Saturday, June 27, 2009

DUN Manek Urai: Fauzi wakili PAS

PAS mengumumkan Fauzi Abdullah sebagai calonnya bertanding bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan bulan depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kg. Manek Urai Lama, Manek Urai dekat sini sebentar tadi.

Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai diadakan selepas penyandangnya, Ismail Yaakob dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu akibat pelbagai komplikasi.

Pada pilihan raya umum 2008, Ismail menewaskan calon BN, Zulkepli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihan raya kecil kawasan tersebut akan diadakan pada 14 Julai manakala penamaan calon 6 Julai.

Fauzi yang berusia dalam lingkungan 50-an adalah seorang peniaga ikan dan anak tempatan.

Selain jawatan bendahari, beliau juga bertanggung sebagai pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Guchil - juga terletak dalam parlimen Kuala Krai.

Turut hadir di ceramah tersebut ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa; pakar strategi PKR, Saifuddin Nasution dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, BN pula dijangka mengumumkan calonnya Ahad ini.

Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat dianggap calon yang paling sesuai untuk mewakili BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Tuan Aziz antara tiga nama yang dicadangkan oleh Umno bahagian. Dua lagi ialah naib ketua Umno bahagian, Che Jalal Muda dan bekas ADUN Mengkebang, Azizuddin Hassan.

No comments:

Search This Blog