Sunday, March 11, 2012

Najib Perlu Tangguh PRU, Adakan Pemilihan UMNO Dahulu




Di sebalik kesibukan Najib mengadakan lawatan ke seluruh negara bertemu rakyat dan mengumumkan projekdemi projek untuk menambat hati rakyat, hakikat yang jelas dan diakui oleh banyak pihak ialah UMNO dan BN masih belum cukup kekuatan untuk memenangi pilihanraya kali ini.

Selain pelbagai isu yang menjadi percakapan rakyat masih tidak selesai seperti isu lembu NFC, kerugian MAS, pelbagai jenis skandal dan banyak lagi, sejak akhir-akhir ini timbul lagi pelbagai isu yang nyatanya terus membebankan Najib, UMNO dan BN secara keseluruhannya.


Isu Altantuya yang dulunya senyap kini diperbualkan semula bila kertas penghakiman bertulis dikeluarkan oleh mahkamah baru-baru ini yang jelas terdapat beberapa persoalan yang terus menimbulkan keraguan. Isu SBPA yang dibatalkan Najib dengan harapan dapat melunakkan kemarahan kakitangan kerajaan akhirnya memakan diri Najib sendiri apabila beliau dilihat tidak hati-hati dan flip-flop dalam membuat keputusan.

Semalam isu pertunangan anak perempuan Najib dengan lelaki Kazakhstan yang didedahkan oleh PKR kononnya dibuat tempahan dan dibayar menggunakan wang rakyat melalui Pejabat Perdana Menteri telah didedahkan kepada umum. Meskipun ia dinafikan melalui kenyataan dua perenggan oleh Pejabat Perdana Menteri tetapi PKR melalui Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli menuntut agar penafian itu disertakan dengan bukti seperti salinan dokumen pembayaran, resit dan sebagainya.

Sementara menungggu sama ada Najib berani mendedahkan bukti-bukti bahawa pembayaran majlis pertunangan yang jamuan makannya saja melebihi RM400 ribu itu betul-betul menggunakan wang peribadi atau wang rakyat, yang jelasnya imej dan wibawa Najib yang sebelum ini cuba menunjukkan sifat merendah diri dengan meminta maaf atas kesilapan UMNO dan BN kepada rakyat, sudah terjejas dan calar-balar dengan teruknya.

Kalau pun akhirnya Najib dapat membuktikan bahawa pembayaran itu dibuat menggunakan wangnya sendiri, beliau akan dianggap begitu membazir dan boros berbelanja sedangkan rakyat sentiasa diminta berjimat cermat. Kiranya gagal memberikan apa-apa bukti dan benar pembayaran itu dibuat menggunakan wang rakyat, keadaannya tentulah lebih parah bagi Najib. Beliau akan dianggap Perdana Menteri paling haprak dan tidak berguna kerana untuk majlis pertunangan pun "songlap" duit rakyat.

Dan menjelang pilihanraya akan datang ini, entah berapa banyak lagi siri pendedahan mengenai skandal, penyelewengan, pembaziran dan pemborosan mengenai Najib yang akan terdedah kepada umum.

Najib akan cuba dihakis kepercayaan dan keyakinannya supaya rakyat tidak terus memberikan undi dan sokongan kepada UMNO dan BN.

Mampukah Najib menangani semua cabaran itu dan menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau dan UMNO sudah benar-benar berubah serta boleh diyakini?

Sekiranya Najib masih ada perasaan kasih dan sayang kepada UMNO dan tidak semata-mata sayang kepada jawatan Perdana Menteri yang memberi banyak nikmat itu, beliau seharusnya tidak segera mengadakan pilihanraya umum. Najib mesti menangguhkannya sehingga tahun 2013.

Dalam hubungan ini, Tun Daim sendiri dalam intebiunya baru-baru ini ada mencadangkan agar Najib mengadakan pilihanraya pada 2013 untuk betul-betul mendapatkan sokongan yang mantap daripada rakyat. Beberapa pemimpin veteran UMNO sebenarnya turut mempunyai pandangan yang sama iaitu Najib harus menyelesaikan banyak masalah yang melibatkan rakyat terlebih dahulu sebelum memanggil pilihanraya dan masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya ialah pada 2013.

Ramai yang berpandangan bahawa UMNO dan BN akan kecundang jika pilihanraya diadakan pada tahun ini.

Sementara Najib menyelesaikan semua masalah itu, beliau juga wajar mengadakan pemilihan UMNO terlebih dahulu pada hujung tahun ini. Biarlah UMNO mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya di semua peringkat terlebih dahulu sebelum mahu berhadapan dengan rakyat dalam pilihanraya supaya rakyat dapat melihat apakah UMNO benar-benar sudah berubah atau sebaliknya.

Sekurang-kurangnya dengan adanya perubahan pucuk pimpinan UMNO, rakyat akan melihat UMNO serius terhadap perubahan yang sering dilaung-laungkannya. Tidaklah seperti sekarang di mana Najib sering melaungkan perubahan tetapi tiada apa-apa sebagai bukti yang dapat dilihat oleh rakyat. Lebih dari itu, skandal demi skandal yang terbentang satu persatu telah menyebabkan rakyat terus melihat UMNO sebagai objek hitam yang makin kelam dan tiada pengharapan lagi.

Melalui proses pemilihan itu, dapatlah UMNO menunjukkan kepada rakyat bahawa ia sekurang-kurangnya sudah berubah dan kalau dilaungkan iltizam untuk menjadi lebih baik dan prihatin kepada rakyat, ia akan lebih diyakini berbanding sekarang. Melalui proses pemilihan itulah juga, pemimpin-pemimpin yang bermasalah dan menjadi beban kepada UMNO dapat ditukar atau mengundur diri. Kiranya ahli-ahli UMNO masih sayangkan parti, inilah masanya untuk mereka menukar pemimpin yang bermasalah dan menjadi beban itu dan menggantikannya dengan pemimpin baru yang lebih berwibawa dan diyakini.

Selain ini, dengan adanya proses pemilihan itu juga akan menjadi medan untuk para pemimpin UMNO sendiri bermuhasabah tentang kedudukan dan jawatan yang mereka sandang sekarang. Kalau dirasakan sudah lama dan banyak masalah peribadi, berundurlah secara baik sebelum mereka dipaksa berundur. Jika dirasakan kurang kemampuan dan tidak boleh menang pilihanraya, berilah laluan kepada orang lain menjadi pemimpin pula.

Najib sendiri dalam hal ini seharusnya bermuhasabah sama. Jika dirasakan beliau juga tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah yang terpikul dibahunya sama ada yang melibatkan soal kepimpinan, UMNO, kerajaan, keluarga dan sebagainya, beliau juga harus mengambil langkah terhormat dengan turut sama mengundur diri. Berilah peluang pemimpin lain menerajui UMNO dan berhadapan dengan rakyat dalam pilihanraya umum.

Kiranya Najib sedia berundur diri sebelum pilihanraya ini dan memberi laluan kepada pemimpin lain, UMNO dan BN akan lebih mudah memenangi piliharaya kali ini. Selain sebahagian besar isu dalam negara adalah berkaitan dirinya, jika Najib berundur, maka UMNO akan dilihat cukup serius untuk berubah dan membela rakyat. Dengan perubahan yang hampir mutlak itu, tidak ada sebab lagi untuk rakyat tidak mahu mengekalkan UMNO dan BN menerajui negara ini.

Ramalan Tun Daim bahawa BN akan menang lebih besar jika pilihanraya diadakan pada 2013 pun barangkali bermaksud demikian!!

No comments:

Search This Blog