Sekadar renungan
Di zaman Nabi Musa AS ada seorang hamba Allah yang kerjanya hanya amencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri.
Pada suatu hari, dia
terlihat Nabi Musa AS sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk
berjalan bersama Nabi Musa. Katanya, "Kalau aku dapat berjalan bersama
Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku".
Tetapi setelah
difikirkannya semula, dia tidak jadi melaksanakan niatnya itu. Dia
berkata, "Aku ni pencuri. Manalah aku layak pencuri seperti aku ini
berjalan bersama dengan seorang nabi". Sejurus kemudian, dia terlihat
pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa AS dari belakang.
Lelaki itu adalah si abid yang telah beribadat secara istiqamah selamah
40 tahun dan dikenali oleh semua orang. Si pencuri berkata di dalam
hatinya, "Baik aku berjalan bersama si abid ini, mudah-mudahan ada
baiknya juga untuk aku".
Lantas si pencuri
menghampiri si abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya.
Apabila ternampak sahaja si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa
takut. Dia berkata di dalam hatinya, "Celaka aku kalau si pencuri
berjalan bersamaku, takut nanti rosak segala amalan dan kebaikanku
selama ini".
Si abid terus berjalan
laju supaya si pencuri tadi tidak dapat mengikutnya. Namun si pencuri
tadi terus mengikut si abid kerana mahu tetap bersamanya. Akhirnya
kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa AS. Nabi Musa AS terus
berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, "Aku baru sahaja dapat
wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala
amalan kamu telah dimansuhkan oleh Allah." Maka terkejutlah si abid dan
si pencuri tadi.
Berbahagialah si pencuri
kerana segala dosa mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah
Taala. Tetapi malang dan berita duka bagi si abid kerana segala amalan
dan ibadahnya selama 40 tahun ditolak dan tidak diterima oleh Allah SWT.
Rupa-rupanya si pencuri
itu walau pun kerjanya mencuri, tetapi dia tidak suka akan perbuatannya
itu. Dia mencuri kerana ditimpa kemiskinan dan memikul tanggungan yang
banyak. Namun masyarakat ketika itu sungguh angkuh dan sombong. Manakala
si kaya pula enggan membantu orang fakir dan miskin.
Oleh itu dia mencuri
kerana terpaksa. Setiap kali dia mencuri, dia amat rasa bersalah dan
berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung
rasa berdosa itu dan selama itulah juga jiwanya parah menanggung derita.
Selama 40 tahun itu jugalah hatinya merintih sedih, meminta belas
kasihan, memohon keampunan Allah dan mengharapkan kasih sayangNya.
Sebaliknya si abid pula,
dia teramat yakin bahawa ibadahnya mampum menyelamatkannya. Dia malahan
yakin ibadahnya akan dapat membeli syurga. Setiap kali dia beribadah,
dia merasa dirinya bertambah baik, dan setiap kali dia beribadah dia
merasakan dirinya bertambah mulia.
Selama 40 tahun di abid
ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia hinggakan
dia merasakan dirinya tidak layak bergaul dengan orang yang tidak
sepertinya, yang dirasakan hina dan banyak dosa. Dia merasakan dia hanya
layak berjalan bersama para Nabi.
Maha Suci Allah SWT yang
mengetahui segala isi hati manusia, yang tidak melihat amalan zahir
semat-mata tetapi apa yang terkandung di dalam hati manusia.
Sesungguhnya Allah meilai hambaNya berdasarkan amalan yang benar-benar
ikhlas, bukan amalan yang dilakukan sekadar untuk menunjuk-nunjuk dan
untuk mendapat perhatian dan pujian manusia. Kepunyaan Allah lah tiap
segala sesuatu. Syurga dan neraka itu, Allah jua yang Maha Menentukan.
Wallahualam
No comments:
Post a Comment