Rais Yatim, seorang Menteri dan juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, beberapa hari lalu telah membuat satu kenyataan yang luar biasa.
Bukanlah saya terkejut bila Rais membuat kenyataan yang luar biasa dan aneh itu. Dah memang menjadi “trademark” Rais yang begitu rupa. Kali ini dia berkata Kelantan tak ada hak di bawah undang-undang untuk membuat tuntutan terhadap Petronas daripada hasil minyak dalam kawasan Laut Cina Selatan yang sudah dalam produksi sejak tahun 2004.
Terengganu juga katanya tidak berhak kepada royalti minyak kerana apa yang diberi kepada Terengganu adalah wang ehsan mengikut budi bicara Kerajaan Pusat. Wah! Hebat sungguh kenyataan Menteri yang dikatakan pakar dalam bidang undang-undang itu.
Mungkin esok Rais akan mengumumkan pula bahawa Sarawak dan Sabah pun “tidak ada hak” untuk dapatkan royalti minyak dan beratus juta ringgit yang diperolehi sekarang hanyalah “wang ehsan” semata-mata. Kalaulah semua ini benar, maka ia bererti tak ada maknalah janji Petronas kepada Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah pada tahun 1975. Setahu saya, mengikut perjanjian itu, Petronas wajib membuat bayaran tunai dua kali setahun kepada negeri-negeri tersebut. Jumlah pembayaran itu adalah 5 peratus daripada hasil jualan minyak dari kawasan-kawasan yang dikenal pasti di Laut Cina Selatan.
Rais sepatutnya menjelaskan kepada rakyat apa yang sudah terjadi kepada perjanjian yang saya sebutkan itu. Apakah perjanjian itu sudah tidak boleh dipakai lagi? Mengapa mahkamah sudah sekian lama membekukan atau “cold storage” tuntutan Terengganu terhadap royalti minyak itu? Nampaknya mahkamah di negara kita dalam kes-kes tertentu begitu cekap dan pantas sekali membuat keputusan tetapi dalam hal-hal yang tidak menguntungkan Umno dan Barisan Nasional, mahkamah mengambil masa begitu lama.
Apa dah jadi dengan tuntutan kerajaan Terengganu terhadap hasil minyaknya?
Bilakah kes tuntutan kerajaan Terengganu mengenai minyak itu akan didengar? Ada baiknya Rais tunggu sebentar dan jangan cuba menjadi hakim yang tahu segala-galanya. Saya yakin Malaysia masih ada hakim yang jujur dan para peguam yang lebih bijak dan cekap daripada Rais. Jadi biarlah mahkamah yang menentukan keputusan sama ada Terengganu dan Kelantan ada hak atau tidak dalam perkara ini.
Kepada Rais, saya harap beliau dapat menumpukan lebih banyak masa untuk meningkatkan mutu rancangan TV dan radio RTM serta memastikan agensi berita Bernama yang dibiayai sepenuhnya oleh pembayar cukai tidak menjadi alat kepada UMNO dan Barisan Nasional, daripada cuba berlakon menjadi hakim mahkamah.
No comments:
Post a Comment