angka sebesar itu untuk dihebahkan kepada media? Apakah beliau terlalu yakin sehingga membuat perkiraan sendiri tanpa menunggu selesai waktu pengundian? Tidakkah kenyataan beliau selaku Pengarah Pilihanraya Pas akan dianggap satu kenyataan rasmi oleh media?
Oleh kerana kecuaian dan kesilapan beliau itu menyebabkan berita-berita yang disebarkan oleh media termasuk media alternatif turut memberikan laporan dan maklumat yang bukan sahaja tidak tepat malahan jauh dari apa yang sebenarnya. Kenyataan yang terlalu awal dan tidak bijak oleh Abdul Fatah sedikit sebanyak turut mempengaruhi jentera-jentera pilihanraya Pas kerana mungkin mereka sudah merasa selesa dengan pengumuman oleh Pengarah mereka sendiri, sedangkan masa pengundian masih panjang ketika itu. Tidak salah jika ada yang menganggap Abdul Fatah berbohong dengan maklumat yang diberikannya.
Mungkin ramai di antara pihak media termasuk bloggers yang merasa terkilan dengan cara Abdul Fatah ini kerana maklumat yang selalunya tepat atau hampir tepat yang dilaporkan kepada orang ramai sebelum ini ternyata kali ini jauh berbeza. Majoriti 2000 yang diperolehi oleh Pas yang dikatakan selesa oleh Abdul Fatah rupa-rupanya hanya mendapat majoriti 65 sahaja. Kita tidak kecewa dengan majoriti yang kecil itu kerana kita hanya mahu melihat Pas talkinkan Umno di Manek Urai, tetapi kita amat kecewa dengan prestasi dan standard Pengarah Pilihanraya Pas tersebut.
Ini satu pengajaran buat Pas untuk melantik sesiapa bagi mengetuai pilihanraya di masa-masa akan datang. Tokoh tersebut mestilah yang boleh merancang strategi dengan baik serta mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan bijak. Saya melihat Abdul Fatah tidak mempunyai kreteria-kreteria tersebut. Bagi saya secara peribadi, Pas menang di dalam PRK Manek Urai ini tetapi tidak bagi Abdul Fatah Harun. Beliau sebenarnya gagal di dalam melaksanakan tugas beliau.
2 comments:
Kalau Pengarah Pilihanraya macam tu macamana pulak standard orang bawah? Klik blog aku untuk ikuti pandangan aku.
lain kali tukarkan aje pengarah pilihanraya...kalu pandai cakap tapi tak tau buat keje buat apa...Mafmud pun dah habaq yang pas akan menang dengan majoriti yg sedikit aje...
Post a Comment