Bahang kemelut di Perak semakin membara hangatnya sehingga membuatkan Perdana Menteri bersedia bekerjasama dengan Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan krisis perlembagaan tersebut.
Manakala sebagaimana yang sering saya ulangi, ranting zaitun yang dihulurkan demi kesejahteraan rakyat jelata pasti disambut dengan hati terbuka oleh Pakatan Rakyat.
Namun, janganlah pula kesediaan ini dikhianati, di saat ranting zaitun dihulurkan, pisau belati tajam sudah siap menikam! Jikalau begitu sandiwara yang direncana, layak sahaja buah durian dibaling ke muka mereka yang menghulurkannya.
Krisis yang berlaku ini sememangnya menjadi pengajaran kepada mereka yang membelakangkan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang demi kepentingan politik. Sudah pasti saya bersetuju dengan anjuran agar kita kembali merujuk undang-undang dan keluhuran Semangat Keperlembagaan bagi menyelesaikan kemelut di Perak.
Perlu diberi perhatian bila sahaja saranan kembali kepada Kedaulatan Undang-Undang dikemukakan, sudah tentu rakyat mahu diyakinkan bahawa sistem kehakiman bebas dari sebarang kongkongan politik penguasa, undang-undang kuku besi dimansuhkan dan tiada lagi sebarang gangguan terhadap mereka yang berbeda pendapat. Jika ini tidak dipenuhi kerjasama yang ditawarkan umpama mencurah air di daun keladi.
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment