Walaupun beliau pada mulanya berusaha untuk mengekalkan jawatan itu, tetapi etika politiknya yang nyata sangat menjengkelkan itu tidak berdaya beliau untuk mempertahankan jawatan yang amat beliau sayangi itu. Sesungguhnya itu sahaja jalan yang tinggal untuknya lakukan kerana kesalahan etikanya sangat menjelikkan kerana suaminya itu mendapat pinjaman semudah itu kerana kedudukan Shahrizat didalam kabinet negara.
Seperti yang saya nyatakan dahulu, jika Shahrizat itu hanya seorang bidan kampung, Salleh tidak mungkin mendapat pinjaman dengan menggunakan wang rakyat dengan semudah itu. Semua keistimewaan-keistimewaan yang didapati oleh ahli keluarga pemimpin ini telah banyak memerah wang dan harta rakyat. Tetapi Shahrizat ini malang sedikit kerana beliau tidak mempunyai kuasa dan pengaruh sepenuhnya.
Seandainya beliau seorang Perdana Menteri beliau tidak akan terpaksa meletakkan jawatan kerana ada kes-kes yang lebih besar dilakukan oleh pemimpin yang lebih besar dari Sharizat itu tidak diambil tindakan sehingga hari ini. Perbezaan diantara Shahrizat dan yang lain ialah Shahrizat tidak pandai menyorokkan perlakuan beliau dan keluarga beliau.
Jumlah yang melibatkan RM250 juta itu amat besar tetapi jumlah RM1.8 billion yang dipergunakan secara ‘direct’ dari wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anak seorang pemimpin besar pada tahun 1998 dahulu tidak diambil tindakan sampai kehari ini. Sebab apa? Sebabnya ia dilakukan oleh seorang Perdana Menteri semasa itu. Banyak lagi perkara-perkara seperti ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dalam BN selama ini dan ianya masih dilakukan mereka.
Masing-masing saling membantu diantara satu dengan lain untuk menutup ‘barang curi’ masing-masing kerana semuanya melakukan perkara-perkara yang sama. “Lu jaga gua, gua jaga lu’; itulah kaedahnya. Hanya kes Shahrizat ini diketahui oleh Ketua Audit Negara dan pihak pembangkang secara terperinci. Untuk memecahkan kegiatan ala ‘cartel’ dikalangan pimpinan BN inilah merupakan satu usaha yang amat susah kerana mereka mempunyai kuasa yang dipergunakan habis-habisan untuk mempertahankan salahlaku mereka ini.
Sekarang Shahrizat telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dari kerajaan kerana kesilapan dan kesalahan beliau. Apa yang kita tunggu sekarang ialah untuk melihat samada ada-kah tidak sifat ‘accountability’ dari pimpinan atasan yang memberikan kelulusan kepada projek biayaan kerajaan NFC ini. Kita hendak juga melihat samada Menteri yang bertanggungjawab meluluskan projek yang menjijikkan ini dahulu.. Menteri Pertanian semasa itu saya sudah lupa siapa dia……ada orang kata dia dah jadi Timbalan Perdana Menteri…
Adakah Menteri ini akan turut meletakkan jawatan kerana kalau mengikut etika kepimpinan negara maju, Menteri yang bertanggungjawab meluluskannya juga wajar meletakkan jawatan. Ini merupakan asas kepada semangat demokrasi yang beretika dan Menteri yang meluluskan projek ini semasa itu mesti mengambil ‘accountability’ kepada skandal kewangan yang dilakukan oleh NFC ini.
Menteri ini boleh memilih untuk tidak mengambil ‘accountability’ terhadap isu ini tetapi nanti janganlah hendak beretorik untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju pula. Ini adalah isu besar jika benar kita hendak mencapai ketaraf negara maju. Negara maju yang berkembang pesat mesti diikuti dengan etika kepimpinan yang tinggi. Kalau tidak persepsi ramai yang menganggap Malaysia sebagai ‘Zimbabwe in different name’ itu tidak akan berjaya kita hakiskan.
Pada tahun 2007 yang lalu seorang menteri Britain yang buta penglihatannya bernama Blankert (ejaan nama tak pasti) telah meletakkan jawatannya sebagai menteri dalam negeri kerana kesilapan kecil tetapi oleh kerana ia menjejaskan etika kepimpinannya maka beliau meletakkan jawatan dari menganggotai kabinet Britain.
Kesalahannya ialah kerana mempercepatkan proses permohonan teman wanitanya untuk mendapatkan permit kerja untuk orang gajinya. Itu sahaja kesalahannya. Tetapi itu jelas menjejaskan etika kepimpinan negara. Maka beliau mengambil masa hanya tiga empat hari sahaja untuk mengambil keputusan meletakkan jawatannya. Menteri Britain itu tidak mengambil masa berbulan-bulan utuk mengambil keputusan untuk berhenti seperti yang dilakukan oleh Shahrizat.
Dengan keputusan Shahrizat untuk berhenti itu ia bermakna Shahrizat mengakui kesalahannya. Jika Shahrizat mengaku kesilapan atau kesalahannya maka adalah ‘natural’ menteri yang bertanggungjawab meluluskan projek NFC ini juga mengambil langkah yang sama, iaitu berhenti sahaja dan mengikut langkah Shahrizat itu. Tetapi ini tidak mungkin berlaku kerana mereka tidak mahu menerima asas-asas perlu untuk menempah tempat untuk meletakkan negara kepada kategori negara maju kerana meletakkan jawatan kerana isu ini dianggap sebagai perkara yang tidak munasabah bagi mereka.
Begitulah tingginya etika kepimpinan negara maju dan jika kita mahu mengambil iktibar dari tindakan ahli jemaah kabinet Britain ini, itu merupakan permulaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju dengan ketinggian etika kepimpinannya. Kalaulah apa yang dilakukan oleh pimpinan kita itu dilakukan di Britain kerajaan kita sudah lama dikuburkan oleh rakyat. Tetapi untungnya pimpinan rasuah kita ini ialah kerana rakyat telah dididik untuk menerima sahaja apa yang dilakukan oleh pimpinan yang tidak bertanggungjawab kepada rakyatnya.
Kerajaan negara-negara maju ini menjadikan etika kepimpinan sebagai elemen terpenting dalam pentadbiran kerajaan. Ini ialah kerana yang hendak dijaga mereka bukannya jawatan mereka tetapi untung nasib negara mereka pada masa-masa yang akan datang. Tetapi disini pimpinan kita lebih mementingkan kuasa sahaja, tidak kira samada mereka itu berguna kepada negara dalam jangka masa yang panjang.
Kalau tidak, tidaklah kita terdengar kata-kata seperti, “kita akan pertahankan Putrajaya dengan cara apa sekali pun” kata Najib pada suatu ketika dahulu. Kata-kata ini menonjolkan satu sikap yang amat negatif kepada sistem demokrasi negara. Sikap kuno ini lah yang menyebabkan negara kucar kacir, bukannya oleh sistem demokrasi itu sendiri.
Kepada BN demokrasi itu bermakna, kemenangan hanya hak mutlak BN, bukannya untuk mengikut selera rakyat yang mengundi. BN kini menggunakan kumpulan pengacau pula. Tugasnya hanyalah untuk mengganggu majlis-majlis pihak PR. Itu merupakan tanda-tanda ‘desperation’ yang ada didalam pemikiran pihak BN khususnya UMNO.
Dua malam yang lepas saya menjadi penceramah jemputan bersama dengan TS Khalid Ibrahim di Seri Menanti dimana sekumpulan 20 orang penyokong UMNO mengganggu ceramah dan majlis itu tanpa segan dan silu selama 15 minit.
Berkat kesabaran pihak kami, mereka telah dapat diusir dari majlis itu. Dalam hati saya, tidak dapat saya menghilangkan persepsi dan keyakinan saya yang tindakan itu merupakan tindakan pihak pemerintah yang begitu fakir nilai kepimpinan mereka. Apabila sokongan merosot mereka mengambil tindakan yang tidak beradab dan bersopan.
Dari kumpulan inilah yang bergegar-gegar hendak jadikan negara kita negara maju tetapi tindakan kumpulan ini membayangkan yang kemajuan yang dijanjikan itu tidak mungkin tercapai sampai bila-bila. Segala pelan transformasi Najib hanya tinggal pelan sahaja. Ia tidak akan kemana…seperti dulu juga.
1 comment:
sembelih dulu sharizat baru kita tengok umporno yang lain lompat salah guna kuasa satu tahun curi satu tin susu kanak kanak 2 tahun kalau 250 juta kena curi setengah tahun je dalam jel najib sudah kautim
Post a Comment