Thursday, October 6, 2011

Memacu PAS perintah negara pada PRU13



Oleh DATO’ HUSAM MUSA
Naib Presiden PAS
 
Ketika Umno mendekati ajalnya, PAS muncul sebagai parti masa depan dengan pendekatan multi racialnya diambil dari Islam adalah agama universal milik semua bangsa. Ini tergambar dalam cogan PAS - ‘PAS Untuk Semua dan
Negara Berkebajikan.’
“DAN Nabi Ya’kub, (Sebagaimana bapanya) Nabi Ibrahim telah mewasiatkan pesanan itu kepada kesemua anak-anaknya : “Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama yang menjadi cara hidup dan mati ini untuk kamu, oleh itu, janganlah kamu mati kecuali sebagai seorang Islam.”




Sebagaimana Nabi Ya’kub berada di pertengahan antara Dato’ neneknya yang telah berjuang dan anak cucunya yang akan mewarisi perjuangan, kita kini berada di antara sejarah lalu PAS yang gemilang dalam keistiqamahannya dan sambungan perjuangan 60 tahun atau seratus tahun yang akan datang.
60 tahun yang lalu adalah sejarah pembinaan asas perjuangan PAS dan di atas binaan asas atau foundation ini, akan terdiri binaan menaranya.
PAS, seawal pilihan raya 1959 – 8 tahun selepas penubuhannya pada tahun 1951 – telah menjadi Parti Islam pertama di Asia mendapat kuasa melalui pilihan raya - Dengan Berjaya menawan hati rakyat sehingga mengangkat PAS mentadbir dua negeri - Kelantan dan Terengganu.
Satu fakta yang menarik – peranan berkesan gerakan muslimat dalam menyumbang kepada kemengan pilihan raya 1959. Melihat kejayaan dan pentingnya gerakan muslimat ini, Umno membentuk sayap kaum ibu mereka.
Dilihat dari sudut pilihan raya, PAS telah mencapai peningkatan kini, berbanding pencapaian pertama pada tahun 1959 itu. PAS bersekali rakannya dalam Pakatan Rakyat berjaya menerajui Kelantan, Perak dan Kedah – serta menjadi sebahagian kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang – tapak sambutan 60 tahun pada hari ini - selepas pilihan raya ke 12.
Tanpa BN ditumbangkan di Pulau Pinang, kita tidak mungkin dapat bersidang di Dewan Milenium ini pada hari ini.
Sekilas imbasan – PAS kini kian menghampiri Umno dari sudut kedudukan politik negara.
Di Pulau Pinang – pada pilihan raya 2008, selain satu kerusi yang dimenangi ada 4 kerusi Dun di mana PAS kalah kecil di bawah 1,000 undi. Jika PAS boleh menang kesemua kerusi Dun, peranan PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang tentunya akan lebih kukuh.

Kemenangan kelima kerusi Dun ini juga boleh membantu PAS mendapatkan dua kerusi Parlimen iaitu Tasek Gelugor dan Kepala Batas.
Di Perak – PAS memenangi hanya 6 kerusi Dun dari 20 kerusi yang ditandingi, namun berjaya menabalkan MB dari parti kita, dengan sokongan parti rakan.
MB Perak dari PAS yang dianggap berkesan, terbuka, cekap , dan berkebajikan – sehingga memaksa Umno menggulingkan kerajaan ini dalam masa singkat bagi menyekat PAS membina pengaruh dalam susunatur masyarakat majmuk yang mewakili model demografi Malaysia.
Di Perak – PAS kalah marginal di sembilan kerusi Dun lain. 9 + 6 = 15 kerusi. Jika PAS berjaya memenangi semua kerusi marginal tadi, insya-Allah boleh memulangkan Perak kepada Pakatan Rakyat dan PAS. Ini juga boleh membantu PAS menambahkan empat kerusi Parlimen di Perak.
Begitu juga di Selangor – 13 kerusi Dun – PAS kalah marginal dan ini memberi ruang PAS bertapak untuk jangka masa panjang di negeri Pantai Barat – menghilangkan momokan selama ini bahawa PAS adalah Parti Pantai Timur atau tapak PAS hanya di Kelantan dan Terengganu semata-mata.
Sekali lagi - ia boleh melonjakkan prestasi PAS di peringkat Parlimen dengan tambahan beberapa kerusi Parlimen dari Selangor dalam pilihan raya akan datang.
Terengganu adalah secara semulajadi di anggap sebagai tapak PAS. Insya-Allah , kita mampu mengembalikan Terengganu kepada PAS dan meningkatkan bilangan kerusi Parlimen kita.
Di Peringkat Persekutuan, sebenarnya PAS menghampiri sasaran 40 kerusi pada pilihanraya lalu - mengambil kira 15 kerusi di mana PAS kalah dengan majoriti hanya 5,000 undi ke bawah. Umno hanya berjaya mendapatkan 78 kerusi Parlimen seperti sekarang kerana menggunakan tayar spare - peneroka felda dan undi pos. Di Pekan sendiri , Kepala Batas, Jeli, Hulu Terengganu dan lain-lain dimenangi melalui pertolongan ghaib undi pos dan bukan sokongan besar rakyat jelata.
Alun membentuk gelombang
Sementara itu, Umno juga dibantu oleh adanya 133 rancangan Felda di 26 kerusi Parlimen yang ditandingi .
Hari ini Alhamdulillah sudah wujud alun yang akan membentuk gelombang di kawasan-kawasan felda ini, insya-Allah.
Sekalipun kekuatan Umno ditunjangi oleh undi Peneroka Felda, PAS tetap mempunyai sokongan asas yang agak besar iaitu purata pada 39 peratus.
Hanya dengan lonjakan 12 peratus lagi insya-Allah kita semua boleh mengubah landskap politik negara.
Ketika PAS berjaya besar dalam pilihan raya 1969, termasuk menewaskan Dr Mahathir – oleh Tuan Haji Yusuf Rawa - yang kemudiannya menjadi Presiden PAS ke 5 - sebagai bukti tidak ada gergasi yang kebal yang tidak boleh ditewaskan - Yang Dipertua Agung PAS masih ditahan.
Yang Dipertua PAS adalah Dr Burhannudin al-Helmi ditahan di bawah ISA bagi kali kedua dan kerana keuzurannya akibat layanan buruk dalam tahanan, beliau dirawat di hospital. Dari katil hospital, Mei 1969, beliau merangka pelan strategi pilihan raya tersebut. Beliau sendiri tidak dapat bertanding kerana perintah mahkamah yang dikenakan ke atas beliau. Lima bulan kemudian, beliau meninggal iaitu hanya sebulan selepas dibebaskan.
Dato’ Ahmad Boestamam, aktivis perjuangan kemerdekaan yang sangat gigih, seangkatan dengan Dr Burhanuddin memuji Dr Burhanuddin sebagai seorang yang tenang, terbuka dan matang.
Beliau menulis tentang pengalaman Dr Burhanuddin berdebat tentang tuhan dengan seorang aktivis berfahaman komunis. Kata aktivis itu, jika anda beriman Tuhan itu wujud dan berkuasa, mintalah Tuhan anda, berikan saya sepasang selipar getah.
Dengan tenangnya Dr Burhanuddin menjawab: Sememangnya tuhan itu ada. Tuhan telah menciptakan semua benda-benda besar seperti bumi dan langi.
Anda dan saya. Kalau hanya sepasang selipar getah, ia boleh dibuat oleh anda sendiri dan tidak perlulah mintakan Tuhan untuk membuatnya..... Demikian catatan Dato’ Ahmad Bosteman.
PAS ternyata terbuka sejak mula. Malah terlantiknya Dr Burhanuddin sendiri selaku Yang Dipertua Agung PAS sedangkan pada waktu itu beliau belum lagi menjadi ahli PAS, adalah satu dari bukti keterbukaan PAS itu.
Ia bermula apabila beberapa pimpinan kanan PAS telah mencadangkan supaya parti menawarkan jawatan itu kepada beliau kerana halangan tugas Dr Abbas Alias dan tawaran itu akhirnya diterima. Dr Abas pula secara terbuka memberikan laluan kepada Dr Burhanudin.
Untuk seribu langkah ke hadapan, pegangan PAS terhadap fundamental Islam dan pada masa yang sama bersikap terbuka dan bijaksana memilih keutamaan-keutamaan perjuangan yang bertahap-tahap dengan latar belakang komposisi penduduk yang beragam menjadikan PAS berbeza dengan Umno. Serentak. Pegangan Islam menjadikan PAS sebuah parti yang sentiasa utuh dan beridealisme tinggi.
Ketika Umno mendekati ajalnya, PAS muncul sebagai parti masa depan dengan pendekatan multi racialnya diambil dari Islam adalah agama universal milik semua bangsa. Ini tergambar dalam cogan PAS - PAS Untuk Semua dan Negara Berkebajikan.
Rahmat perjuangan PAS dinikmati oleh semua rakyat sebagaimana buah-buah yang enak boleh dimakan oleh sesiapa sahaja. Dari sana, Insya-Allah ramai akan tertarik untuk memahami Islam sebagai akidah yang benar dan agama yang sempurna.
Islam yang syumul atau komprehensif sekali lagi meletakkan perjuangan PAS tetap relevan dan seperti kata Syed Qutb, ‘masa depan adalah untuk Islam’, meletakkan PAS mempunyai tapak kekuatan yang sama sekali berbeza dengan lawan politiknya.
Memandang PAS sejak lapan tahun pertama penubuhannya telah berpeluang mentadbir, walaupun hanya di peringkat negeri, menjadikan ahlinya telah mempunyai minda berkerajaan sejak lama. Minda berkerajaan yang ada ini menjadikan PAS boleh menggantikan Umno dalam mentadbir negara dan pada masa yang sama mengekalkan keamanan dan kesejahteraan semua penduduk.
Bagi 60 tahun akan datang, pilihan raya ke 13 adalah sebahagian dari barometer yang penting. Kongres ini dianjurkan tepat menjelangnya tarikh penting itu. Terpulang kepada ahli samada mampu melonjak PAS seibu langkah ke hadapan dan memundurkan lawan kita seribu langkah ke belakang dalam pertarungan penting untuk meletakkan perjuangan kita ke persada utama negara.

1 comment:

mencari kebenaran said...

asalamualaikum link blog .tq

Search This Blog

Loading...