Friday, June 26, 2009

Suhakam bincang kemelut politik Perak bulan depan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan membincangkan kandungan memorandum berhubung salah laku polis oleh 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak pada mesyuarat bulanan mereka bulan depan.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Simon Sipaun berkata, perkara yang dibangkitkan itu akan dibincangkan bagi memperoleh satu keputusan dalam usaha menyelesaikan kemelut di Perak.

“Kita kena tunggu selepas perkara ini dibincangkan dan diputuskan oleh ahli mesyuarat itu pada Julai ini,” katanya.

Simon berkata, negara ini berpegang kepada hak asasi dan sistem perundangan adil namun kecelaruan politik di Perak dan insiden di dewan pada 7 Mei lalu sedikit sebanyak meninggalkan titik hitam dalam usaha kita memperjuangkan prinsip demokrasi.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum daripada 10 ADUN Perak tersebut di Ibu Pejabat Suhakam, Jalan Raya Laut di sini, semalam.

Beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat Perak diberi kuasa menentukan kerajaan pilihan mereka selaras sekiranya artikel 21 Deklari Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang menjelaskan kepentingan rakyat dijadikan asas pentadbiran kerajaan dirujuk.

“Tindakan mahkamah tidak semestinya dapat menyelesaikan kemelut ini, saya rasa mungkin tiba masanya rakyat Perak diberi mandat untuk menentukan kerajaan pilihan mereka. Jika ini dilakukan ia selaras dengan prinsip hak asasi manusia,” katanya.

No comments:

Search This Blog