Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
SABDA Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Manusia
ahli ‘Lailaha Illalah’ tidak akan merasa sunyi dan dukacita ketika
dalam kubur dan bangkit darinya, seolah-olah mereka bangun dengan
menguis tanah di atas kepalanya dengan berkata; segala puji bagi Allah
yang
telah menyingkir perasaan sedih dan dukacita daripada hatiku,
sesungguhnya Engkaulah Tuhan tempatku memohon ampun dan bersyukur.”
Kesepian
dan dukacita merupakan bala azab yang menyeksa jiwa manusia, lebih
lebih lagi di alam barzah (kubur) yang keadaannya seorang diri.
Bayangkan jika seseorang terdampar di gurun padang pasir, yang lengang
tanpa kicau burung dan tanpa manusia. Pastilah ia amat sepi yang
mencengkam jiwa.
Tidak berlaku kesepian dan
kesunyian di alam kubur apabila semasa hayatnya sentiasa membaca dengan
ikhlas dan sebanyak mungkin zikir ‘Lailaha illallah’.
Apabila dilazimkan berzikir Lailaha illallah ketika ingat dan sedar,
insya-Allah lidah akan sering bergetar menyebutnya ketika hati dalam
situasi biasa.
Yang menjadi masalah ialah
kelaziman bagi orang awam bertahlil hanya ketika berada di majlis rasmi
di masjid atau majlis kenduri, waktu selebihnya lidah tersimpan sepi
tanpa zikir.
Tidak tahu ke mana hendak dituju
selepas dibangkitkan dari kubur di akhirat kelak, seluruh manusia
dihimpun di Mahsyar tanpa arah tuju.
Mereka mencari Nabi Muhammad s.a.w. untuk mendapat pertolongan, tetapi tidak tahu di mana.
Meskipun ramainya insan tidak terhingga berhimpun di Mahsyar, namun
mereka bagaikan tidak berteman kerana masing-masing dengan urusan yang
hendak diselesaikan. Sebagaimana dinyatakan firman Allah SWT yang
bermaksud: “Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, daripada
ibu dan bapanya, daripada isteri dan anak anaknya, setiap orang daripada
mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkan.” (Surah
‘Abasa ayat 34 hingga 37)
Hanya dengan
membanyakkan zikir ‘Lailaha illallah’ semasa hidup di dunia sebutan
dengan hati penuh ikhlas, Allah SWT janjikan fadilat yang akan mereka
perolihi. Ialah tidak kesunyian dan dukacita pada hari Mahsyar yang amat
kalut tetapi nafsi nafsi itu.
Maksud ikhlas
ialah dengan penuh keyakinan bahawa tiada tuhan Yang Maha berkuasa
melainkan Allah, tidak berkehendak kecuali kepada Allah SWT Yang Maha
Berkuasa, Maha Kaya, Maha Bijaksana dan segala Maha lagi.
Layaklah mereka mendapat ganjaran syurga kerana mengucap ‘Lailaha
illallah’ benar-benar bertauhid kepada-Nya. Dengan keyakinan yang
berasaskan tauhid kepada Allah SWT, akan mencapai kemuncak nikmat.
Ketika menikmati kehidupan di alam barzah dibangkitan dari kubur, terus
ke Mahsyar dan akhirnya memasuki syurga yang tidak dapat dibayangkan
oleh akal fikiran.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud: “Ya Abu Hurairah, segala kebajikan yang kamu buat sama ada
dalam bentuk amalan atau ucapan akan ditimbang di akhirat, kecuali
ucapan ‘Lailaha illallah’ tidak akan ditimbang dengan dengan mizan
biasa.
Kalau pada ceper timbang yang sebelah
ditaruh langit tujuh petala serta isinya, ceper yang sebelah lagi
diletakkan ucapan ‘Lailaha illallah’ nescaya ia akan lebih berat lagi.”
Wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Hurairah yang bermaksud: “Wahai Abu
Hurairan, hendaklah kamu ajar orang yang hampir mati dengan ucapan
‘Lailaha illallah’ sesungguhnya kalimah ‘Lailaha illallah’ akan
meruntuhkan segala dosanya.”
Sahabat bertanya;
bahawa dibacakan kepada orang hampir mati, tetapi bagaimana pula
terhadap orang yang hidup segar? Jawab Nabi s.a.w.: “Jika dibacakan
kepada orang yang masih hidup ia lebih meruntuhkan lagi dosa-dosanya.”
Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya: “Wahai sekalian manusia di dunia
ini, mempunyai bakat dan ada tokoh untuk memasuki syurga, kecuali orang
tidak berhajat untuk memasukinya.”
Sahabat
bertanya; ada jugakah manusia yang tidak berhajat masuk syurga? Jawab
Nabi s.a.w.: “Memang ada iaitu mereka yang tidak menyebut ‘Lailaha
illallah’ (maksudnya tidak beriman kepada Allah SWT).
Sabdanya lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebut ‘Lailah illallah’
dengan penuh ikhlas, mereka akan masuk syurga.” Sebut saja kalimah
‘Lailaha illallah’ dengan tidak ikhlas maka tiada jaminan untuk memasuki
syurga.
Untuk mengetahui ikhlas atau sebaliknya
perhatilah amalan dan gerak geri selepas berzikir itu, jika tidak serupa
dengan kehendak dan tuntutan kalimah ‘Lailaha illallah’ itu buktinya
tidak ikhlas.
Halal dan haram sama saja, tidak
gerun terhadap maksiat yang mendatangkan dosa. Itu tandanya tidak ikhlas
Ada pandangan bahawa mukmin atau kafir itu masing masing. Ini tidak
betul bahkan ia pendapat syaitan untuk menyenangkan orang yang tidak
percaya Tuhan. Memanglah iman dan kufur itu terletak di dalam hati.
Bagaimanapun, perkara yang di dalam itu akan terbit dan menjadi tanda,
perangai adalah kuntum bunga sebagai tanda yang terbit daripada pohon
hati.
Seseorang boleh melindungi apa yang ada di
hati tetapi untuk sementara waktu, kerana perbuatan dan perangai manusia
akan tercetus setelah didorong oleh gelojak hati.
Oleh itu hendaklah dengan ikhlas berkata ‘Lailaha illallah’ sebanyak
mungkin, sebelum seseorang itu disekat oleh takdir Allah SWT khususnya
ajal.
No comments:
Post a Comment