Pesanan #1: “Hai
anakku, ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam,
banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat agar
jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yg bernama Takwa,
isinya ialah Iman dan layarnya adalah Tawakkal kepada ALLAH.”
Pesanan #2: “Orang-orang yang sentiasa menyediakan
dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan
dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang
lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.”
Pesanan #3: “Hai anakku, orang yg merasa dirinya
hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia
tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu
berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.”
Pesanan #4: “Hai anakku, seandainya ibubapamu
marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya
ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.”
Pesanan #5: “Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana
sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang
dan gelisah di waktu malam.”
Pesanan #6: “Dan selalulah berharap kepada ALLAH
tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah
kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut ( taqwa ), tentulah engkau akan
terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.”
Pesanan #7: “Hai anakku, seorang pendusta akan
lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang
yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal- hal yang
tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula
itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu
mengerti.”
Pesanan #8: “Hai anakku, engkau telah merasakan
betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi
akan lebih berat lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau
mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.”
Pesanan #9: “Hai anakku, janganlah engkau
mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang
yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.”
Pesanan #10: “Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta
itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit
sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”
Pesanan #11: “Hai anakku, bila engkau mempunyai
dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah
utk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada
kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya
mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”
Pesanan #12: “Janganlah engkau makan sampai
kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang
itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing
sahaja.”
Pesanan #13: “Hai anakku, janganlah engkau
langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung
memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum
tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan
kesengsaraan.”
Pesanan #14: “Makanlah makananmu bersama-sama
dengan orang-orang yang taqwa dan bermusyawarahlah urusanmu dengan para
alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.”
Pesanan #15: “Hai anakku, bukanlah satu kebaikan
namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah
mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api,
maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu
menambahkannya.”
Pesanan #16: “Hai anakku, bilamana engkau mahu
mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura
membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha
menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan.
Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”
Pesanan #17: “Selalulah baik tutur kata dan halus
budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai
orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah
memberikan barang yang berharga.”
Pesanan #18: “Hai anakku, bila engkau berteman,
tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan
sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu
darimu.”
Pesanan #19: “Jadikanlah dirimu dalam segala
tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau
mengharapkan sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya' yang
akan mendatangkan cela pada dirimu.”
Pesanan #20: “Hai anakku, janganlah engkau condong
kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana
engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada
makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.”
Pesanan #21: “Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu
jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana
engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara,
usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.”
Pesanan #22: “Hai anakku, janganlah engkau mudah
ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau
berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang
tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.”
Pesanan #23: “Barang siapa yang penyayang tentu
akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang
mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari
berkata kotor tentu akan menyesal.”
Pesanan #24: “Hai anakku, bergaul rapatlah dengan
orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana
sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati
ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang
subur lalu disirami air hujan.”
Pesanan #25: “Hai anakku, ambillah harta dunia
sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk
bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau
bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat
beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta
meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu
adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang
bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”
No comments:
Post a Comment