18 Januari 2010, jam lebih kurang 9.30 malam, saya bersama rakan saya, Saudara Kamarul Hatta, Timbalan Ketua AMK Pahang, berada di hadapan sebuah sekatan polis memasuki Felda Keratong 5. Kenapa? Saya diminta Saudara Zaidi Ahmad, Pengarah Sekretariat PKR Pahang untuk mewakili beliau berceramah di situ kerana pertama, beliau keletihan selepas bertungkus-lumus selama dua minggu bagi menjayakan Konvensyen PKR Pahang dan kedua, beliau sedikit keuzuran. Agak lucu, kerana saya ahli PAS menjadi wakil PKR untuk berceramah, tak kisahlah, janji Pakatan Rakyat, lagipun ceramah tersebut anjuran bersama PAS dan PKR Rompin.
Bila ditahan di sekatan polis itu, saya meminta Hatta yang memandu supaya memberitahu sahaja polis yang bertugas yang kami mahu ke ceramah, tidak perlu takut. Akibatnya kami diminta turun untuk diambil nama dan nombor kad pengenalan. Polis pertama yang menahan nampaknya tahu dia tiada alasan atas tindakannya itu, bila ditanya kenapa, dia memberitahu tidak salah pergi ceramah, tetapi nasihatnya janganlah pergi ke ceramah itu… aikkk!!!
Kepada polis kedua yang mengambil maklumat nama dan nombor kad pengenalan saya bertanya, “Kenapa, ceramah ini tak ada permit ke,” selamba dia menjawab “Ada,” lagi pelik! Habis itu, kenapa perlu sekatan polis dan segala? Katanya takut ada kacau, huru-hara! Saya tergelak, siapa yang mahu buat huru-hara? Polis tersebut serius dengan alasannya, mana tahu, takut-takut berlaku… Saya terus tersenyum, yalah saya datang untuk berceramah, bukan untuk membuat huru-hara. Sumpah saya tidak tahu siapa yang mahu membuat huru-hara itu…
Saya kira kedua-dua polis itu sendiri, yang tugasnya menguatkuasakan undang-undang, tidak tahu undang-undang mana yang sedang mereka kuatkuasakan. Saya yakin mereka sedang melaksanakan arahan pihak tertentu, bukan melaksanakan arahan undang-undang, maka tugasan mereka itu dalam keadaan mereka memakai uniform yang dibiayai wang cukai rakyat, menggunakan kereta peronda polis dan segala peralatan sekatan jalanraya yang juga dibiayai oleh wang cukai rakyat adalah satu tindakan haram kerana tidak berasaskan mana-mana undang-undang yang terpakai, saya pula sebagai salah seorang pembayar cukai tidak akan menghalalkannya dunia-akhirat.
Sesampainya di tapak ceramah, dapatlah saya akan gambaran sebenarnya, tahulah saya siapa yang sedang bercadang mahu menimbulkan huru-hara, anda tahu siapa? Ya… Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), FRU masuk Felda! Setelah sekian lama “bersara” dari aktiviti politik, hari itu saya mahu berceramah kerana hanya mewakili sahabat saya yang begitu berharap (walaupun anak kecil saya masih demam), begitulah sambutan meriah yang saya terima, sambutan topi merah!
Ceramah terpaksa dialihkan ke markas PAS yang hanya beberapa meter sahaja dari lokasi asal, sebuah kawasan lapang di hadapan deretan kedai. Melihat kepada jarak yang begitu dekat di antara lokasi asal dengan lokasi ganti (markas PAS), saya tidak faham mengapa ia perlu diarah pindah oleh polis, kalau ada kebaikan tentang kedua-dua lokasi, maka kebaikannya sama, jika ada keburukan tentang kedua-dua lokasi, maka keburukannya sama, apa alasan polis?
Tokoh yang berceramah bersama saya malam itu ialah Saudara Mazlan Aliman, Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Seluruh Malaysia (ANAK) yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Saya dimaklumkan ada dua sebab mengapa ceramah pada malam itu menerima tindakbalas sebegitu rupa, pertama kerana ada pihak tertentu risau dengan kesan ceramah Anwar Ibrahim di Kuantan pada malam sebelumnya, dan kedua kerana kehadiran Mazlan Aliman itu sendiri. Rupa-rupanya antara yang sedang huru-hara ketika itu adalah pengurusan Felda yang begitu takut dengan kelibat Mazlan Aliman yang dikenal lantang bersuara dan berjuang memartabatkan nasib peneroka Felda.
Kebetulan pula Saudara Wak Rabidin, Ketua PKR Cabang Rompin yang turut hadir malam itu adalah Timbalan Pengerusi Konvensyen Peneroka yang sedang sibuk dalam proses persiapan untuk dilaksanakan oleh Biro Felda dan Orang Asal PKR Pahang, Mazlan Aliman juga bakal membentangkan kertas kerja dalam konvensyen tersebut. Patutpun ada telinga yang berdesing hebat.
Polis pada malam itu betul-betul menghadiahkan saya bola tanggung. Manakan tidak, saya ambil peristiwa gangguan polis itu sebagai contoh kecil bagaimana orang Melayu khususnya, dari dahulu sehingga sekarang tidak habis-habis ditakutkan oleh pemimpin mereka. Anda bayangkan bagaimana perasaan pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang mahu ke ceramah bila terpaksa memberi nama dan nombor kad pengenalan mereka kepada polis yang menyekat mereka di tengah jalan, ini zaman darurat ke? Ceramah itu anjuran sebuah gerakan bawah tanah ke? Dari zaman dahulu kita ditakutkan kononnya ditimpa daulat atau ketulahan bila mahu melakukan sesuatu yang tidak sealiran dengan pemikiran pemimpin. Bila munculnya gerakan-gerakan awal mahu menuntut kemerdekaan, pemimpin-pemimpin Melayu sendiri yang berkhidmat dengan penjajah menakut-nakutkan orang Melayu, mahu merdeka konon, buat jarum sebatang pun tidak tahu.
Sampailah ke senario politik hari ini. Orang Melayu khususnya terus ditakut-takutkan. Sokonglah Pakatan Rakyat, tengok tu, DAP dah paksa Khalid Ibrahim buka UiTM untuk Cina, begitulah rasisnya dakwaan mereka, padahal dalam masa yang sama mereka melakukan cadangan Khalid Ibrahim yang tidak boleh dilaksanakan itu kerana Khalid bukanlah pemimpin Kerajaan Persekutuan pun, Najib baru-baru ini mengumumkan penyediaan kuota 30% bukan Melayu untuk kemasukan ke Maktab Tentera DiRaja (MTD), ada siapa bising?
Saya tiada masalah dengan pembukaan institusi-institusi pendidikan ini untuk bukan Melayu, bahkan ketika saya di Matrikulasi MARA Kulim pada tahun 1990-1992, ia sudah dipraktikkan, dipraktikan oleh pemerintah Umno dan BN! Soalnya mengapa Melayu perlu ditakutkan bila ada pemimpin Pakatan Rakyat mengemukakan idea yang serupa, menuduh Pakatan Rakyat dikuasai Cina? Najib pula dikuasai oleh siapa bila memperkenalkan kemasukan bukan Melayu ke MTD ini?
Begitu juga dengan isu kalimah Allah. Munculnya isu ini memberi modal baru kepada Umno untuk terus menakutkan orang Melayu, sokonglah lagi Pakatan Rakyat, sekarang Allah pun mereka nak kongsi! Bila Dr. Mohammad Nor Manuty dari PKR mengeluarkan kenyataan bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah, kalangan Umno ada menakutkan orang Melayu yang menyokong PKR dengan menuduh PKR parti sesat, padahal kenyataan Mohammad Nor Manuty bukanlah setakat pandangan beliau, ia adalah pandangan alim-ulama seluruh dunia, lebih dari itu ia adalah sebahagian Kalamullah yang dinukil dari Kitabullah Al-Quran ul-Kareem.
Apapun saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas atas keberanian YDP PAS Kawasan Rompin, Ustaz Shukri Haji Ahmad dan Ketua PKR Cabang Rompin, Saudara Wak Rabidin bersama sekitar 300 peneroka Felda yang hadir dengan setia pada malam 18 Januari itu, walaupun terpaksa berpindah tempat. Keberanian peneroka Felda Keratong 5 ini dalam mengatasi usaha menakut-nakutkan yang dibuat oleh polis pada malam itu saya percaya telah membuatkan pihak tertentu semakin merasa huru-hara.
|
No comments:
Post a Comment