Monday, July 13, 2009

100 hari Najib ditampuk kuasa, masih belum ternampak perubahan ketara

Semalam genaplah 100 hari Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri Malaysia yang keenam. Semenjak dilantik, Najib telah memperkenalkan gagasan “1 Malaysia”.

Selain daripada itu, slogan baru turut dicanaikan kepada rakyat iaitu “Rakyat diutamakan pencapaian didahulukan”.

Diharapkan gagasan 1 Malaysia ini tidaklah hanya sekadar retorik seperti gagasan “Islam Hadhari” yang diperkenalkan oleh bapa mertua Khairy Jamaluddin ketika menjawat jawatan sebagai perdana menteri Malaysia kelima.

Ada banyak perkara yang masih perlu diselesaikan sebelum Malaysia dapat mencapai matlamat 1 Malaysia. Masalah-masalah yang perlu diselesaikan ialah “dosa-dosa” yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh perdana menteri terdahulu.

Pemerintahan perdana menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berjaya menyelesaikan isu pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Pada ketika itu, Menteri De Facto Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim mewakili kerajaan Malaysia bagi memohon maaf kepada Salleh diatas kesalahan kerajaan dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecat bekas Ketua Hakim Negara itu dan memberikan pampasan kepada beliau dan beberapa hakim yang menjadi mangsa kediktatoran Dr Mahathir.

Jika Najib berani dan mahukan 1 Malaysia menjadi kenyataan, peristiwa pembunuhan 14 orang penduduk Kampung Memali pada Nov 19, 1985 yang berlaku dizaman pemerintahan Dr Mahathir harus diselesaikan.

Najib harus berani mewakili kerajaan Malaysia pada hari ini untuk memohon maaf diatas kesalahan membunuh Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya kepada waris keluarga dan penduduk Kampung Memali yang sehingga kini masih dihantui oleh peristiwa ngeri itu.

“Genocide” yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia pada Nov 19, 1985 kepada penduduk Kampung Memali, Baling adalah diantara pencabulan hak asasi manusia yang terbesar pernah berlaku di Malaysia selepas merdeka.

Ibrahim Libya dan 13 orang penduduk Kampung Memali di bunuh semata-mata kerana mereka tidak mahu tunduk kepada undang-undang zalim ISA.

Jika Ibrahim Libya, 13 orang syuhada dan penduduk Kampung Memali berada di Korea Selatan, mereka sudah tentu akan diangkat menjadi “perwira demokrasi”!

Jika Najib berani mengakui kesalahan ini dan memohon maaf secara terbuka bagi pihak kerajaan Malaysia kepada penduduk Kampung Memali diatas “genocide” yang dilakukan semasa zaman perdana menteri terdahulu, beliau akan dikenang sebagai perdana menteri yang berani.

Sedikit demi sedikit “baggage buruk” yang dibawa bersama semasa mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam akan dilupakan.

No comments:

Search This Blog