"Bancian yang kami terima menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat mampu menang lebih banyak kerusi daripada apa yang kita ada sekarang, ini bermakna kita boleh dapat majoriti dua pertiga," katanya kepada pemberita dalam satu temu bual denganbeberapa media pilihan.
Menurut Abdul Khalid, (kanan) jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu yakin BN akan menang pada pilihan raya umum, beliau selaku pengerusi BN sudah pasti akan membubarkan Dewan Rakyat pada November tahun lalu atau semasa Tahun Baru Cina seperti yang dijangkakan senelum ini.
"Sudah tentu di Selangor terdapat penyokong tegar Umno, sekumpulan kecil penyokong MCA dan beberapa penyokong MIC,
"Tetapi kaji selidik menunjukkan bahawa kami mendapat penarafan yang baik, terutama di kalangan mereka dalam kumpulan umur 40 tahun dan ke bawah," katanya.
Menurut Abdul Khalid, Pakatan Selangor "cukup yakin" mampu mengekalkan 30 kerusi, "mudah" untuk mendapatkan enam kerusi dan "kemungkinan besar" merampas 10 lagi.
Antara satu kerusi yang Pakatan "kemungkinan besar" rampas itu, katanya adalah Kuala Kubu Baru, yang kini dipegang oleh setiausaha jawatankuasa MCA Selangor Wong Koon Mun.
Bagaimanapun, Abdul Khalid tidak mahu meneruskan perbincangan mengenai kerusi-kerusi yang mungkin dirampas oleh Pakatan itu dan secara berseloroh berkata "ia akan memberikan orang tertentu serangan jantung."
Pakatan kini menguasai 35 daripada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor , selepas ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berpaling tadah daripada PKR dan menjadi ADUN Bebas mesra BN pada 2009.
Gabungan itu memerlukan sekurang-kurangnya 3 lagi kerusi, menjadikan jumlah mereka 38 bagi mendapatkan majoriti dua pertiga untuk memberi mereka kuasa untuk meminda perlembagaan negeri.
Selangor, menjadi fokus atau tumpuan pemerhati politik sejak pilihan raya umum 2008 apabila BN dikatakan banyak membelanjakan wang dan menggerakan pelbagai jenteranya bagi merampas semula negeri terkaya di negara itu.
Mengenai jumlah hadirin dan penyokong yang didakwa semakin hari semakin ramai pada majlis dan aktiviti anjuran BN, Abdul Khalid, berkata tidak perlu dirisaukan kerana kebanyakan yang hadir adalah muka yang sama setiap kali diangkut dengan bas dari tempat lain.
"Kami juga lakukan beberapa kaji selidik terhadap orang ramai yang menghadiri majlis PM dan fungsi TPM, dan mendapati hadirin itu kebanyakan mereka adalah orang yang sama," katanya sambil tergelak
No comments:
Post a Comment