Mesti kalimah ini tergantung di dinding rumah anda kan?
Alangkah bahagianya jika kita ditakdirkan lahir dan berada pada zaman kegemilangan Islam bersama dengan Rasulullah SAW. Ini kerana kita dapat berjuang, belajar secara langsung daripada Baginda, dapat melihat wajahnya serta boleh berkomunikasi secara langsung dengannya apabila menghadapi sesuatu masalah. Zaman Baginda itu adalah satu masa yang sangat hebat kerana dapat melahirkan generasi individu Muslim yang unggul dalam segenap aspek kehidupan hingga mendapat jolokan daripada Allah sebagai sebaik-baik umat kerana menjalankan tugas menyampaikan yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan Allah.
Inilah generasi yang
telah dicatat dalam lembaran sejarah kerana membantu Baginda menundukkan
dua kuasa besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi yang mendakwa
memiliki sumber tamadun yang hebat, namun kehebatan individu di kalangan
Sahabat Rasulullah terdapat pada diri mereka akhlak mulia mampu
menundukkan keangkuhan kedua-duanya sekali.
Empayar Islam begitu gah dan dihormati suatu ketika dulu. Adakah mereka maju dengan meniru barat?
Mereka mencipta nama dalam sejarah tamadun manusia sebagai pahlawan Islam dengan menyebar dan memperluaskan ajaran Baginda Rasulullah SAW sesuai dengan pegangan mereka kepada agama Islam yang membawa maksud kesejahteraan, keharmonian, kedamaian, keamanan dan keselamatan untuk umat manusia sejagat.
Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita bersemangat sama seperti Para Sahabat?
Tidak dinafikan bahawa
kita sebagai umat Nabi Muhammad, di antara mereka ada yang diberikan
nama oleh ayah-ayah kita sebahagiannya dengan menggunakan nama Para
Sahabat seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar, Uthman, Ali, Ubadillah,
Salman, Khalid, Hamzah, Abbas, Bilal, Zubair dan sebagainya. Tetapi
apakah nama-nama tersebut benar-benar meresap masuk dalam sanubari kita
hingga mencontohi Para Sahabat dalam mendepani segenap isu agama.
Alangkah malangnya
segelintir umat Islam hari ini yang sudah mula menamakan anak-anak
mereka dengan nama-nama yang kadang-kadang tidak memberi makna langsung
berkaitan dengan agama. Nama-nama seperti yang disebutkan di atas tidak
lagi menjadi sebutan di bibir mereka. Mengapa? Sama-samalah kita mencari
kekurangannya.
Malah Islam hanya
tinggal pada nama sahaja, sedangkan cara dan gaya hidup tidak
melambangkan mereka seperti orang Islam, ini termasuk cara berpakaian,
penampilan diri lelaki dan wanita Islam, cara berkeluarga, cara
berfikir, cara mendidik anak-anak dengan agama dan seribu satu macam
karenah lagi tidak menampakkan diri mereka persis individu Muslim yang
beramal dengan ajaran Islam sebenar.
Inilah yang pernah
disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW lebih 14 abad lalu, seolah-olah
ia bagaikan satu ramalan tepat, kerana Baginda sentiasa menerima wahyu
daripada Allah Taala, sudah tentu Dia mengetahui segala-galanya kerana
ia di bawah kawalan dan pengawasan-Nya. Benarlah sabda Nabi SAW yang
bermaksud, daripada Ali bin Abi Talib RA berkata:
“Telah
bersabda Rasulullah SAW bahawa sudah hampir tiba suatu masa, di mana
tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak
tinggal daripada Al Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid
mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka
adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit.
Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan
kembali”.
(Hadis riwayat Al Baihaqi)
Kalau kita perhatikan
dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada
gambaran yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Kalau belum sampai
pun, ia sudah hampir menjurus ke sana. Apa yang Baginda sebutkan dalam
hadisnya di atas bolehlah kita bincangkan satu persatu untuk melihat
sejauh mana kebenaran kenyataan baginda itu.
- Islam hanya tinggal namanya sahaja.
- Al Quran hanya tinggal tulisannya.
- Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
- Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
- Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.
Islam Hanya Tinggal Namanya Sahaja
Kelak akan banyak orang
yang mengaku beragama Islam namun perbuatan sehariannya tidak
mencerminkan sebagai seorang Islam yang baik, hanya namanya sahaja
Islam. Islam diperalatkan untuk kepentingan tertentu. Oleh kerana itu
kita dapat lihat ramai orang Islam melanggar syariat.
Solat mengikut ‘mood’,
ada seminggu sekali, ada sebulan sekali, setahun sekali dan ada yang
tidak pernah solat sama sekali. Yang kaya pula enggan membayar zakat,
yang pergi haji mahu digelar ‘pak haji’ namun masih lagi melepak di
kedai judi dan menghabiskan masa.
Ramai yang bercakap
tentang Islam padahal mereka tidak mengamalkannya. Pandai berpidato agar
orang percaya dia seorang Islam yang baik dan memperjuangkan Islam,
sehingga ada yang mengubah halal menjadi haram dan haram menjadi halal,
bahkan hukum nas kalau boleh disesuaikan dengan zaman, bukan keadaan
zaman disesuaikan dengan ketentuan nas.
Islam yang hanya tinggal nama
Sebenarnya orang yang sebegini tergolong daripada golongan orang munafik sebagaimana Sahabat Nabi yang bernama Abu Huzaifah ditanya apa itu nifak? Beliau menjawab:
“Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya”.
(Masnad ar-Rabi’)
Al Quran Hanya Tinggal Tulisannya
Dalam banyak hadis
Rasulullah SAW, Baginda menganjurkan kita umatnya agar membudayakan
pembacaan Al Quran, ia bukan sekadar penawar kepada pelbagai penyakit
yang sukar diubati, malah ia juga bertindak sebagai penyembur kepada
hati yang berkarat dengan penyakit-penyakit cintakan dunia secara
berlebihan.
Tujuan Al Quran
diturunkan adalah untuk menjadi pedoman dalam soal akidah, iman,
beribadah kepada Allah dengan membacanya, dipelajari isi kandungannya,
diamalkan segala apa yang ada di dalamnya. Menjadi rujukan dalam segenap
masalah yang dihadapi oleh manusia, dan yang paling utama ialah
melaksanakan hukum, undang-undang dan perintah Allah yang ada di
dalamnya.
Ayat Quran terukir indah di dinding masjid, lebih indah lagi jika terukir di hati umat Islam
Apa yang mendukacitakan kita pada hari ini, Al Quran dijadikan bahan untuk musabaqah menjelang ketibaan Ramadan iaitu bulan yang diturunkan Al Quran di dalamnya. Sedangkan undang-undangnya tidak diguna-pakai walaupun sudah merdeka lebih setengah abad, orang-orang Islam yang melakukan jenayah tidak dihukum dengan undang-undang hudud atau qisas di dunia ini. Inilah gambaran ketegasan Nabi bahawa Al Quran hanya tinggal tulisannya untuk dibaca, bukan untuk diamalkan.
Masjid Tersergam Indah Tetapi Kosong Daripada Hidayah Allah
Indahnya masjid disebabkan pengunjungnya
Inilah kebenaran kenyataan Baginda Rasulullah SAW bahawa masjid-masjid umatnya pada akhir zaman memang cukup indah dan megah, tetapi pengisian di dalamnya tidak memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat menyampaikan kuliah agama kadang-kadang sepi daripada pengunjungnya.
Terdapat masjid yang
membiayai urusan pembayaran bil elektrik, air dan penyelenggaraan
mencecah nilai ringgit yang cukup tinggi, namun kadang-kadang apa yang
menduka-citakan kelas pengajian pun tidak ada, ada yang diisi dengan
kelas marhaban atau barzanji, itu pun tidak memahami dengan baik maksud
apa yang dibacakan. Malah ada pula masjid dipertandingkan sempena
Maulidur Rasul sebagai masjid yang paling cantik dan bersih.
Lahirnya Ulama Jahat
Tidak dinafikan juga
wujud kalangan ilmuan Islam yang tidak berani untuk menyatakan kebenaran
di hadapan pemerintah yang zalim seperti yang disabdakan oleh Baginda,
justeru itulah yang diingatkan oleh Baginda dalam hadisnya di atas.
Golongan ulama ini sama seperti Bal’am bin Ba’ura (ulama Bani Israil) yang ditegaskan dalam ayat 176 surah Al ‘Araf.
“Dan
kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab
mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada
dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti
anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya
termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan
lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya
mereka berfikir”.
(surah Al ‘Araf ayat 176)
Menurut Imam Fakhruddin
Ar-Razi, Imam Ibni Khathir, Imam Tabari dan ramai mufassirin bahawa ayat
ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman
bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan, Bal’am
adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa
Bani Israel.
Menurut cerita daripada
Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am bin
Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia
khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar (Doa Bal'am bin Ba'ura
mustajab). Setelah peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa A.S
dan bani Israel yang terselamat terus mengembara sehinggakan hampir
sampai dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut
ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah
berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan
penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta
pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya (berdoa) untuk
mengalahkan Nabi Musa AS.
Pada mulanya Bal’am
masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya tidak
bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa dibuat. Lama
kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau
mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am
berkata “berdoalah bukan susah seperti yang dipinta oleh Raja”.
Bal’am dengan kekuatan
ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa
AS, doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa tersesat di satu
tempat yang bernama Teh (sekarang dinamakan semenanjung Sinai) selama 40 tahun.
Kesesatan yang maha
dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah SWT, “Wahai Tuhan,
apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di ladang Teh
ini?”.
Jawab Allah SWT, “berpunca dari doa Bal’am”
Nabi Musa berkata lagi
kepada Allah, “Wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am
terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”.
Lalu, Nabi Musa
mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa
dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan
lidahnya terjelir sepertimana anjing.
“Minta berlindung kita
dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am bin Ba’ura’”. Wallahua’lam
(Kisah ini isra’iliyyat yang wajar dijadikan pengajaran kepada kita).
Kepentingan dunia kerana
mahu mengejar pangkat dan populariti menguasai hidup mereka hingga ada
yang berani menghalalkan apa yang diharamkan Allah, menyembunyikan
kebenaran kerana takut keduniaannya tersekat dan periuk nasinya terjejas
hingga sanggup menggadai prinsip-prinsip agama, dalam hal ini, siapa
yang makan cili maka dialah yang merasa bahang pedasnya.
Fitnah Tersebar Akibat Kedangkalan Ulama-Ulama Jahat
Fitnah terhadap Islam
sudah semakin menular yang tidak pernah terfikir oleh individu Muslim
yang baik di sisi Allah. Industri hiburan yang melibatkan artis-artis
beragama Islam hingga ke peringkat paling seksi menjadi juadah mata pada
hari ini, perkara ini berlaku adalah kerana ulama-ulama yang jahat
mendiamkan diri tidak mahu bercakap kerana takut segala kemudahan yang
dikecapinya akan hilang, walaupun Islam daripada diri umat Islam bukan
menjadi perkiraan hidup.
1 comment:
Tuan blogger,
mohon link.
saya pemuda temong;
http://libanglibu.blogspot.com/
Post a Comment