Andaikata Malaysia hari ini mula menerima kesan menyeluruh dari krisis kewangan dunia, maka antara negeri terawal yang kelihatannya tidak akan mampu bertahan adalah Negeri Pahang, kesan paling buruk ialah Pahang jatuh bankrap.
Pahang adalah negeri yang banyak bergantung kepada hasil fizikal, tentulah yang paling dimaklumi dan diketahui adalah hasil balaknya. Sehingga hari ini pun, aktiviti pembalakan di negeri ini nampaknya masih berjalan rancak.
Tetapi yang memelikkan, menurut Azan Ismail, Ahli Parlimen Indera Mahkota yang juga merupakan Timbalan Pengerusi 2 Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang, hasil dari aktiviti ini yang dipulangkan kepada kerajaan negeri adalah sedikit dan tidak berpadanan dengan skala pembalakan yang dilakukan.
Pahang memang dikenal dengan kekayaan hasil hutannya selain tanah dan air, tetapi kekayaan ini tidak pernah berjaya ditunjukkan dalam pembentangan belanjawan negeri. Termasuk tahun ini, Pahang sudah menyaksikan pembentangan belanjawan defisit untuk tahun ke-12 berturut-turut, ujar Azan lagi.
Maksudnya, selama 10 tahun Datuk Seri Adnan Yaakob menerajui Negeri Pahang sebagai menteri besar, tidak pernah walau setahun pendapatan negeri mengatasi perbelanjaannya.
Azan, dalam kenyataannya juga mendedahkan bahawa negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai jumlah hutang antara paling tinggi dengan Kerajaan Persekutuan, iaitu mencecah hampir RM1.5 bilion. Lebih malang pula bila pembayaran hutang ini yang dibuat oleh kerajaan negeri semakin sedikit jumlahnya dari setahun ke setahun.
Tentulah, Adnan yang menerajui kerajaan negeri Pahang waktu ini perlu memikirkan bagaimanakah caranya untuk mengurangkan kadar ketirisan dalam hasil kerajaan, seperti meningkatkan integriti pentadbiran dan mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap rasuah dan salahguna kuasa.
Tetapi yang lebih penting dan mendesak mengikut Azan, yang perlu dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan negeri Pahang adalah mencari sumber baru bagi meningkatkan hasil negeri, seterusnya akan dapat mengurangkan defisit dan hutang kerajaan negeri.
Ini, seperti yang difahamkan oleh Azan boleh dilakukan dengan mengenal-pasti hasil yang belum atau tidak pernah dieksploitasi sebelum ini. Antara tindakan segera yang boleh dilakukan ialah meningkatkan keupayaan, mengoptimakan penggunaan dan mengagresifkan kerja pemasaran untuk kawasan perindustrian minyak dan gas di Gebeng, Kuantan.
Gebeng, bagi Azan mempunyai potensi untuk lebih maju dan membangun dengan pesat, seterusnya berkemampuan menjana hasil yang lebih besar kepada kerajaan negeri, dan memastikan akan terbinanya lebih ketahanan dalam mengharungi kemelut ekonomi dunia yang semakin menjalar.
No comments:
Post a Comment