Thursday, January 29, 2009

Jika Ramlang Dipecat, Apa Halnya Pula Dengan Datuk Mat Razali?


" Bekas Imam Masjid Wilayah Persekutuan yang pernah mendakwa diarah menjadi saksi sumpah laknat Saiful Bukhari akhirnya dipecat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Mengikut Malaysiakini, Ramlang Porigi, yang ditukar serta merta ke jabatan tersebut September lalu selepas berucap dalam satu kempen ketika pilihanraya kecil (PRK) Permatang Pauh, mendapat surat pemecatan itu minggu lalu.

Dalam surat JAKIM kepada beliau bertarikh 20 Januari 2009, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu dipecat kerana "mencemarkan nama Perkhidmatan Awam" selepas terlibat dalam kempen Anwar dalam PRK itu pada 24 Ogos tahun lalu. Difahamkan surat pemecatannya yang ringkas itu antara lain menyebut "keterangan-keterangan sedia ada sudah mencukupi" untuk memecat Ramlang. Surat yang ringkas, padat dan membunuh!!

Yang menjadi persoalannya, apakah kesalahan yang dilakukan Ramlang memang melayakkan beliau dipecat? Walaupun dalam Perintah Am (General Order), anggota Perkhidmatan Awam tidak dibenarkan terlibat dalam politik termasuk berkempen bagi mana-mana parti politik; namun arahan tersebut ada "tetapi"nya. Jika anda pernah berkhidmat dengan jabatan dan agensi kerajaan di peringkat negeri, anda akan melihat bukan sedikit pegawai kerajaan yang terlibat berkempen bagi pihak kerajaan BN sama ada dalam Piliharaya Umum mahupun Pilihanraya Kecil.

Mereka yang berkempen biasanya dari kalangan yang berjawatan tinggi seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan-Jabatan peringkat negeri, Yang Dipertua Majlis Bandaraya/Bandaran, Pegawai Daerah dan sebagainya dalam majlis-majlis rasmi membabitkan jabatan-jabatan tertentu. Mungkin dalam ucapan mereka tiada ungkapan terus terang seperti, "undilah BN" dan sebagainya, tetapi apabila dalam ucapannya menyebut jasa kerajaan yang memerintah kini dan segala puji-pujian lagi terhadap kebaikan kerajaan di musim pilihanraya, khalayak di depannya akan tahu siapa pihak dan mana parti yang dimaksudkannya itu.

Yang terkini ialah dalam kes PRK Kuala Terengganu baru-baru ini. Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim yang juga merupakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah menimbulkan kontroversi ekoran dakwaan beliau telah berkempen dengan meminta kakitangan MBKT mengundi BN. Bagi mengelakkan perkara tersebut terus menjadi kontroversi, beliau akhirmya atas nasihat Suruhanjaya Pilihanraya telah meletakkan jawatan sebagai Pegawai Pengurus Pilihanraya.

Persoalannya di sini ialah jika "ikan bilis" seperti Ramlang boleh dipecat, bagaimana pula dengan "ikan jerung" seperti Datuk Mat Razali dan ramai lagi pegawai-pegawai atasan yang pernah berkempen untuk BN? Mungkin bedanya di sini ialah si-ikan bilis itu berkempen untuk PR, sedangkan si-ikan jerung pula berkempen untuk BN. Dalam Perintah Am yang disebut ialah tidak boleh berkempen untuk parti politik, tidak kiralah BN atau PR kedua-duanya adalah parti politik. Seperti juga dalam hal ikan tadi, sama ada ikan bilis atau ikan jerung ianya tetap ikan. Sepatutnya layanan adalah sama. Jika seekor ikan bilis boleh dipecat, di luar sana ada seratus lagi ikan jerung yang layak dipecat kerana kesalahan yang sama. Tetapi mengapa hingga ke hari ini belum ada kes pegawai tinggi kerajaan dipecat kerana berkempen untuk BN?

Kepada Ramlang, mengikut Perintah Am anda memang boleh disabit kesalahan kerana berkempen untuk PKR kerana PKR adalah parti pembangkang. Namun nasib anda tentu akan jadi lain jika anda berkempen untuk BN di Permatang Pauh dahulu kerana BN adalah parti pemerintah. Silap hari bulan dan bernasib baik mungkin anda naik pangkat kerana berkempen untuk BN dan BN pula menang dalam PRK Permatang Pauh!

Apa nak buat Ramlang, begitulah nasib kita di bumi bertuah ini: ada dua set hukuman untuk satu kesalahan yang sama. Bilis hukumannya lain, jerung hukumannya lain. Ketika si-bilis dipecat kerana berkempen untuk PKR, si-jerung pula mungkin naik pangkat kerana berkempen untuk BN. Semuanya jadi berbeda kerana perbedaan darjat dan perbedaan idealogi. Malaysia Boleh!!!

No comments:

Search This Blog