Sunday, March 11, 2012

Shahrizat Umum Letak Jawatan Petang Ini


Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil Shahrizat akan mengumumkan perletakan jawatan beliau untuk semua jawatan hari ini.
The Malaysian Insider difahamkan beliau akan membuat pengumuman secara rasmi berkenaan perletakan jawatan itu dalam sidang media petang ini.

Pembantu Ketua Wanita Umno ini yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, Shahrizat akan membuat pengumuman tersebut kepada media di Desa Waterpark jam 3 petang ini.

“Saya tidak boleh bercakap dengan lebih lanjut, datang ke sidang media tersebut jam 3 petang ini dan anda akan tahu,” katanya.

Akhbar harian berbahasa Inggeris, The New Straits Times pagi ini melaporkan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) akan meletak jawatan untuk setiap jawatan yang dipegang beliau dalam beberapa hari lagi.

Akhbar berkenaan berkata, menurut satu sumber, Shahrizat telah memaklumkan pegawai terdekatnya Jumaat lalu bahawa beliau akan melepaskan jawatan menteri dan juga Ketua Wanita Umno.

“Shahrizat telah memberitahu kami beliau ingin melepaskan kedua-dua jawatan. Beliau tidak setuju dengan cadangan beliau letak jawatan sebagai menteri tetapi kekal sebagai Ketua Wanita Umno sehingga pilihan raya depan.

“Beliau telah buat keputusan untuk melepaskan kedua-dua jawatan tersebut,” jelas Ketua Wanita Umno negeri.

Seorang lagi pemimpin kanan Wanita memberitahu akhbar berkenaan bahawa seorang pembantu Shahrizat telah memaklumkan beliau akan meletak jawatan semalam.

“Namun perkara itu tidak berlaku. Kami masih lagi berteka teki kerana pegawainya yakin pengumuman akan dibuat semalam. Mungkin beliau menantikan masa yang sesuaI,” kata sumber tersebut.

The Malaysian Insider turut difahamkan Shahrizat akan membuat pengumuman rasmi malam tadi, tetapi beliau masih lagi belum berbuat sedemikian.

The New Straits Times turut melaporkan berdasarkan sumber peringkat tertinggi bahawa mereka yakin Shahrizat tidak akan bertanding untuk pilihan raya akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berkata pengumuman terhadap perletakan jawatan Shahrizat akan dibuat kemudian.

“Terdapat banyak sangat khabar angin. Tapi kita akan membuat pengumuman dalam keadaan yang lebih teratur,” kata Presiden Umno itu di Johor.

Spekulasi nasib Shahrizat telah menjadi bualan hangat sepanjang minggu ini, dengan berbulan dakwaan bahawa beliau dan keluarganya telah menyalahgunakan dana awam bernilai RM250 juta untuk projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) bagi kegunaan peribadi.

Skandal NFC menjadi perhatian umum setelah dilaporkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010 projek ternakan lembu di Gemas itu gagal menepati sasaran.

Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai ini telah menerima desakan meletak jawatan daripada pembangkang termasuk pemimpin veteran Umno, dengan menegaskan beliau hanyalah isteri kepada Salleh dan tiada kena mengena dengan projek tersebut.

Pihak polis bulan lalu telah mencadangkan agar Peguam Negara mendakwa pengarah NFCorp atas tuduhan pecah amanah, namun beliau meminta agar pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan lebih terperinci berhubung perkara itu

No comments:

Search This Blog

Loading...