Thursday, May 28, 2009

HUKUM ORANG KAFIR BACA QURAN

oleh: Ust Abdul Ghani Shamsudin


Baru-baru ini ada kalangan dan individu tertentu membuat laporan polis kerana ada pemimpin Tionghoa berceramah dengan membaca ayat al-Quran untuk menguatkan hujah dalam ceramahnya. Masalahnya bolehkah orang kafir membaca ayat al-Quran untuk menguatkan hujah? Adakah pembacaan mereka dengan niat seperti di atas merupakan penghinaan kepada al-Quran dan menjatuhkan martabat Islam?

Musafir Kelana,
Kuala Lumpur
============ ========= ========= ========= ========= ========= ========= ========= ========= ========
Jawapan:

Allah SWT berfirman dalam Surah Al Nahli ayat 44 bermaksud:
"Maka Kami turunkan kepadamu al-Zikr (al-Quran) ini, untuk engkau menerangkan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka; moga-moga mereka berfikir."

Ayat ini menerangkan bayawa al-Quran dan isinya mesti disampaikan kepada seluruh manusia; justeru motif penurunan al-Quran ialah untuk dakwah dan mengajak orang ramai ikut menganut ajaran, hukum hakam dan nilai-nilainya.

Sebab itu Rasulullah S.A.W menukilkan beberapa ayat daripada al-Quran dalam suratnya kepada para pemimpin orang kafir sama ada pemimpin orang Rom mahupun Habsyah.

Dalam utusan baginda kepada Najasyi, antara lain baginda menjelaskan:
"Saya mengajak anda agar menerima seruan Allah justeru saya adalah Rasulullah. Oleh itu masuklah saudara dalam Islam nescaya anda akan sejahtera. (Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 64:) "Wahai Ahli Kitab, marilah kita menuju kepada satu Kalimah yang sama antara kami dan kamu, bahawa kita tidak menyembah selain Allah, dan kita tidak mempersekutukan- Nya dengan sesuatu pun; dan bahawa kita tidak menjadikan satu sama lain tuhan-tuhan selain Allah." Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam."

"Jika saudara enggan maka saudara akan memikul dosan Nasraninya kaum saudara." Ayat yang sama disisipkan dalam utusan baginda kepada Hercules Raja Rom, dan Muqauqis Raja kaum Qibthi.

Utuan baginda kepada Raja Parsi pula antara lain berbunyi: "Saya mengajak anda dengan ajakan Allah; bahawa saya adalah Rasulullah kepada manusia sejagat untuk memberi peringatan kepada:" Siapa yang hidup jiwanya dan agar ketetapan azab terhadap orang-orang yang kafir menjadi satu kepastian. (Maksud sebahagian Surah Yasin ayat 70."Oleh itu masuklah dalam agama Islam, anda pasti sejahtera. Tapi kalau saudara enggan maka saudara akan memikul dosa majusinya (kaum) saudara."

Bingkisan Rasulullah kepada Hercules dan lain-lain adalah sesuatu yang tersurat dalam lipatan sejarah Islam. Sirah Rasul dan riwayat hadith seperti ini dijadikan dalil oleh segolongan ulama untuk mrmbolehkan orang yang junub membaca al-Quran. Ini kerana sudah barang tentu orang-orang kafir tidak selamat daripada janabah, meskipun demikian Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam tetap juga menulis surat kepada mereka; dengan menampilkan ayat-ayat tersebut untuk mereka dapat membacanya.

Menurut Dr Ahmad Salim dalam buku beliau 'Faidhu al Rahman Fi al-Ahkam al-Fiqhiyah al-Khassah Bi al-Quran', terdapat dua pendapat dalam perkara ini:

Pendapat pertama: Haram bagi orang kafir zimmi atau yang lainnya untuk membaca al-Quran. Ini kerana mereka yang lebih patut ditegah daripada orang yang berjunub. Ini adalah mazhab Hambali

Pendapat kedua: Harus bagi orang kafir membaca al-Quran kerana dia belum percaya kepada kehormatannya. Ini adalah mazhab Syafie.

Pengarang kitab 'Hasyiah al-Bujairimi' mensyaratkan supaya orang kafir tersebut diharap untuk masuk Islam.

Apabila dirujuk pula kitab-kitab utama dalam mazhab Syafie kita menemui hakikat berikut:
Imam Ramli dalam kitabnya 'ihaayatu al Muhtaj' berkata:"Orang kafir tidak ditegah untuk membaca la-Quran kerana mereka tidak percaya kepada kehormatannya."

Pengarang kitab 'Mughni al-Muhtaj', Imam Muhammad as-Syarbini menegaskan bahawa: "Perkara kedua dilarang bagi orang berjunub adalah membaca al-Quran bagi orang Muslim. Adapun orang kafir tidak ditegah membaca kerana dia tidak percaya kepada kehormatannya seperti yang disebut oleh al-Mawardi."

Al-Bujairimi berkata dalam kitabnya: "Tidak ditegah orang kafir berjunub untuk duduk di masjid dan membaca al-Quran. Adapun orang kafir yang berhaid dan bernifas dilarang membaca Quran dan duduk di masjid."

Kalau kita mama-amati, sebab kenapa tidak ditegah orang kafir yang berjunub membaca al-Quran dan duduk di masjid adalah kerana mereka belum beriman atau percaya kepada kehormatan masjid dan al-Quran. Pengharusan orang kafir berbuat demikian adalah berdasarkan hadith; yang mana Nabi S.A.W pernah menahan orang-orang musyrikin di dalam masjid.

Sayidina Umar ibnul Khattab pernah merampas al-Quran daripada saudara perempuannya ketika beliau masih belum beriman. Kemudian beliau terbaca ayat-ayat al-Quran dalam Surah Toha semasa beliau masih kafir. Oleh kerana kesan ayat itu begitu tepat menerjah dalam lubuk hatinya beliau lantas sedar dan insaf sehingga akhirnya beliau memeluk agama Islam.

Maharaja Najasyi pemerintah Kristian dari Habsyah membaca Surah Maryam yang akhirnya beliau beriman kepada Allah. Dan banyak lagi peristiwa-peristiwa dalam Sirah Nabawi yang menunjukkan betapa ramai golongan buka Islam setelah mereka membaca atau mendengar ayat al-Quran dalam keadaan mereka masih kafir!

Berdasarkan kepada keterangan di atas maka kita dapat mengatakan bahawa tindakan penceramah Tionghoa berkenaan tidaklah salah atau menghina al-Quran, sebaliknya sebagai tanda penghormatan beliau kepada Quran sebagai kitab suci. Bahkan itu juga menunjukkan kesediaan beliau untuk bersandarkan kepada saranan-saranan lohor yang terdapat dalam al-Quran.

Lebih jauh perbuatan yang demikian akan memasyhurkan lagi ajaran al-Quran untuk dibaca oleh khalayak kaumnya yang masih belum beriman dan tidak pernah mendengar ajaran seperti itu daripada pemimpin Melayu berfaham asabiah.

Kita berharap agar suatu masa nanti hati orang yang dengan rela hati membaca ayat al-Quran ini akan dibuka oleh Allah untuk menerima hidayah Allah dan mereka menjadi pengamal nilai dan ajaran Islam seperti yang terkandung di dalam al-Quran.

No comments:

Search This Blog