Zambry dan presiden partinya, Najib Razak tidak harus lupa mengapa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggerakkan kempen dan kemudian menghadkan kuasa raja hampir tiga puluh tahun lalu. Malangnya, umum masih belum mengetahui apakah teras penghujahan tiga hakim Mahkamah Rayuan Jumaat lalu. Mengapa dan bagaimana mereka membuat keputusan Sultan Perak memang berhak untuk melantik seorang Menteri Besar baru walaupun Menteri Besar sedia ada tidak atau belum meletak jawatan hanya akan diketahui apabila penghujahan bertulis mereka dikeluarkan. Apapun jua sebagai hakim yang ditauliahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, keputusan sebulat suara mereka mesti dipatuhi dan semua pihak yang bertikai harus menunggu hingga minggu hadapan apabila ketiga-tiga mereka – Datuk Raus Sharif, Datuk Ahmad Maarof dan Datuk Zainon Ali -- mengeluarkan penghujahan bertulis masing-masing. Prosedur ini perlu dipatuhi dan kajian yang ilmiah, teknikal dan saksama boleh dibuat oleh sesiapa yang berkepentingan selepas meneliti sandaran Perlembagaan Negara, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan proses keadilan yang digunapakai oleh ketiga-tiga hakim dalam membuat keputusan mereka. Yang penting, Zambry Abdul Kader sudah mendapat sokongan sistem mahkamah untuk mengesahkan kedudukannya sebagai Menteri Besar. Ini kerana kedudukan Mahkamah Rayuan adalah lebih tinggi tarafnya dari Mahkamah Tinggi. Maka apa yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aziz Rahim yang mengiktiraf Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah dimansuhkan oleh Mahkamah Rayuan. Soalnya, bolehkah keputusan Mahkamah Rayuan ini dianggap penyelesaian mutlak kekusutan politik Perak? Sudah tentu di peringkat ini jawapannya tidak. Ini kerana Nizar Jamaluddin masih mempunyai pilihan untuk mengemukakan tuntutannya bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah pada Mahkamah Persekutuan. Soal bila dan sama ada beliau akan berjaya dalam tuntutan di mahkamah tertinggi Negara itu, adalah perkara kedua. Yang utama sekarang Zambry adalah Menteri Besar Perak. Kedudukan Zambry sebagai Menteri Besar ini adalah bersandarkan keputusan Mahkamah Rayuan yang belum ada penghujahan bertulis. Sekalipun ada, yang agak merisaukan ialah, adakah di segi asas politik, dan neraca moral politik rakyat, kedudukan Zambry itu sah? Berdasarkan keputusan pilihanraya umum 2008, Nizar dilantik Sultan dan direstui oleh rakyat untuk menjadi Menteri Besar. Namun pilihan rakyat ini dinafikan oleh dua Ahli Dewan Undangan Negeri yang berhijrah keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang dari Parti Tindakan Demokratik (DAP). Sebenarnya, sokongan ketiga-tiga ADUN kepada Barisan Nasional (BN) ini belum diuji dan disahkan. Soal ini boleh diatasi oleh Zambry dengan mudah jika beliau tidak gopoh memanggil sidang DUN 7 Mei lalu. Seandainya beliau bersabar sehingga selepas 22 Mei lalu apabila Mahkamah Rayuan mengesahkan kedudukannya itu, sudah pasti agak mudah tiga ADUN bebas itu menyatakan sokongan mereka terhadap BN dalam undi tidak percaya terhadap Nizar. Nasi sudah menjadi bubur. Rakyat dan dunia sudah tahu dan menyaksikan sendiri bagaimana Speaker V Sivakumar diarak keluar tanpa kerelaannya dari DUN dan digantikan oleh speaker pilihan BN, R Ganeson. Episod ini akan terus mekar dalam ingatan berjuta-juta rakyat bagaimana tidak demokratiknya tindakan Zambry merampas kuasa. Sandaran bukti Zambry Menteri Besar Perak yang sah ialah keputusan Mahkamah. Bagaimana dengan keputusan rakyat, terutama pengundi Perak dalam mahkamah demokrasi dalam bentuk pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac tahun lalu? Adakah mereka setuju dengan keputusan tiga hakim itu? Apabila ketiga-tiga hakim berkenaan berkeyakinan Sultan Perak mempunyai kuasa penuh dan boleh mengatasi keputusan Dewan Undangan Negeri yang telahpun ditentukan oleh rakyat siapa penjawatnya, adakah ini bermakna ia akan menjadi iktibar untuk mengatakan kuasa menentukan pemerintahan di Negara ini kini telah kembali ke tangan Raja-raja? Jika begitu, bagaimana dengan adat, doktrin pemisahan kuasa dan juga tatakrama demokrasi yang saling bertaut membina proses pemerintahan di negara ini? Kuasa raja dan sultan adalah turun temurun. Kuasa rakyat ialah peti undi. Apabila keputusan Mahkmah Rayuan 22 Mei dijadikan asas undang-undang, adakah ini bermakna kini hanya Sultan yang berhak menentukan sesiapa sahaja yang dirasakan patut dilantik untuk mengetuai sesebuah kerajaan negeri? Tidakkah ruang kuasa Sultan selepas keputusan ini menyerupai pemerintahan sebuah negara monarki di mana Sultan mempunyai kuasa penuh menentukan siapa jadi Perdana Menteri atau Menteri Besar? Kebijaksanaan Sultan tidak pernah dipertikaikan. Namun pada hakikatnya menurut konvensyen atau tatakrama sistem demokrasi Raja Berperlembagaan Malaysia, Sultan akan membuat keputusan menurut nasihat Ketua Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri. Dalam kes Perak, Menteri Besar telahpun menghadap sembah kepada Sultan minta dibubarkan Dewan Undangan Negeri bagi memberi peluang kepada rakyat membuat pemilihan baru siapa dan parti apa yang wajar diberi mandat mentadbir negeri Perak. Ini kerana pada peringkat ini soal kekusutan politik itu memang semakin jelas – tindakan tiga ADUN keluar parti masing-masing merobah imbangan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri. Lantas imbangan baru itu perlu diuji secara matematik. Berapa sokong dan berapa yang tidak. Ini semua boleh dilakukan di dalam DUN. Ini memang cara politik. Bagaimanapun entah mengapa BN dan Zambry enggan berbuat demikian. Adakah kemelut politik Perak ini sudah dan akan berakhir dengan keputusan Mahkmah Rayuan ini? Tentu jawapannya tidak. Nizar dan penyokongnya akan memulakan mogok lapar dan berpuasa mulai minggu depan. Betapa tegas dan kuat sekalipun Zambry berusaha untuk memerintah Perak, keabsahannya menjadi Menteri Besar hanya ditentukan oleh tiga orang hakim. Memang ini halal kerana ia menurut proses undang-undang. Bagaimanapun rakyat akan terus terkilan hak mereka untuk menentukan siapa yang patut diberi amanah memerintah negeri mereka masih terus dinafikan. Zambry dan presiden partinya, Najib Razak tidak harus lupa mengapa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggerakkan kempen dan kemudian menghadkan kuasa raja hampir tiga puluh tahun lalu. Ini kerana beliau bimbang doktrin pemisahan kuasa bagi membina sebuah Negara Malaysia yang demokratik tidak dapat dikekalkan jika ruang kuasa raja mengatasi kuasa rakyat di parlimen atau dewan undangan negeri. Hingga setakat ini Najib dan Zambry menang pusingan untuk mendapat kerusi Menteri Besar Perak. Bagaimana pula jika ada raja dan sultan yang berselera mahu menggunakan “kuasa yang baru diberikan oleh Mahkamah kepada mereka” ini untuk melantik hanya golongan yang bersaing dengan Barisan Nasional untuk memimpin negeri mereka? Janganlah menang sorak tetapi kampung tergadai. Adakah Najib ketika itu akan kembali ke mahkamah untuk menyelesaikan “kesukaran politik baru” itu? Tangani isu Perak dengan hemah dan bijaksana. Soal politik harus diselesaikan cara politik dan bukan oleh Mahkamah. |
Monday, May 25, 2009
Najib harus hormati tatakrama politik dan doktrin pemisahan kuasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment