Pemuda Umno Kelantan ditempelak berikutan tindakannya membuat laporan polis berhubung kompleks Bazaar Tok Guru tetapi tidak mengambil kisah kelewatan pembinaan jambatan kedua, yang dikhuatiri membabitkan elemen penyelewengan dan rasuah.
Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim membangkitkan perkara itu selepas mendapati Pergerakan Pemuda Umno negeri membuat laporan polis kononnya terdapat unsur penyelewengan berhubung kompleks Bazaar Tok Guru.
“Ini merupakan satu helah Umno dalam usahanya untuk merampas Kelantan dari PAS.
“Mereka ingin menggambarkan kepada rakyat kelemahan kerajaan negeri. Tapi mereka tak sedar tindakannya akan terkena batang hidung sendiri.
“Mereka berbuat demikian kononnya ada unsur penyelewengan dalam pembinaan, penyediaan Bazaar Tok Guru.
“Tetapi hakikat sebenar, Umno nak ambat (usir) peniaga-peniaga di arked UDA,” katanya kepada The Malaysian Insider semasa ditemui pada sesi penerangan isu semasa di sini.
Dua hari lepas, Pergerakan Pemuda Umno Kelantan diketuai Ketua Penerangannya Che Othman Che Will membuat laporan polis meminta siasatan dibuat terhadap pengakuan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung urus niaga pembelian kompleks perniagaan Bazaar Tok Guru di sini.
Bazaar Tok Guru menjadi satu isu popular selepas cetusan beberapa kontroversi dalam krisis pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Nik Aziz yang menjadi idola seluruh rakyat Kelantan selama ini.
Sebelum itu, Nik Aziz diasak dengan pelbagai tekanan ekoran krisis Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) melibatkan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang kemudiannya diarah melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK.
Ariffahmi akan melepaskan jawatan tersebut berkuat kuasa penghujung Mac ini. Sehubungan itu, Zaki mempersoalkan Pergerakan Pemuda Umno yang tidak turut membuat laporan terhadap projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua yang dikatakan juga terdapat unsur penyelewengan.
“Kenapa tak mengadu pasal itu? Berapa kontraktor dah terlibat dengan pembinaan jambatan itu. “Sepatutnya jambatan itu sudah boleh digunakan pada 2010 tapi tak siap-siap lagi,” katanya sambil menjelaskan projek itu dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Kota Baru.
Projek Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua merentasi Sungai Kelantan menghubungkan Kota Baru dengan Tumpat dilancarkan pada 2 Ogos 2007 oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Jambatan sepanjang 811 meter bernilai RM150 juta dibina bersebelahan jambatan lama dan ia turut melibatkan pembinaan jalan bertingkat bagi memudahkan aliran keluar masuk trafik.
Laluan bertingkat itu menghubungkan tiga lokasi iaitu dari Pasir Pekan ke Bulatan Kijang, Jalan Hamzah ke Wakaf Siku dan Jalan Sultan Yahya Petra ke Jalan Dusun Muda. Difahamkan projek sepatutnya dapat disiapkan penghujung 2009 itu dilanjutkan sehingga Dis ini.
No comments:
Post a Comment