Oleh eratimur
"Dalam tahun enam puluhan ketika saya dalam sekolah rendah, sudah berpeluang mendengar kempen pilihan raya. Hanya dua parti saja yang bertanding iaitu Perikatan dan PAS. Calon UMNO mewakili Perikatan dengan lambang Kapal Layar berkempen di Balai Raya. Calon PAS hanya berborak-borak di rumah ahli sahaja. Calon UMNO ketika itu Allahyarham Abd Razak Hussin(Datuk Seri, bekas Pengerusi Jengka), kalau menang beliau berjanji akan membina jeti sungai, jambatan bagi menggantikan titi kayu bulat, masjid batu menggantikan masjid kayu hutan beratap nipah.
Selain itu, isi kempennya ialah membilang jasa-jasa UMNO dan Perikatan. Bermula dari menuntut kemerdekaan, bangunkan sekolah, bangunkan balai raya, buat jalan, ujudkan berbagai agensi, diantaranya yang saya ingat ialah RIDA. Kesimpulan isi kempenya menggambarkan seolah-olah kalau tiada Perikatan dan UMNO, nasib orang Melayu tidak terbela dan semua apa jua jenis pembangunan, Perikatan dan UMNO saja yang boleh buat.
Setelah BN khususnya UMNO diajar melalui PRU 12 dengan hilang mejoriti 2/3 nampaknya UMNO belum serik dan belum refresh. Ini terbukti apabila UMNO gagal di P36 Kuala Terengganu 17 Januari baru-baru ini. Kempen BN khususnya UMNO sedikit pun tiada bezanya dengan yang saya dengar dalam tahun enam puluhan dulu. Iaitu menjanjikan pembangunan serta membilang-bilang jasa UMNO dan BN yang memuak dan memualkan. Bezanya tiada lagi jeti, balai raya, jalan raya, masjid, sekolah, tiang eletrik, air paip, bola, jersi, badminton court, jaring, reket. Kalau kita faham, hakikatnya kempen UMNO sedikit pun tidak ada perubahan seperti kempen dalam tahun enam puluhan. Yang berubah hanyalah angkanya saja. Kalau dulu hanya menyebut angka ribu-ribu, kini menyebut angka million atau billion-bilion. Million dan billion itu pun bukan milik BN atau UMNO tetapi milik Kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia bukan BN dan bukan UMNO. Tahun enam puluhan dulu rakyat boleh di gula-gulakan dengan perkara begitu sebab golongan berusia pun belum boleh membaca. Mereka baru belajar A B C melalui kelas dewasa. Sekarang ini jangankan gula-gula, satay pun rakyat tidak mudah terpengaruh. Rakyat bukan lagi mahu melihat gula-gula pembangunan tetapi rakyat mahukan pemimpin yang bertaqwa, yang baik, yang prihatin, yang ada sifat kasih sayang, yang benar-benar mampu memimpin hati manusia kearah kebaikan.
Hanya di Kuala Terengganu kelihatan slogan kempen ‘Sikap Rendah Diri’ dan ‘Mesra Rakyat’ Itu pun bukan sikap sebenar dan tidak juga mesra. Ianya tidak lebih dari rencah kempen. Itu pun silap istilah, sepatutnya ‘merendah diri’.
Nampaknya UMNO hendak merendah diri dan mesra rakyat, namun baru diperingkat slogan diatas kain rentang dan bukan penghayatan, bukan sikap, bukan cara hidup dan bukan budaya. Kalau dibuat-buat, dipaksakan, dilakonkan atau pura-pura merendah diri, pura-pura mesra, kesannya adalah tawar dan hambar. Tak masuk kehati rakyat, tak menarik dan tak memenuhi fitrah manusia. Sebab itu UMNO kalah di P36. Selepas ini entah dimana lagi bakal kalah dan kalah, seterusnya berkubur. Dikalangan pimpinan tertinggi UMNO memberi respon segera bahawa UMNO perlu segera membuat perubahan termasuk membuat perubahan redikal. Tetapi tidak pula disebutkan aspek-aspek yang perlu dalam membuat perubahan diantaranya:
1. Bagaimana hendak membuat perubahan atau makanismanya?
2. Apa yang perlu berubah dan apa bentuknya?
3. Siapa yang patut berubah?
4. Bila hendak mula berubah?
5. Siapa pula yang mampu menggerakkan perubahan?
6. Adakah penggerak perubahan itu sudah benar-benar berubah?
7. Lebih baik UMNO menggunakan khidmat pihak berkecuali dalam membina peribadi pemimpin UMNO.
Andainya persoalan diatas ini tidak upaya diperincikan, nescaya gembar gembur perubahan UMNO itu hanya sebagai gimik politik orang tertentu untuk memperlihatkan seolah-olah ada agenda perubahan. Nampaknya hingga kini masih amat kabur atau tinggal retorik semata-mata. Kemungkinan UMNO akan gagal dalam membuat perubahan kerana semua tahu bahawa sikap, adat kebiasaan, tabiat dan budaya hidup adalah suatu yang amat sukar untuk diubah. Sebagai contoh, sikap sombong dan degil pemimpin UMNO hingga tidak mahu mendengar pandangan dan nasihat orang lain, amat sukar untuk diubah. Budaya hidup materialistik, mewah, kaya raya, tamak dikalangan pemimpin UMNO juga bukan mudah untuk di ubah. Ini belum lagi dihitung gejala sosial terutamanya rasuah amat berleluasa. Memanglah jumlah yang disabitkan kes rasuah amat minima. Namun ‘ikan bilis’ itu sajakah kes rasuah dalam UMNO? Rakyat tak percaya!
No comments:
Post a Comment