Monday, May 11, 2009

Pakatan, BN sedia bincang krisis Perak

BUTTERWORTH: Pakatan pembangkang tidak pernah menolak ruang untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, tidak ada alasan untuk pakatan pembangkang menolak niat baik mana-mana pihak yang mahu mengadakan perbincangan demi kepentingan rakyat.

"Tidak ada alasan untuk kita menolak sikap baik sesiapa juga termasuk Umno dan BN sekiranya ini (perbincangan) disusuli dengan tindakan beradap dan mengikut undangundang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Permatang Pauh di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bahawa kerajaan BN sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia bukanlah bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Najib mengulas kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang semalam yang telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengannya bagi menyelesaikan krisis politik di Perak.

Di PEKAN, Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia bukanlah bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Perdana Menteri berkata, kerjasama keduadua pihak mestilah menjurus kepada saling hormat menghormati antara satu sama lain dan mematuhi undang-undang negara.

"Kerjasama tidak semestinya bererti kita buat kerajaan campuran, tidak semestinya bentuk itu, ia boleh dalam pelbagai bentuk, yang penting sekali saling hormat menghormati antara satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat kelompok cawangan Umno bahagian Pekan semalam.

Najib menegaskan kemelut politik di Perak boleh dielakkan sekiranya semua pihak mematuhi undangundang dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Maknanya kerjasama dalam konteks urusan pentadbiran negara, kalau kita menghormati undang-undang, semua pihak juga perlu mematuhi undang-undang, sebenarnya kalau kita semua ikut peraturan, tak ada kemelut, kalau menghormati peraturan dan undang-undang negara, tak akan jadi kemelut, bila masingmasing menegakkan benang basah, jadilah masalah," katanya.

Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional sentiasa bersikap terbuka dan mahu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Kita tidak mahu keadaaan ini (di Perak) berterusan, kita hendak berkhidmat kepada rakyat, untuk semua kaum di Perak dan seluruh negara," kata Najib

MB Perak sah dijangka diketahui petang ini

PETALING JAYA: Persoalan tentang siapa Menteri Besar Perak yang sah - sama ada Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan terjawab hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim akan mengumumkan keputusannya kira-kira 2.30 petang.

Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac.

Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN.

Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.

UMNO Gali Kubur Sendiri di DUN Perak



Oleh darmasatria

"Seluruh rakyat Malaysia telah melihat semua yang terjadi dalam DUN Perak pada 7 Mei 2009. Sesiapa juga yang menyaksikannya tidak akan mengatakan ADUN Pakatan yang mula buat kacau. Kekacauan berlaku sebaik sahaja Zambry dan semua EXCOnya serta tiga ADUN Bebas tidak mengikut perintah Speaker DUN.

Keengganan itu disebabkan oleh keputusan yang dibuat oleh mahkamah bahawa Speaker tidak berhak menggantung Zambry dan barisan EXCOnya. Hal ini memang diakui oleh Sivakumar. Walau bagaimanapun, yang menggantung Zambry dan barisan EXCOnya bukan Sivakumar, tetapi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang dipengerusikannya. Mahkamah tidak pernah membuat keputusan tentang ketidaksahihan hukuman yang dijatuhkan oleh jawatankuasa termaklum. Pada masa yang sama, kes tiga ADUN Bebas masih belum diputuskan oleh mahkamah. Atas dasar itulah Speaker mengarahkan kesemua mereka meninggalkan DUN.

Pada saat itu baharulah Zambry dan gangnya sedar dari lamunan. Dah terantuk baru tengadah. Kesilapan yang dilakukan semasa membuat tuntutan di mahkamah tidak mungkin lagi dibetulkan. Benarlah kegopohan mengundang bencana.

Oleh sebab tiada jalan lain lagi untuk menyelamatkan diri, mereka pun berbuatlah segala yang disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan dunia itu.

Sememangnya tiada jalan lain untuk menyelesaikan hal ini, kecuali DUN dibubarkan dan diadakan PRU Negeri. Sekiranya mahkamah mengisytiharkan Zambry sebagai MB yang sah pun, krisis ini tidak akan selesai.

Saturday, May 9, 2009

Sidang Dun 7 Mei tidak sah, kali ini BN cabul dewan pula!

Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat sidang Dun Khamis lalu, 7 Mei tidak sah kerana beberapa sebab. Sidang itu adalah rentetan dan siri perbuatan-perbuatan haram yang beranak-pinak dan terus menimbulkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara.

Beliau berhujah, dari awal lagi sidang mengetepikan kedudukan dan kuasa Speaker yang ada yakni V. Sivakumar dan kemudian pelbagai arahan serta perintah dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai autoriti yang sah.

Kedua, katanya pada hari itu sendiri sidang dilakukan melalui rampasan, khususnya Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan. Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan, soal Aziz.

Ditanya mengenai titah Raja Muda merasmikan sidang, Aziz berkata: "Ini tidak penting kerana ini dilakukan dalam sidang yang permulaannya sudah tidak sah. Dan ini pun bukan pokok. Kalau pembukaannya pun sudah tidak sah, tidak perlu kita bercakap hal-hal yang dilakukan selepas itu".

Aziz berpendapat V. Sivakumar masih lagi Speaker Dun Perak yang sah. Di dalam persidangan haram itu Ganesan kelihatan tidak begitu petah bercakap dan tidak begitu mahir dengan peraturan dewan sehingga terpaksa dibantu oleh Datuk Hamidah Osman.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari. Sebelum ini polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

"Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," tegasnya.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok dua bulan lalu sekali lagi polis memainkan peranan utama.

"Sebelum ini kita mendengar bagaimana Ketua Polis Negara sendiri dalam kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat mengakui yang mereka tidak boleh masuk dewan. Anihnya di Perak ada pula undang-undang lain yang mereka pakai".

Di sisi perlembagaan dan undang-undang mahkamah, apalagi polis, sebenarnya mereka tidak boleh campur urusan dewan.

"Apa yang polis lakukan ialah pencerobohan dan jenayah. Tetapi kita tak boleh buat apa-apa kerana kita bergantung kepada polis. Ini kes pagar makan padi," katanya kesal.

Sebab itu, tegas Aziz, cara menyelesaikan krisis di Perak ialah dengan membubarkan dewan kerana apa yang berlaku minggu lalu jelas menunjukkan keadaan makin teruk dan kerajaan haram pimpinan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan terus menghadapi masalah dan terpaksa bergantung kepada istana dan polis untuk berfungsi.

"Ini berlawanan dengan perlembagaan kerana istana dan polis ada peranan dan kerja masing-masing, bukan mengawal dan membantu kerajaan untuk berkuasa", tambahnya. Aziz berkata hanya kerajaan diktator yang berfungsi begitu dan dalam sistem demokrasi kerajaan hidup dan tegak berdasarkan sokongan rakyat, bukan atas bantuan polis dan mahkamah.

"Apa yang berlaku di Perak, oleh kerana cara BN membentuk kerajaan begitu misteri maka lawan mereka tidak dapat menerimanya". Aziz berkata hanya golongan fasis yang tidak percaya dengan pilihan raya sahaja yang akan mengambil tindakan ganas dan di luar kebiasaan untuk berkuasa.

Anihnya, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dalam komennya Jumaat lalu berasa sedih kerana "pihak pembangkang melanggar undang-undang dan membuat kekecohan".

Khamis lalu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga menyalahkan pembangkang kerana membawa budaya rimba dan menentang titah sultan, perintah mahkamah dan arahan polis.

Aziz berkata di sisi undang-undang sesuatu tindakan tidak boleh dilihat berasingan dari suasana yang melatarinya. "Apa yang dilakukan oleh ahli-ahli Dun di Perak adalah respons yang akan dilakukan oleh sesiapa pun termasuk oleh BN sendiri kalau mereka melaluinya. Dengan itu adalah tidak adil untuk menuduh mereka ganas, liar dan sebagainya sedangkan kita tahu bagaimana mereka dilayan oleh polis dan pihak sekretariat kerajaan negeri," jelasnya.

Sebelum ini pelbagai pihak mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengganggu kuasa Speaker V Sivakumar dan sikap pihak polis yang berat sebelah dan tidak profesional

Rampas kuasa Speaker, kudeta kedua berlaku di Perak

Cukup meragukan dan mungkin terbatal. Ungkapan ringkas bagi menggambarkan situasi yang berlaku pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Khamis lalu.

Perlanggaran badan eksekutif terhadap legislatif secara moralnya menjejaskan teori pengasingan kuasa yang masih bersisa di negara ini.

Tindakan Menteri Besar kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir meneruskan tindakan memecat Speaker, V Sivakumar biar pun usulnya ditolak secara jelas menggambarkan eksekutif mencampuri urusan badan legislatif.

Lebih mengaibkan lagi apabila Timbalan Speaker 'merampas' kuasa speaker yang masih berada di kerusi. Ini memperlihatkan Adun BN mempersendakan peraturan Dewan.

Dan paling menjijikkan apabila anggota pasukan keselamatan dikatakan diperalat dengan mengusung keluar Speaker dan mengurungnya di sebuah bilik yang berkunci.

Apa yang berlaku di Perak tersebut secara jelas dapat digambarkan sebagai kudeta pusingan kedua dengan merampaskan kedudukan Speaker secara paksa.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof berkata, segala urusan persidangan Dun Perak pada hari itu amat meragukan kerana tidak berlaku mengikut peraturan ditetapkan.

"Di mana nilai doktrin pengasingan kuasa yang dikatakan diamalkan dalam sistem demokrasi di negara ini. Badan eksekutif tiada hak untuk campur tangan terhadap perjalanan legislatif.

"Sedangkan doktrin itu begitu penting sekali bagi memastikan berlaku check and balance dalam sistem pentadbiran kerajaan," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan di Perdana Resort di sini, hari ini.

Menurutnya, segala perkara yang berlaku pada hari persidangan itu begitu mencurigakan dan boleh dianggap sebagai tidak sah.

Kata beliau apabila persidangan itu sendiri dianggap tidak sah, bagaimana boleh dilantik seorang Speaker baru.

"Saya bimbang apabila setiap perkara yang berlaku itu tidak sah ia turut menjejaskan ucapan perasmian oleh wakil raja Perak. Ini juga boleh menimbulkan satu persoalan.

"Kelihatan ada pihak yang cuba mencemarkan institusi terbabit apabila melanggar dari awal lagi segala peraturan Dewan Negeri sehingga ia menjadi kelam kabut," katanya yang juga seorang peguam.

Bagaimanapun peguam Umno, Dato' Mohd Hafarizam Harun dan Dato' Muhammad Shafei Abdullah dilapor menyifatkan penyingkiran Sivakumar sebagai sah.

Mereka menganggap tanpa kehadiran Sivakumar, Timbalan Speaker, Hee Yit Foong boleh mempengerusikan mesyuarat bagi melantik speaker baru.

Namun berdasarkan kronologi yang dipapar pelantikan Speaker baru dibuat ketika Sivakumar masih berada di kerusi Speaker.

Sabki mempersoalkan bagaimana boleh dikatakan pelantikan Speaker baru sah memandangkan keseluruhan perjalanan persidangan Dewan tersebut dipertikaikan banyak pihak.

Sivakumar semalam mendedahkan beliau dikurung dalam sebuah bilik persalinan selepas diusung keluar Dewan oleh beberapa anggota keselamatan.

Seorang perwakilan Dewan Pemuda berkata, segala kekalutan yang berlaku itu dimulakan Dato' Seri Najib Razak apabila memerangkap tiga bekas Adun Pakatan Rakyat sehingga kudeta berlaku di Perak Febuari lalu.

"Jadi sekarang siapa yang menjejaskan imej negara," kata seorang perwakilan dari Gua Musang

Atas peruntukan mana Hee boleh bertindak sejauh itu?

tidak syak satu lagi tarikh gelap gelita bagi demokrasi di Malaysia. Sidang Dun Perak yang haram dan tidak mengikut undang-undang serta perlembagaan itu hanya menyerlahkan sikap rakus (Mahathir sebelum ini menyifatkan tindakan rampasan kuasa BN Perak ke atas kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebagai gopoh) BN yang tidak sabar-sabar untuk mengambil alih kerajaan Perak.

Benar sekali perumpamaan Prof Dr Abdul Aziz Bari bahawa tindakan memalukan di sidang Dun itu boleh disifatkan sebagai persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu, yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu. Ia bermula daripada tindakan rampasan kuasa yang bercanggah dengan peraturan undang-undang dan perlembagaan negeri.

Begitu juga dengan sidang Dun di bawah pokok yang terpaksa diadakan selepas pihak polis dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang masuk campur dalam hal-hal yang tidak sepatutnya mereka terlibat. Ya, bagaimana Speaker V Sivakumar dihalang daripada menjalankan tugasnya.

Begitu juga yang berlaku di Dun Perak 7 Mei apabila Sivakumar diperlakukan dengan begitu biadab dan dibawa keluar daripada dewan dengan cara samseng jalanan. Pelik, dalam keadaan sidang Dun belum bermula tiba-tiba timbalan speaker yang belot itu, Hee Yit Foong, boleh menjalankan tugas-tugas speaker dan kemudiannya melantik speaker baru. Atas peruntukan mana Hee boleh bertindak sejauh itu? Sedangkan Sivakumar masih ada di situ dan belumpun memulakan persidangan Dun pun!

Campur tangan polis pula satu hal serius yang harus diberi perhatian. Sudahlah selama ini pihak polis sanggup menjadi alat dan perkakas untuk BN mempertahankan sakibaki kuasa mereka, kali ini mereka bertindak lebih rakus lagi, dengan menyeret keluar Sivakumar daripada dewan.

Walhal dulu, semasa kes Karpal Sing dikasari di Parlimen, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara sendiri mengakui bahawa polis tidak mempunyai kuasa dalam kamar dewan. Walaupun jika berlaku pergaduhan hanya petugas Dewan sahaja boleh mengambil tindakan perlu, termasuk tangkapan. Dalam sidang Dun Perak tak dapat dipastikan berapa ramai anggota polis yang hadir terutama yang berpakaian preman.

Juga yang menjadi tandatanya, bilakah masa sebenar sidang Dun bermula, apakah selepas perasmian oleh Raja Nazrin Shah yang terpaksa ditangguhkan sehingga jam 3 petang atau sebelum itu lagi? Bagaimana pula dengan kesahihan perlantikan Speaker yang baru, Ganesan, yang dibuat secara haram dan bercanggah dengan Perlembagaan?

Memang segalanya menjadi cacamarba dan haru-biru apabila begitu ramai anak haram yang lahir daripada persetubuhan haram awal Februari lalu. Tapi yang pastinya, dalang di sebalik apa yang berlaku ini, Najib Razak tidak berasa apa-apa yang perlu dimalukan dengan begitu ramainya "anak-anak haram" yang berkeliaran di negeri Perak itu!

Sivakumar dakwa masih Speaker

IPOH 8 Mei - V. Sivakumar yang dilucutkan jawatannya semalam mendakwa beliau masih lagi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sah dan akan memasuki pejabatnya seperti biasa Isnin ini.

Alasan yang diberikan oleh Sivakumar ialah sidang DUN semalam sebenarnya tidak berlangsung berikutan arahan beliau supaya 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang didakwa telah meletak jawatan supaya keluar meninggalkan Dewan tidak dipatuhi.

Justeru, katanya, usul menyingkirkan beliau dan pelantikan Datuk R. Ganesan sebagai Speaker DUN Perak yang baru dengan sendirinya tidak sah.

''Saya tetap Speaker DUN Perak kerana dari pagi hingga petang semalam, sidang DUN tidak berlaku kerana 10 orang ini tidak keluar Dewan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Sivakumar bertegas tidak mahu memulakan sidang DUN selagi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exconya berada dalam Dewan.

Beliau turut mengarahkan tiga ADUN Bebas iaitu Hee Yit Foong (Jelapang), Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) meninggalkan Dewan dengan segera.

Mengulas lanjut Sivakumar berkeras menyatakan bahawa penggantungan tujuh ADUN BN yang dibuat semasa sidang DUN di bawah pokok pada 3 Mac lalu adalah sah walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan sebaliknya.

''Hujah saya ialah ADUN BN membuat usul sendiri untuk mengiktiraf sidang DUN bawah pokok tidak sah semasa persidangan semalam.

''Dengan membawa usul ini, mereka dengan sendirinya mengiktiraf sidang DUN bawah pokok sebagai sah dan ini menunjukkan penolakan 10 ADUN daripada memasuki Dewan adalah sah," katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa wujud konspirasi yang didalangi BN untuk melucutkan jawatannya sebagai Speaker DUN Perak semasa sidang DUN semalam.

''Semua orang yang dibenarkan memasuki Dewan termasuk kakitangan kerajaan tidak mematuhi semua arahan saya kecuali 28 ADUN dari DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan mahkamah termasuk menyaman BN, Sivakumar menyatakan, perkara itu belum difikirkan lagi.

Terdahulu, Sivakumar membuat laporan polis terhadap BN kerana mendakwa pelucutan jawatannya dibuat secara tidak sah dan dikasari serta diheret keluar dari Dewan.

Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mengesahkan menerima laporan beliau.

Peguam berhimpun bantah tindakan polis

KUALA LUMPUR 8 Mei - Hampir 200 peguam berkumpul di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini membantah penahanan lima peguam dari Biro Bantuan Guaman termasuk pengerusinya, Ravinder Singh Dhalliwal, semalam.

Selain Ravinder, mereka yang ditahan ialah Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman dan Syuhaini Safwan. Mereka berumur antara 26 dan 28 tahun.

Mereka didakwa ditahan kira-kira pukul 11.45 malam semalam di Balai Polis Brickfields selepas tidak dibenarkan berjumpa sejumlah 14 orang anak guam mereka.

Kesemua anak guam itu ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan membantah penahanan aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat yang dikatakan terlibat dalam kempen memakai baju hitam menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Suasana di mahkamah hari ini menjadi bertambah tegang apabila pihak polis meminta Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan menghentikan ucapan dan mengarahkan kesemua peguam bersurai.

Ketika itu kumpulan peguam yang hadir bersorak membantah tindakan polis malah ada yang mengeluarkan perkataan 'kurang ajar' kepada anggota polis yang bertugas.

Antara yang turut menyertai perhimpunan itu ialah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga; Pengerusi Majlis Peguam Kuala Lumpur, Anand Ponnudurai; Pengerusi Majlis Peguam Selangor, Rajpal Singh serta beberapa peguam terkemuka termasuk Malik Imtiaz Sawar, Sulaiman Abdullah dan Tommy Thomas.

Kesavan ketika ditemui pemberita memberitahu, beliau merasa terkejut dengan tindakan polis.

''Mereka (polis) telah melanggar peruntukan tertentu di bawah Kanun Tatacara Jenayah yang menjamin para peguam untuk bertemu dengan anak guam mereka.

''Tindakan polis mempermainkan hak asasi seseorang untuk dibela dari segi undang-undang. Kami (Majlis Peguam) meminta Ketua Polis Negara memberi penjelasan terhadap penyalahgunaan kuasa polis ini,'' katanya.

Selepas berkumpul hampir satu setengah jam, Kesavan dari atas tangga lobi mahkamah mengumumkan bahawa kesemua peguam yang ditahan akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau turut mengumumkan satu mesyuarat agung tergempar (EGM) Majlis Peguam akan diadakan Jumaat ini bagi membincangkan tindakan seterusnya berhubung kejadian itu.

Pada ketika ini, salah seorang anggota polis mencelah ucapan Kesavan dan memintanya mengarahkan kesemua peguam bersurai.

Keadaan hanya kembali tenang selepas Kesavan bergerak meninggalkan kawasan lobi mahkamah ke bahagian luar kompleks tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis telah membebaskan kesemua 20 individu termasuk lima peguam yang ditahan.

Polis cabul sidang Dun Perak , Sivakumar masih Speaker

SEMAKIN banyak pihak menimbangkan kesahihan perlucutan V Sivakumar daripada jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan pengundian pengganti beliau, R Ganesan, bekas Adun Sungkai, dan juga dua lagi usul.

Peguam dan juga Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Malik Imtaz Sarwar tidak bersetuju dengan pandangan Dato' Hafarizam Harun dan Dato' Muhammad Shafee Abdullah, yang dilaporkan berkata bahawa usul yang diluluskan 7 Mei adalah sah.

"Saya tidak bersetuju dengan pandangan Hafarizam dan Shafee. Saya tak nampai bagaimana it boleh menjadi sah," jelas Malik Imtaz kepada Malaysian Insider.

Prosidur diragui

Dia mendapati terlalu banyak persoalan berhubung prosidur di dalam ruang dewan, mengakibatkan kesahihannya diragui.

"Pertama, bagaimanakah persidangan itu boleh sampai ke peringkat di mana Hee mengambil alih persidangan?" beliau mempersoalkan, merujuk kepada Hee Yit Foong, Adun Jelapang merangkap Timbalan Speaker.

"Sekiranya Sivakumar berada di situ secara sah, bagaimana dia (Hee) boleh mengambil alih (tugas Speaker)?" tambah beliau, merujuk kepada penjelasan Hafarizam yang membuat rujukan kepada Perkara 36A(1)(b) Peraturan Persidangan yang membenarkan Timbalan Speaker mengambil tempat menggantikan Speaker.

Versi bercanggah

Kata Imtaz, dia mendengar versi yang bercanggah-canggah mengenai peristiwa 7 Mei, termasuk dakwaan kononnya pada satu ketika Sivakumar tidak berada di dalam kamar dewan sewaktu persidangan berlangsung.

Beliau juga mempersoalkan kehadiran pegawai polis berpakaian biasa di dalam kamar dewan.

"Polis tidak sama sekali mempunyai kuasa dalam kamar dewan," kata Imtaz, dan merujuk kepada kenyataan terdahulu oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara pada Mac lalu selepas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Karpal Singh dikasari di Parlimen.

Syed Hamid dan Musa Hassan menegaskan bahawa pihak polis tidak boleh campur tangan dalam kamar dewan walaupun sekiranya terdapat pergaduhan dan hanya petugas dewan (sergeant-at-arms) mempunyai kuasa menangkap.

Polis bukan agen parti politik

"Polis telah bertindak tanpa kuasa. Mereka sebenarnya menjadikan diri mereka sebagai agen kepada sebuah parti politik dan bukan sebagai pelaksana bebas undang-undang," kata Imtaz, sambil menekankan bahawa Sivakumar adalah masih Speaker yang sah ketika itu.

Sementara menekankan pandangannya bahawa tidak bermakna Adun Pakatan Rakyat bebas daripada apa-apa perlakuan salah, Imtaz menolak penjelasan Dr Zambry Abdul Kadir yang mengatakan BN tidak mempunyai pilihan kecuali memanggil polis apabila keadaan menjadi semakin tegang.

"Mereka mengatakan mereka tidak ada pilihan tapi itu tidak benar. Mereka boleh sahaja memfail untuk mendapatkan perintah mahkamah dan menyebut Sivakumar sebagai menghina mahkamah. Mereka tidak melakukan demikian tetapi memilih untuk membantu diri-sendiri tetapi membantu diri-sendiri tidak dibenarkan di bawah sistem perundangan kita," jelas Imtaz lagi dengan nada marah.

"Bahkan, cara paksaan terpaksa digunakan - dengan menggunakan polis untuk memaksa Sivakumar keluar dari kamar dewan tanpa sebarang alasan-� ini adalah merupakan penunjuk yang mencukupi bahawa BN tidak mempunyai penyelesaian politik mahupun perundangan terhadap kesulitan yang mereka sendiri mulakan."

Beliau juga mempersoalkan: "Pada saat manakan persidangan sebenarnya bermula?"

Bila sidang bermula?

"Sekiranya perasmian persidangan bermula selepas titah Raja Nazrin, bagaimanapula mereka menjalankan sebarang urusan sebelum itu?" tanya Imtaz.

Beliau menekankan, Raja Muda Perak yang sepatutnya membuka persidangan, memasuki kamar dewan hanya pada kira-kira jam 3.00 petang, setelah berlaku perebutan kerusi Speaker dan setelah tiga lagi usul - pemilihan Ganesan sebagai Speaker, anggota baru untuk jawatankuasa sampingan dan kelulusan pengisytiharan pembatalan sidang Pakatan Rakyat terdahulu yang diadakan di bawah sebatang pohon.

Imtaz juga menegaskan persidangan tersebut juga melanggar beberapa lagi konvensyen, termasuk tidak mengadakan upacara mengangkat sumpah untuk Ganesan selaku Speaker. Ini, tegasnya, biasanya diadakan dalam satu upacara di masa lain di hadapan raja.

Terus buntu

"Inilah antara perkara yang menyebabkan saya merasa ragu tentang kesahan usul yang diluluskan," kata peguam yang baru-baru ini menjadi penerima anugerah hak asasi manusia antarabangsa.

"Akhirnya, terdapat kebuntuan di sini," katanya, dan menambah sekiranya Perdana Menteri Najib Razak "ikhlas tentang Satu Malaysia, dia tidak boleh membenarkan BN melakukan tindakan tersebut."

Bagi pensyarah undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Abdul Aziz Bari, "semuanya begitu jelas dan terpampang."

Katanya, dia bersetuju dengan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa persidangan 7 Mei adalah "haram dan tidak berperlembagaan".

Cara salah pilih Speaker

"Bagi saya, cara mereka memilih Speaker adalah salah. Speaker masih Sivakumar," jelas ahli akademik itu.

Beliau memerhatikan bahawa urutan peristiwa dari 5 Februari sehingga semalam - dari perbuatan melompat parti yang dilakukan wakil rakyat yang dipilih sehinggalah kepada keputusan mahkamah membatalkan keputusan Sivakumar untuk menggantung kehadiran Adun BN - membuatkan kesahihan usul cukup meragukan menurut pandangannya.

Seperti juga Malik Imtiaz, Presiden Majlis Peguam Malaysia Ragunath Kesavan bersetuju situasi di Perak sudah tiba pada titik di mana tidak ada jalan lain kecuali Sultan Perakmembubarkan dewan undangan dan membuka jalan untuk pilihan raya umum baru bagi membersihkan kemelut yang berlaku.

Undang-undang tak boleh selesai masalah

"Bagi kita, cara perundangan tidak akan dapat menyelesaikannya kerana setiap peguam mempunyai pendapat berbeza," katanya.

"Secara peribadi, saya rasa terdapat hujah yang memihak kepada kedua-dua pihak. Satu daripadanya bilakah persidangan itu sebenarnya bermula? Satu lagi apakah Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul yang hendak dibentangkan?"

"Tapi kini Pakatan Rakyat adalah pihak minoriti dan BN mempunyai majoriti stabil dengan 28 campur tiga bebas," jelasnya.

Ragunath menekankan cara terbaik untuk keluar dari permasalahan tersebut ialah membenarkan pengundi membuat keputusan.

"Saya tak fakir dalam demokrasi, untuk kembali semula kepada rakyat setelah baru sahaja mengadakan pilihan raya umum merupakan satu masalah," katanya.

Friday, May 8, 2009

Apa Pilihan Kita Sebagai Rakyat?

(artikel ini tidak wajar diklasifikasikan sebagai hasutan melainkan sebagai ingatan bagi rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi)

Saya tidak mahu mengulas panjang insiden yang berlaku didalam DUN Perak sepanjang hari ini. Semua rakyat Malaysia saya jangkakan telah mengetahui hujung pangkal apa yang berlaku disana. Kesimpulan yang saya dapat berikan cuma satu iaitu;

“Pada tanggal 7 Mei 2009, pastinya akan dikenang selama mungkin oleh rakyat Malaysia yang prihatin bahawa pada tarikh inilah matinya demokrasi berperlembagaan di Malaysia”.

Marilah kita (rakyat Malaysia yang prihatin) bersama-sama berkabung atas kematian demokrasi berperlembagaan yang selama lebih 50 tahun kita julang. Kematian ini bukanlah dilakukan oleh pihak penjajah (kita bukankah telah merdeka?) akan tetapi kematian ini dilakukan oleh bangsa kita sendiri yang rakus kepada kuasa.

Setelah matinya demokrasi berperlembagaan, tidak mungkin akan kekal lagi “Raja Berperlembagaan” sepertimana yang dituntut dan dikhaskan didalam Perlembagaan Malaysia. Apa yang ada hanyalah Malaysia yang dipimpin dan dikuasai secara diktator. Hari ini telah terbukti bahawa “Raja Berperlembagaan” itu hanyalah ujud diatas kertas sahaja sedangkan kuasa sebenar ditentukan oleh Perdana Menteri Malaysia sepenuhnya.

“Raja Berperlembagaan” hanyalah sekadar satu mohor (cap) yang akan digunakan apabila perlu oleh Kerajaan Barisan Nasional. Krisis yang berlaku di Negeri Perak Darul Ridzuan telahpun menjadi “precedence” (duluan kes) bagi seluruh negeri-negeri yang bersekutu dibawah panji-panji Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia).

Bila pemerintah sendiri (Kerajaan Barisan Nasional dan wakilnya) tidak menghormati undang-undang dan perlembagaan, maka adalah tidak wajar sama sekali sekalian rakyat juga menghormati undang-undang dan perlembagaan. Undang-undang dan perlembagaan hanya layak di”bakulsampah”kan sahaja kini. Malaysia nampaknya mengamalkan dua set undang-undang yang berbeza. Satu set khusus untuk diikuti oleh rakyat marhaen manakala satu set lagi khusus untuk Kerajaan Barisan Nasional dan yang bersekongkol dengannya.

Dengan ini, saya syorkan kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin agar meneruskan tindakan berkabung sampai bila-bila sehinggalah dihidupkan kembali demokrasi berperlembagaan di Malaysia ini.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

Matinya Demokrasi Di Malaysia

Amat susah untuk kita memperkatakan mengenai jangkahayat demokrasi di Malaysia ini. Mana tidaknya disuatu pihak (rakyat) amat menyanjung tinggi demokrasi berperlembagaan yang mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh undang-undang dan perlembangaan namun disuatu pihak lagi (penguasa) nampaknya bersungguh-sungguh bersiap siaga melacurkan demokrasi demi kepentingan tembolok dan kuasa yang ada.

Rakyat Malaysia telah lama dimomokkan dengan isu perbalahan kaum, malah boleh dikatakan senantiasa diperbaharui idea-idea perbalahan kaum itu oleh media-media yang dikuasai oleh pemerintah. Tidak cukup dengan isu perbalahan kaum, malah beberapa akta serta ordinan yang termaktub dalam undang-undang negara digunakan untuk memulas telinga rakyat.

Adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Polis dan pelbagai akta-akta lain digunapakai demi untuk menyekat maklumat daripada sampai kepada pengetahuan rakyat marhaen. Ianya diguna demi untuk menyelamatkan pemerintah daripada digulingkan oleh rakyat setelah rakyat mendapati bahawa pemerintah telah menyalahgunakan kuasa.

Bagi rakyat Malaysia, apa yang mampu dilakukan hanyalah membebel diwarung-warung tepi jalan, kedai kopi, kantin pejabat mahupun dialam siber. Tapi didalam keadaan yang mencemaskan ini, telinga-telinga dan mata pemerintah ada dimana-mana. Anda (rakyat Malaysia) boleh saja ditangkap pada bila-bila masa dibawah mana-mana akta yang saya sebutkan diatas. Jika anda berborak (lebih dari lima orang) membincangkan pelbagai penyelewengan yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional, kemungkinan untuk anda diangkut oleh pihak polis adalah tinggi sama ada dibawah Akta Hasutan mahupun Akta Polis.

Jika sekiranya anda meluahkan isi hati anda yang secara langsung mengkritik Kerajaan Barisan Nasional dialam siber (internet), kemungkinan pada bila-bila masa anda boleh dijemput oleh Cawangan Jenayah Siber ataupun Cawangan Khas (SB) dibawah Akta Hasutan, Akta Multimedia malah tidak mustahil anda boleh ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sesebuah negara akan menjadi makmur dan teratur perjalanannya bilamana kritik yang dibuat oleh mana-mana pihak diambil perhatian dan diperbaiki oleh pihak pemerintah. Namun ini tidak menjadi kenyataan di Malaysia. Jika anda mengkritik dasar-dasar serta tindakan Kerajaan Barisan Nasional yang anda rasa bercanggah dengan kehendak rakyat, anda pastinya bersedia untuk “disenyapkan”.

Setelah lebih 50 tahun Malaysia merdeka, tidak ada walau sekalipun Kerajaan yang memerintah (Perikatan @ Barisan Nasional) membenarkan rakyat mengkritik dasar-dasar dan tindakan yang dibuat. Setiap kritik itu pastinya dibalas dengan cara ditangkap dibawah beberapa akta “Draconian” yang pada penyokong Barisan Nasional adalah amat bersesuaian.

Saya tidak pasti bila masanya saya pula akan dilamar dibawah mana-mana akta ini. Nauzubillah jika ianya berlaku kepada saya.

Najib Razak nampaknya telah mengorak langkah cemerlang dalam tempoh kurang 100 hari menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia dengan “mengikat mana-mana mulut” yang celupar mengkritik beliau. Mengkut maklumat yang saya dapati, lebih dari 50 orang akan diangkut oleh pihak Polis pada bila-bila masa terdekat ini.

Apa yang ada pada rakyat kini cuma “doa” yang InsyaAllah pastinya akan dikabulkan oleh Allah S.W.T yang akhirnya akan mengembalikan Malaysia kearah demokrasi yang sebenarnya.

Kerakusan kerajaan BN di Perak terbukti!



Penahanan 64 orang termasuk 4 ahli parlimen dan 5 ahli dewan undangan negerGo to fullsize imagei di Ipoh akan selama-lamanya dirakamkan dalam lipatan sejarah negara ini sebagai lambang kepada perjuangan rakyat menegakkan demokrasi dan menjaga keluhuran Perlembagaan di negara ini. Kepada Tuan Speaker Sivakumar dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Negeri Perak, riwayat perjuangan anda semua akan selamanya tercatat dalam episod perjuangan menuntut Perubahan. Keberanian tuan-tuan semua berdepan dengan kekuasaan sesungguhnya menyempurnakan makna sebenar seorang wakil rakyat.

Saya nukilkan bait sajak ini sebagai tanda kagum kepada saudara seperjuangan semua:

“…Dan bara kagum menjadi api
Di depan sekali tuan menanti
Tak gentar. Lawan banyaknya seratus kali.
Pedang di kanan, keris di kiri
Berselempang semangat yang tak bisa mati.”

Hari ini rakyat menjadi saksi betapa rakusnya kerajaan barisan nasional-umno untuk terus kekal berkuasa, sehingga sanggup mencemar kemuliaan sidang Dewan Undangan Negeri serta mencabuli sistem Raja Berperlembagaan. Maka terbuktilah, bukan sahaja kepada rakyat Perak, malah kepada seluruh rakyat Malaysia, dendangan perubahan perdana menteri yang baru tidak lebih dari sandiwara lapuk. Justeru mereka bergantung kepada kekerasan sehingga sanggup mengheret keluar Speaker Sivakumar keluar dari dewan. Apabila terdesak dan mengetahui rakyat tidak bersama mereka, Demokrasi dan keluhuran Perlembagaan diinjak-injak sedemikian rupa.

ANWAR IBRAHIM

Umno membalas dosa-dosa Khairy



Oleh Mohd Rashidi Hassan

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itulah malangnya nasib yang menimpa manusia bernama Khairy Jamaludin Abu Bakar, Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Pengunduran secara terpaksa Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, mengundang bala yang lebih buruk buat Khairy, selepas setahun ditempelak oleh orang-orang Umno dan parti-parti komponen Barisan Nasional, sebagai antara punca utama kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum 2008.



Sementara kuasa yang besar diberikan kepada Abdullah, Khairy didakwa orang-orang Umno sebagai anak muda yang bongkak, menguasai parti dan kerajaan.

Orang-orang Umno begitu marah dengan Khairy apabila mereka yang jauh lebih berpengalaman terpaksa tunduk kepada 'budak mentah', sebagaimana tuduhan bekas PM, Tun Mahathir Mohamad.

Khairy walaupun suatu ketika mempunyai 'kuasa yang amat besar' dengan menguasai parti dan kerajaan, kini dianggap liabiliti dan sampah oleh orang-orang Umno selepas pengunduran bapa mertuanya.

Ternyata Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung bulan lepas merupakan satu lagi mimpi ngeri buat beliau.

Walaupun menang sebagai Ketua Pemuda menewaskan dua pencabar lain, namun kemenangan itu tidak menjanjikan apa-apa buat beliau.

Khairy bukan sahaja tidak berpeluang menjadi Menteri, malah kononnya diberikan tugas untuk memulihkan sokongan golongan muda terhadap Umno.

Khairy kononnya diamanahkan untuk membuat kerja-kerja besar dan harus membuat penumpuan penuh tanpa perlu memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Hakikat yang berlaku sebaliknya. Khairy ternyata tidak mampu bergerak dalam Umno. Kepercayaan terhadap beliau bukan sahaja tiada dalam Umno, malah anggota komponen BN pun tidak berminat dengan beliau.

Khairy bakal menghadapi kegagalan kerana pertama; Era beliau berkuasa sudah berakhir, kedua; Pemuda Umno berpecah tiga dan tidak mengiktiraf kepimpinannya, ketiga; Pemuda BN khususnya MCA dan Gerakan begitu skeptikal terhadap beliau, dan keempat; Beliau sedang dihukum oleh golongan anti Abdullah dalam Umno.

Malah lebih buruk lagi bukan sahaja Khairy dihukum, orang disekeliling khairy turut menerima tempias yang sama.

Sama ada kroni, pegawai, rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang terkait dengan Khairy sewaktu Abdullah berkuasa, sedang menerima hukuman yang sama daripada orang-orang Umno.

Menurut sumber, masa depan Khairy dalam Umno begitu gelap. Begitu juga dengan juak-juaknya. Mereka kini dianggap sampah yang hina dalam Umno.

Walaupun ada di antara yang bertugas dengan profesional dan dianggap mempunyai kualiti yang baik, namun nasib malang yang bakal menanti mereka kerana dikaitkan dengan Khairy.

Sekarang inipun khabarnya, juak-juak Khairy yang mengerumuninya semasa di puncak kuasa dahulu, sudah semakin menyusut.

Mereka terpaksa meninggalkan Khairy kerana 'sudah tidak boleh cari makan' dalam suasana gelombang penolakan terhadap Abdullah terlalu tinggi.

Khairy sepatutnya sudah memahami dengan jelas isyarat yang ditunjukkan oleh orang-orang Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, sejak sebelum Perhimpunan Agung Umno lagi.

Rakan-rakan dalam syarikat besar yang menguasai media sudah tidak memandangnya lagi, juak-juak di GLC sudah dicantas satu persatu.

Walaupun mungkin anak muda yang secerdik Khairy, berkelulusan dari universiti terkemuka di luar negara, mahu menabur bakti dengan ikhlas dalam Umno.

Namun bagi Umno, kelulusan tinggi tidak penting, keikhlasan tidak bernilai, yang penting hanyalah restu dari Najib.

Khairy semakin tersisih. Disisihkan oleh Najib dan kroni-kroninya, dijauhi oleh bekas juak-juaknya kerana 'takut terpalit najis' daripada Khairy.

Bekas juak-juak Khairy ini tiada bezanya dengan perangai kebanyakan pemimpin ahli Umno, yang hidup mereka berprinsipkan lalang, tiada pendirian dan hanya mengikut arah mana angin bertiup.

Khairy akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa sokongan yang diterimanya selama ini hanyalah kerana beliau menantu kepada PM yang berkuasa dalam negara.

Sekarang ini Khairy siapa? Tiada pelindung, tiada pendukung. Malah beliau sentiasa tersisih dari arus perdana Umno.

Khairy makin tersisih kerana selepas Abdullah tiada, beliau tidak diperlukan lagi.

Jelas, Najib mahu pemerintahan dan kuasa yang bebas daripada bayang-bayang Abdullah. Najib ternyata lebih selesa dengan Mahathir berbanding Abdullah.

Selain orang-orang Najib yang memusuhi Khairy, Mahathir dan juak-juaknya juga sedang menunggu masa yang sesuai untuk mencantas Khairy.

"Hendak membunuh karier politik (Khairy) bukan susah, Isa Samad (Tan Sri) yang menang Naib Presiden dan jadi Menteri pun boleh dibuang dan dikenakan hukuman akibat mengamal politik wang, dalam Umno apa sahaja boleh berlaku," komen seorang penganalisis politik.

Apalah malangnya Khairy sehingga dihukum sedemikian rupa. Apalah besar sangat dosa-dosa Khairy terhadap Umno sehingga ianya kelihatan amat sukar diampunkan.

Pada waktu ini Khairy kelihatan amat tersepit kerana dalam Umno masa depannya sudah tiada, jika tekanan berterusan, beliau seharusnya menimbangkan secara serius untuk berhijrah menyertai Pakatan Rakyat.

Pada tahap ini ramai yang tertanya-tanya, apakah Abdullah hanya melihat sahaja Khairy diperkotak-katikkan oleh Umno?_

Thursday, May 7, 2009

Raja Nazrin sepatutnya tidak hadir sidang Dun Perak



Oleh Ahmad Lutfi Othman

Memang banyak tangkapan yang dibuat polis hari ini di Perak. Dan ramai daripada mereka yang ditahan itu adalah tokoh politik Pakatan Rakyat, khususnya ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun. Mudah sangat polis kita buat kerja, tangkap dan tangkap, langsung tiada budi bicara, rasa kemanusiaan, seolah-olah yang dihadapnya itu benda mati, tiada perasaan, tiada respons.

Lihat saja kes tangkapan Naib Presiden PAS, Mat Sabu. Baru buat rayuan solat hajat dan pakai baju hitam sudah dicekup, juga dengan kekerasan, di tempat awam, di tengah-tengah orang ramai. Ya, nak seru orang solat hajat dan munajat di masjid pun sudah menjadi kesalahan besar.

Segala tumpuan dari seluruh negara dihalakan ke sidang Dun Perak, yang menyaksikan dua Menteri Besar dalam satu dewan, dua Speaker dalam satu dewan, dua barisan Exco dalam satu dewan. Memang ia satu sejarah buat Malaysia apabila Speaker yang sah terpaksa diusung keluar dewan oleh pihak polis. Hari ini akan dikenang sebagai satu lagi tarikh hitam gelita dalam perkembangan demokrasi di Malaysia.

Ramai yang mengikuti debar drama di Ipoh itu dengan penuh tegang, dan ramai juga yang ketawa atau gelihati melihatnya. Pelik melihat bagaimana Adun Umno, yang tentunya didorong dan diarahkan oleh pimpinan atasan mereka untuk memastikan juga bahawa sidang Dun hari ini berjaya memecat Speaker Sivakumar. Dan dengan bantuan polis, secara kekerasan, Sivakumar dibawa keluar Dewan.

Seorang rakan, selepas mendapat tahu Raja Nazrin Shah tetap menunggu untuk menyampaikan titahnya bagi merasmikan pemukaan sidang Dun, menghantar SMS meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan baginda itu.

Saya pun tak pasti apakah satu kesalahan juga bagi rakyat negara ini jika ada rasa kesal terusik dalam dirinya apabila tidak bersetuju dengan sikap raja-raja Melayu?

Apakah boleh kita sebagai rakyat biasa untuk mengkritik atau beranggapan tindakan tertentu baginda terutama dalam kes Raja Nazrin ini, dan sebelumnya tindakan Sultan Azlan Shah yang dilihat memihak kepada kepentingan Umno dan mengetepikan keadilan sejagat buat seluruh rakyat.

Apa yang pasti teman saya itu ternyata kesal dengan sikap Raja Nazrin, yang dianggapnya putera raja paling cerdik di Malaysia tetapi telah terperangkap dalam polemik atau pertentangan politik kepartaian, yang mana baginya seseorang raja itu tidak wajar meletakkan diri baginda dalam kedudukan itu.

Beliau yakin rakyat akan menilai kewajaran Raja Nazrin terus berada di bangunan Dun Perak ketika tercetus kekecohan sehingga Sivakumar dipaksa meninggalkan dewan secara paksa dan ia jelas satu penghinaan kepada institusi Dun. Baginya, Raja Nazrin sepatutnya meninggalkan bangunan Dun Perak itu lebih awal dan lebih aula jika baginda langsung tidak menghadirinya. Saya pulangkan kepada pembaca untuk menilai mesej kawan baik saya itu.

Bisikan diraja' untuk Pakatan

RAJA Muda Perak, Raja Nazrin Shah menitahkan sesuatu kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Setiawan) setelah kedua-duanya dititahkan menghampiri baginda selepas Nizar dilihat menyatakan sesuatu dari bahagian tengah Dewan sejurus baginda berangkat masuk. Insiden itu berlaku sebelum Raja Nazrin Shah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama persidangan penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. --fotoBERNAMA

IPOH: Pemimpin Pakatan Rakyat Perak yang mempersembahkan protes berhubung insiden Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini kepada Raja Nazrin Sultan Azlan Shah, telah dinasihatkan bahawa raja tidak boleh mencampuri soal politik.

"Raja Nazrin memaklumkan bahawa baginda meletakkan penghormatan yang tinggi terhadap saya dan Datuk Ngeh Khoo Ngam (bekas Exco Kanan semasa kerajaan Pakatan) dan memaklumkan bahawa Raja berada di atas politik (tidak mencampuri soal politik)," kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sebaik sahaja Raja Nazrin memasuki DUN yang terletak di bangunan SUK, anggota Pakatan Rakyat berkumpul di tengah Dewan, mengelilingi tempat duduk bentara, untuk menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku termasuk Speaker V. Sivakumar diangkut keluar dari Dewan.

Nizar mempersembahkan kepada Raja Nazrin bahawa pihaknya tidak berpuas hati dengan cara Sivakumar diperlakukan dan anggota polis dibawa masuk ke DUN.

Ketika Raja Nazrin memasuki DUN kira-kira 50 anggota polis berada dalam Dewan.

Apabila dibangkitkan oleh Nizar, Raja Nazrin mengarahkan semua anggota keluar.

Majlis perasmian hanya bermula selepas Sivakumar, Speaker dilantik Pakatan tahun lalu, dibawa keluar oleh pasukan polis.

Sivakumar tidak berganjak dari tempatnya sejak pukul 10 pagi tadi.

Nizar menyatakan demikian pada sidang media selepas sidang DUN ditangguhkan sebaik sahaja Raja Nazrin menyampaikan titah diraja perasmian petang ini.

Raja Nazrin yang sepatutnya merasmikan sidang itu pukul 10 pagi tadi hanya berbuat demikian 3.17 petang.

Baginda tidak dapat berbuat demikian selepas Sivakumar sejak pagi tadi bertegas sidang DUN tidak akan diadakan selagi 10 anggota termasuk Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry tidak keluar Dewan.

Tiga lagi termasuklah ADUN Bebas yang menyokong BN sekarang.

Bagaimanapun mereka tidak keluar Dewan manakala BN pula mengadakan sidang dalam sidang DUN.

Kemuncak insiden hari ini ialah Sivakumar diganti dengan bekas ADUN Sungkai, Datuk R. Ganesan dan diangkut keluar kira-kira 2.45 petang tadi.

Pada sidang media itu, Nizar berkata, pada hakikatnya tidak ada persidangan kerana perintah awal Speaker tidak diikuti. "Jelas lihat hak Speaker tidak dipatuhi dan dirampas," kata beliau yang ditemani Sivakumar pada sidang media.

Sivakumar yang ditahan dalam sebuah bilik berhampiran DUN dilepaskan selepas majlis perasmian.

Kata beliau, DUN Perak telah dilacur dengan begitu dahsyat dengan kerja-kerja yang keji dengan menggunakan orang luar.

"Kami menghormati Raja Muda dan saya dititah oleh Tuanku mahu bekerjadengan Pakatan Rakyat, apa yang BN buat usul dalam dewan semua itu tidak laku dan sah kerana telah ditolak sejak semalam lagi.

"Apa yang dibuat oleh BN iaitu menidakkan Speaker telah menghina Dewan, cukup mengaibkan. Kemasukan orang luar satu tindakan yang tidak bertamadun," katanya.

Mengulas lanjut isu itu, "saya iringi Tuanku keluar dan Tuanku mengatakan baginda mahu bekerja dengan Pakatan Rakyat."

Mengenai tindakan susulan, Nizar yang Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak menambah:

"Kita mahu DUN Perak dibubarkan, kerana kerajaan sekarang tidak sah."

Kata Nizar, beliau akan memohon menghadap Tuanku untuk tujuan tersebut dalam waktu terdekat.

Ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang, Nizar berkata, pasukan peguam pihaknya akan meneliti soal itu.

PAS tidak tertipu agenda media konvensional - Nik Aziz

PAS tidak mudah tertipu dengan agenda media konvensional sekarang melaga-lagakan di kalangan pemimpin PAS menjelang muktamar bulan depan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, gambaran yang diberikan seolah-olah PAS sedang menghadapi masalah besar hanya mainan media sahaja.

Katanya, golongan penulis yang sebelum ini tidak pernah menulis tentang PAS juga berminat berbuat demikian.

"Ini berlaku kerana mereka mencemburui PAS di samping mengakui parti itu telah berada di tengah-tengah masyarakat sehingga berjaya menenggelamkan Umno.

"Setiap kali berlaku pemilihan dalam parti sudah tentu ada pertembungan pandangan, namun ia perkara biasa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil peserta kursus Tafaqquh Fiddin di Balai Islam, hari ini.

Menurutnya juga sejak awal lagi beliau tidak berminat mengadakan kerjasama dengan Umno termasuk melalui muqabalah kerana ia seumpama PAS menolak kereta rosak.

"Dan apabila kereta hidup, orang yang menolak kereta di belakang terus ditinggalkan.

"Itulah sebabnya saya tak mahu PAS bermuqaballah dengan Umno," ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Ditanya mengenai tulisan anaknya Nik Abduh dalam blog yang merendah-rendahkan pembantu Menteri Besar beliau berkata, beliau hanya sekadar menegur sahaja.

Katanya, Nik Abduh ada hak untuk menulis dalam blog memandangkan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri dan mempunyai ilmu agama.

Beliau berkata, semua pandangan negatif atau positif diterimanya.

"Zaman Rasulullah saw dahulu ulama hanya baginda seorang sahaja, yang lain (sahabat nabi) semuanya profesional, tetapi lama kelamaan baginda menggabungkan ilmu profesional dengan ulama yang ada padanya.

"Akhirnya ilmu ulama dan profesional bercampur dalam satu tubuh seorang pemimpin dan inilah yang sedang dilakukan oleh PAS," katanya.

Kata beliau dahulu PAS hanya dipimpin ulama, namun kini dianggotai profesional yang berlainan latar belakangnya.

Menurutnya juga belajar ilmu Islam tidak semestinya di pondok atau sekolah agama, tetapi suasana setempat membolehkan golongan profesional menjadi Muslim sejati.

Search This Blog