Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamudin Hussien sampai meminta pembangkang bertaubat kerana kononnya menuding jari menuduh Umno menjadi penyebab tercetusnya insiden yang tidak diingini itu. Najib dan konco-konconya turun sendiri ke gereja yang terbakar lalu mengumumkan sumbangan RM500 ribu untuk gereja tersebut.
Sejak tercetusnya isu pembenaran mahkamah terhadap akhbar Herald milik Khatolik menggunakan nama Allah dalam terbitan mereka, ia mencetuskan konflik. Umat Islam marah kerana Allah tidak boleh disamakan dengan God dalam ajaran Kristian yang berkonsepkan trinity. Umno tahu umat Islam marah, jadi ia cuba menangguk di air keruh. Umno kelihatan mahu menjuarai isu tersebut. Mereka yang melancarkan demonstrasi bantahan di seluruh negara. Perhimpunan haram mereka tidak diganggu oleh polis. Tiada semburan air kimia dan gas pemedih mata. Media tali barut BN memberi liputan luar biasa.Sewaktu berdepan dengan PAS dalam isu hudud dan hukum syariah yang lain, Umno paling kuat mengejek. Hudud dijadi bahan senda gurau dan gelak ketawa dalam perhimpunan Umno. Tiba-tiba dalam isu kalimah Allah mereka mahu jadi juara pula.
Sepatutnya dalam isu berkaitan Islam, PAS terkedepan. Namun kenyataan rasmi yang dikeluarkan PAS, walaupun tegas, tetapi tidak emosi dan tidak menyinggung perasaan pihak lain. “PAS menyatakan pendirian bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenarkan untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristain dan Yahudi. “Bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara,” ujar Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Bukan sahaja Umno kecewa dengan kenyataan itu tetapi bukan Islam juga terkejut. Peratus penganut Kristian kecil saja di negara ini. Sejak 1511 mereka tidak menggunakan nama Allah dalam penyebaran ajaran Kristian di negara ini. Bukan perkara besar bagi mereka jika kebenaran menggunakan nama Allah tidak diberi. Usaha menggunakan nama Allah itu mungkin hanya idea segelintir paderi atasan untuk mengelirukan umat Islam, supaya ajaran agama mereka mudah diterima oleh kalangan umat Islam yang cetek pengetahuan tauhidnya.
Bagi pengikut Kristian umumnya, jika mereka tidak diberi kebenaran menggunakan nama Allah ia tidaklah menjejaskan ‘aqidah’ mereka. Tetapi sikap melampau dan perkauman Umno dalam menangani isu tersebut telah menimbukan rasa muak penganut Kristian terhadap Umno.
Begitu juga dengan masyarakat Cina yang bukan Kristian. Isu tersebut tiada kena mengena dengan mereka, tetapi mereka benci melihat Umno yang terkinja-kinja setiap kali tercetusnya isu agama atau kaum. Apa jua isu kontroversi dengan agama atau kaum lain, mereka nak jadi juara. Umno tidak lagi dilihat Juara Rakyat tetapi Juara Perkauman.
Walaupun di Semenanjung Kristian tidak ramai, tetapi di Sabah dan Sarawak jumlah mereka adalah besar dan menjadi penentu undi dalam pilihanraya. Parti pimpinan Joseph Pairin Kitingan pernah menawan Sabah. Ia dikaitkan dengan kuasa Kristian, sekalipun Pairin berkali-kali menegaskan PBS bukan parti Kristian.
Di saat Umno kontang sokongan bukan Melayu/Islam, tiba-tiba muncul lagi isu yang menjarakkan mereka dengan golongan penentu itu; pasti ia memeningkan kepala Najib. Sebab itu ada asas mengapa Najib benar-benar gelabah biawak apabila gereja menjadi sasaran sekerat dua manusia yang tidak sempurna akal.
BN lebih ‘sakit’ apabila Mursyidul Am PAS, Presiden dan Timbalan Presiden meluangkan masa melawat gereja yang diceroboh. Baru terbuka semua mata golongan bukan Islam yang selama ini memandang PAS dengan pandangan yang rabun. Imej ‘PAS untuk semua’ semakin terpancar di setiap sanubari rakyat pelbagai anutan.
Bekas Naib Presiden MCA Dato’ Chua Jui Meng mengecam sikap Umno yang hanya bersandiwara dalam isu mempertahankan kalimah Allah kerana baginya Umno hanya menggunakan isu itu untuk kepentingan politik. Beliau mendedahkan, ramai orang Katholik tidak suka dengan Umno.
Ada juga teori mengatakan serangan terhadap gereja adalah konspirasi mereka sendiri bagi menonjolkan BN sebagai pembela semua agama. Lawatan terhadap gereja dan ganjaran RM500 ribu sudah diatur dari awal. Semuanya berlaku berurutan. Tapi teori ini boleh disangkal kerana bukan Islam di negara ini tidak macam orang Melayu yang mudah lupa.
Pengalaman lalu menunjukkan kemarahan orang Melayu terhadap kerajaan boleh diatasi dengan pemberian kain batik, kain pelikat atau subsidi anak ayam buta menjelang pilihanraya. Tetapi bukan Melayu tidak begitu. Ganjaran RM500 ribu itu belum tentu melunakkan masyarakat Kristian di seluruh negara.
Di saat gereja di serang, media talibarut BN melaporkan juga sebuah surau di Klang menjadi mangsa serangan batu sehingga pecah cermin. Surau itu turut dilempar dengan air kencing. Malangnya satu sen pun Najib tidak beri sumbangan.
Sekarang Umno sedang melancarkan program Umno Juara Rakyat. Mereka akan turun ke semua bahagian di negara ini mencanangkan slogan Juara Rakyat itu. Semua gelaran juara di dunia ini dinilai dan ditentukan oleh pihak lain, juri professional atau orang ramai. Tidak ada orang yang mengisytiharkan diri sendiri sebagai juara. Tapi Umno meletakkan diri sendiri dalam bakul sampah lalu cuba mengangkatnya sambil berteriak ‘akulah juara rakyat’. Kalau Din Bramboi tahu dia akan gelak berguling-guling.
No comments:
Post a Comment