Monday, January 18, 2010

BN serba tak kena di Kota Siputeh

BN dan PAS sama-sama menunggu berlakunya pilihanraya kecil kawasan DUN Kota Siputeh. Menunggu dalam keadaan tidak pasti sebenarnya lebih menyeksakan dari penantian dalam pasti.

Kedua-dua pihak sama-sama sudah turun gelanggang mengatur strategi. Rakyat Kota Siputeh sudah terasa bahang pilihanraya. Macam biasa, BN tidak turun dengan modal air liur sahaja. Siapa pun sudah tidak sudi lagi dengar cerita dongeng BN. Apa yang diucapkan oleh radio, tv dan akhbar tali barut BN siang malam, itulah juga yang mahu dipropagandakan sepada rakyat di pentas pilihanraya. Rakyat dah muak. Dah tahu apa yang mereka nak kata. Mahu tak mahu, BN terpaksa jadi Santa Claus. Itulah satu-satunya cara ‘kempen’ yang dirasakan paling berkesan oleh mereka.



Cuma dalam situasi siapa pun tidak tahu sama ada akan berlaku pilihanraya atau tidak, jika siang malam asyik menghambur habuan demi untuk mengubah sikap rakyat; maka Santa Claus pun boleh kurus dan botak kepala.

Sebagai dimaklumi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memperoleh perintah penangguhan terhadap perintah pelaksanaan pilihanraya bulan lalu. Ini bermakna pilihanraya kecil Kota Siputeh tidak akan diadakan dlam masa terdekat, berikutan mahkamah terlebih dahulu akan mendengar rayuan bekas ADUN Dato’ Abu Hasan Sarif. Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Sulong Mat Jeraie memutuskan wujud keadaan istimewa atau luar biasa untuk penangguhan tersebut.

Mahkamah bersetuju dengan pendapat Peguan Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md Said sekiranya penangguhan itu ditolak, SPR harus mengadakan pilihanraya yang melibatkan perbelanjaan yang tinggi.

Sebelum itu Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa Khas) menolak permohonan SPR untuk menangguhkan keputusan perisytiharan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh sebagai kosong pada 16 November lalu.

Manakala di luar mahkamah, jumhur para peguam berpendapat bahawa calon BN dan SPR hanya akan berpeluang menangguhkan pilihanraya sahaja tetapi untuk mengelak berlaku pilihanraya amat sukar. Ini kerana terlalu jelas bahawa Datuk Abu Hasan hilang kelayakan mengikut perlembagaan tubuh kerajaan negeri Kedah. Jika Augustine Paul masih hidup pun, dia tidak diduga tidak dapat mentafsir undang-undang yang terlalu jelas itu untuk mengikut kehendak BN.

Maksudnya apa yang BN dan sekutunya SPR lakukan sekarang hanya melambat-lambatkan permainan supaya pihak lawan tidak menjaringkan gol kemenangan. BN mungkin menangguhkan rayuan atau melambat-lambatkan proses perbicaraan sehingga berakhir tarikh 8 Mac 2011. Maka pilihanraya kecil tidak perlu diadakan lagi. Bagi BN tidak menang pilihanraya kecil lebih baik dari kalah. Dengan tidak berlakunya pilihanraya maka hasrat untuk tidak kalah boleh tercapai, dalam keadaan PAS pun tidak menang.

Dua bulan lalu BN mencanangkan ke seluruh negara bahawa sokongan untuk mereka sudah pulih. Pihak Pakatan Rakyat juga turut mendapat petunjuk itu. Di tengah-tengah keghairahan itu tiba-tiba muncul satu demi satu isu yang memalapkan imej BN.

Sokongan terhadap Najib tidak padu melalui lebihan tiga undi di Parlimen, kehilangan enjin jet, isu keborosan isteri Najib, kecaman Dr. Mahathir terhadap perangai pemimpin Umno, bidasan pakar-pakar ekonomi (termasuk Tengku Razaleigh dari Umno sendiri) terhadap kegagalan kerajaan mengurus ekonomi, negara mengalami krisis kewangan dalam pentadbiran dan pengurusan; semuanya menjadi menjahanamkan imej BN dalam masa yang singkat.

Di celah-celah itu timbul pula isu kenaikan harga gula. Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen bukan terlalu besar tetapi kenaikan semua barang makanan lain yang melibatkan gula nanti akan menyakitkan sebilangan besar rakyat jelata.

Semua tahu bahawa kenaikan harga minyak adalah antara faktor penting berlakunya Tsunami politik dalam negara pada tahun 2008. Maka kesan kenaikan gula pula akan mengambil alih faktor penolakan rakyat terhadap BN.

Di tengah kegawatan itu muncul pula isu kebenaran kepada bukan Islam menggunakan nama Allah dalam sebaran dakyah mereka. Memang di peringkat awal Umno dilihat macam menjuarai isu ini dengan pelbagai protes dan memorandum yang dirancang. Tetapi selepas ini kita akan melihat Umno akan tercungap-cungap menjadi pihak yang terpaksa mempertahankan diri dalam isu tersebut. Rakyat sudah mula bertanya, bagaimana ada ruang bagi pihak kristian mempertahankan tindakan mereka menggunakan nama Allah melalui perundangan? Bukankah Umno yang beriya-iya mempertahankan Perlembagaan Lord Reid sejak merdeka? Bukankah Umno sebagai penguasa negara yang menggubal undang-undang demi undang-undang sejak merdeka? Mengapa dalam tempoh yang panjang itu mereka tidak melakukan sesuatu untuk mempertahankan kepentingan Islam mengikut Perlembagaan? Nah, nanti isu nama Allah akan menjadi senjata membongkar ketololan Umno!

Katakanlah BN akan mengambil sikap mengelak pilihanraya melalui kaedah melambatkan proses mahkamah, mereka sebenarnya tidak juga untung. Selepas lompatnya ADUN Lunas (yang berasal dari KeADILan) menyokong BN, majoriti Pakatan di Kedah cuma tinggal enam sekarang. Ia masih selesa kerana DUN Kedah hanya mempunyai 36 kerusi DUN, namun tentu ia kurang baik dari majoriti lapan kerusi yang dimiliki di peringkat awal. Dengan hilangnya satu kerusi BN di Kota Siputeh dan tiada berganti kerana tidak berlaku pilihanraya maka majoriti Pakatan menjadi tujuh.

Andaikan pula berlaku pilihanraya dan BN kecundang, maka majoriti Pakatan akan kembali ke angka lapan. Semuanya serba tak kena bagi BN.

Menjelang pilihanraya yang dinanti ini, Umno Jerlun sudah berpecah empat. Masing-masing bergerak melalui calon bayangan sendiri. Belum masuk gelanggang sudah berpencak sesama sendiri. Maka harapan untuk kalah bagi BN adalah lebih cerah berbanding menang.

Walaupun sejak azali PAS tidak pernah menang di Kota Siputeh namun majoriti kekalahannya di situ selalunya kecil. Sebabnya PAS ada kekuatan asas di akar umbi. Ada ahli dan cawangan di semua lokaliti. Tidak macam Bagan Pinang. Maknanya PAS tetap kuat cuma belum bernasib baik untuk menang. Ini jadi satu lagi faktor yang memeningkan kepala Najib.

No comments:

Search This Blog